Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HARI GURU

Pengorbananmu tiada tolok bandingnya, wahai guru

Sep 01, 2017 | 05:30 AM



SETIAP tahun, menjelang hujung bulan Ogos, pelajar kita akan sibuk membuat pelbagai persiapan untuk menunjukkan penghargaan mereka kepada insan bergelar guru.



Saya begitu terharu apabila mendapat tahu bahawa pelajar kita melakukannya dengan seikhlas hati, tanpa perlu disuruh.



Malah, saya dikhabarkan bahawa ada pelajar yang berasa kecewa apabila mereka tidak terpilih untuk membuat persembahan semasa Konsert Sambutan Hari Guru di sekolah.



Pengorbanan seorang guru sememangnya tidak terkira dan tiada tolok bandingnya.



Lebih-lebih lagi bagi guru-guru kita di Singapura, yang memikul tanggungjawab berat untuk memastikan anak didik mereka dibekalkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai murni secukupnya demi menjamin masa depan mereka.



Dalam sajaknya, Nasib Guru (1947), Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad mengibaratkan guru sebagai:



"Engkau penaka dian setamsil andang membakar diri menerangkan orang tempat yang gelap engkau perterang agar yang sulit dapat dipandang!"



Sebagai sebuah negara yang tidak mempunyai sumber alam, manusia merupakan aset penting bagi Singapura.



Oleh yang demikian, pemerintah akan selalu menitikberatkan pendidikan dan akan sentiasa banyak melabur untuk pendidikan.



Sehubungan itu, peranan guru dalam merealisasikan wawasan negara amat penting dan saya percaya guru kita menyedari hal ini.



Melalui pendidikan, guru kita mencorakkan masa depan anak didik mereka dan sekali gus membentuk masa depan Singapura.



Saya bersyukur mendapat tahu bahawa walau apa pun cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui, guru kita tetap tabah dan tidak tersasar daripada misi mereka.



Jelasnya, bidang perguruan hanya sesuai bagi mereka yang memiliki ciri-ciri yang tertentu, seperti kasih sayang, sayang kanak-kanak, berhati murni dan sentiasa bersedia melakukan lebih daripada apa yang diminta.



Rakan-rakan saya daripada industri lain sering berasa kagum dengan guru kita yang dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan mudah dan penuh kasih sayang.



Malah, ibu bapa selalu menceritakan bagaimana mereka berasa takjub akan guru kita yang dapat mengurus pelajar yang ramai tanpa kesukaran sedangkan mereka tercabar dan kadangkala terpaksa bergelut untuk mengendalikan seorang anak sahaja.



Semasa saya berinteraksi dengan guru-guru kita, saya mendapati bahawa ramai guru kita yang meletakkan tanggungjawab mereka sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.



Niat luhur mereka untuk melihat anak didik mereka berjaya serta kesanggupan mereka melakukan apa sahaja demi anak didik mereka memberi saya keyakinan bahawa sebagai sebuah sistem, kita telah berjaya menarik insan-insan yang tepat untuk menggalas tanggungjawab berat ini.



Ramai juga yang tidak begitu memikirkan imbalan daripada bakti yang dicurahkan.



Oleh itu, memang sewajarnya kita meraikan insan-insan mulia ini dengan mengekhaskan satu hari untuk mengenang jasa dan pengorbanan mereka kepada pelajar, masyarakat dan negara.



Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada guru-guru kita. Terima kasih kerana telah banyak mencurahkan bakti kepada negara.



Khusus buat guru-guru kita yang sentiasa berjuang demi melihat anak didik mereka berjaya, tanpa pernah mengenal erti penat:



"Jadilah apa pun pada akhir

kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan didulangi ilmu

Panggilan keramat 'cikgu' kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat."


- 'Guru Oh Guru' oleh Usman Awang (1979)



  • Penulis Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Keluarga dan Sosial).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >