Pengurus dana: Kemenangan besar PAP boleh rangsang pasaran saham

KEMENANGAN besar Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum Jumaat lalu (11 Sep) boleh memberi rangsangan kepada pasaran saham yang kini kurang memberangsangkan, walaupun hanya pada jangka pendek, menurut pengurus dana.

Mereka percaya ia akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur yang mungkin menunggu pilihan raya itu selesai.

Penganalisis ekuiti UBS Wealth Management, Cik Lee Wen Ching, berkata kepada akhbar The Straits Times: "Kepastian politik dilihat sebagai satu kelebihan dalam kalangan pelabur, terutamanya semasa ekonomi tidak menentu.

"Memandangkan mandat kukuh yang diraih PAP, kami tidak akan terkejut jika pasaran bangkit dalam tempoh terdekat kerana keprihatinan mengenai keputusan pilihan raya telah ditangani."

Secara umumnya, keputusan pilihan raya itu juga dijangka "meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur asing", kata Cik Lee.

"Landskap politik dan peraturan perlu dilihat dengan kepastian lebih besar - bahawa pemerintah akan dapat melaksana dasar-dasar yang dirancang - dan pelabur boleh mengharapkan kesinambungan dalam dasar ekonomi jangka panjang Singapura."

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa pada jangka panjang, pasaran saham Singapura masih akan dipengaruhi terutamanya oleh faktor-faktor serantau dan global, termasuk kenaikan kadar faedah yang akan dilakukan bank pusat Amerika Syarikat dan kemeruapan pasaran saham China.

Prospek ekonomi global terus goyah, terutamanya dengan pertumbuhan perlahan di China.

Ketua penyelidikan Aggregate Asset Management, Cik Teh Hooi Ling, juga menjangka "reaksi spontan positif" dalam saham Singapura dan dolar Singapura.

"Tetapi ini mungkin sekejap sahaja kerana prospek ekonomi serantau dan global masih tidak menentu," katanya.

Pengurus portfolio di Henderson Global Investors, Encik Sat Duhra berkata mandat lebih kukuh bagi PAP "kondusif untuk memulakan inisiatif (yang boleh) menangani kelemahan domestik yang diketuai produktiviti lemah, pertumbuhan hasil dalam negara kasar yang sedang perlahan dan mengurangkan kesan ekonomi China yang semakin lemah".

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 41
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.