Pengurus jenazah + doktor tawar khidmat urus yang hidup dan mati

SELALUNYA jika bercakap tentang syarikat pengurusan jenazah, perkara pertama yang difikirkan adalah tentang kematian.

Namun, syarikat Pengurusan Jenazah Sinar Baharu (PJSB) percaya persediaan buat mereka yang sakit tetapi masih hidup juga sama penting.

Oleh itu, Ustaz Haji Roslan Haji Sambri, pengasas dan pengarah Pengurusan Jenazah Sinaran Bahru, bertekad untuk memberikan khidmat lebih menyeluruh meliputi bukan sahaja khidmat penyelenggaraan jenazah tetapi juga pengurusan pesakit sebelum kematian dan pengurusan tambahan setelah sesuatu kematian, seperti nasihat pembahagian harta.

"Saya mahu PJSB menjadi sebuah pertubuhan untuk membantu masyarakat Melayu/Islam dari segi sosial dan agama bukan hanya syarikat pengurusan jenazah," kata beliau semasa ditemui Ahad lalu.

Sebagai permulaan, Ustaz Haji Roslan dan rakan kongsinya, seorang doktor perubatan, Dr Muhammad Iqbal Abdullah, telah memulakan sebuah syarikat yang menawarkan khidmat ambulans.

Syarikat yang diberi nama Peace Health Ambulance Services itu telah dimulakan dengan modal $60,000.

Apabila Ustaz Haji Roslan mengajaknya membuka syarikat Peace Health pada akhir tahun lalu, Dr Muhammad Iqbal, juga doktor pengesah kematian yang digunakan oleh PJSB, merasakan ianya suatu cadangan yang baik.

"Dalam masyarakat Melayu/Islam, kita tidak ada syarikat pengurusan jenazah yang memberikan khidmat untuk mereka yang masih hidup seperti menyediakan khidmat ambulans.

"Tujuan untuk memberi khidmat penjagaan paliatif amat penting kerana pesakit perlu dijaga dengan baik supaya mereka selesa," ujar Dr Muhammad Iqbal, 37 tahun.

Menurut beliau, khidmat ambulansnya selalu digunakan oleh pesakit ginjal yang ingin mendapatkan rawatan dialisis.

Khidmat ambulansnya juga digunakan oleh pesakit yang berkerusi roda atau yang terlantar di katil tetapi perlu ke klinik atau hospital.

Kini, syarikat Peace Health mempunyai dua ambulans dan menawarkan khidmat ambulans secara pakej untuk mereka yang mendapatkan rawatan dialisis, penjagaan orang tua dan untuk ke pusat pemulihan.

Dr Muhammad Iqbal, yang mempunyai kliniknya sendiri di Sembawang Mart, menjelaskan:

"Pesakit-pesakit ini tidak mempunyai harapan untuk pulih dan masa yang singkat untuk terus hidup. Jadi kita bertanggungjawab untuk memastikan mereka selesa dan mendapat penjagaan yang rapi."

Paramedik yang berkhidmat dengan syarikat Peace Health juga mempunyai pengalaman pengurusan jenazah.

Mereka bukan sahaja menguruskan kedua-dua ambulans Peace Health, mereka juga harus mahir menyelenggarakan jenazah.

Kedua-dua Ustaz Haji Roslan dan Dr Muhammad Iqbal menganggap syarikat ambulans mereka bukan suatu perniagaan tetapi tanggungjawab untuk memberikan khidmat kepada masyarakat Melayu/Islam.

Pembaca yang memerlukan penjelasan tentang pengurusan jenazah atau khidmat ambulans boleh melayari laman web www.pjsb.sg.

Pengurusan Jenazah Sinaran Baharu pula boleh dihubungi menerusi talian 6871-8799 dan Peace Health Ambulance menerusi talian 6449-1323.

Mereka menyediakan perkhidmatan 24 jam sehari.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.