PROGRAM PENGEMBANGAN BAKAT PENULIS BH-NAC 'MENCARI KRISTAL'

Penulis teroka sains fiksyen sebagai ilham menulis

TIDAK seperti pelajar lain di sekolah menengahnya dahulu, setiap kali selepas selesai makan pada waktu rehat, Encik Hassan Hasaa'Ree Ali akan duduk bersendirian mereka cerita berbentuk cereka sains.

Dari situlah berputik cintanya untuk berkarya hingga beliau menjadi seorang penulis setempat yang namanya kini kian harum dan mendapat perhatian ramai.

"Ketika itu, saya akan menggunakan watak daripada buku cerita seperti Sherlock Holmes dan Hardy Boys untuk mereka cerita saya sendiri," kata jururawat kanan di hospital umum itu.

Encik Hassan, 37 tahun, merupakan antara enam karyawan yang bakal mengendalikan bengkel bagi peserta program Mencari Kristal yang akan berlangsung dari 13 Ogos hingga 24 September ini.

Seramai 35 peserta akan dipilih dalam peraduan menulis cerpen anjuran Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan (BH-NAC).

Ia bermatlamat mencungkil bakat baru dalam arena penulisan.

Lima karyawan adalah - Encik Mohd Raman Daud, Cik Henovia Rosalinda, Cik Alberthiene Endah, Encik Amir Muhammad dan Encik Faisal Tehrani.

Menurut Encik Hassan, setelah meninggalkan bangku sekolah, semangat menulis terus membakar dan beliau mula menghantar cerpen pertamanya berjudul Cerita Remaja kepada BH.

Cerpen tersebut diterbitkan pada 1999.

Hasil terbitan itu telah mendorong Encik Hassan terus menulis, terutama dalam genre alternatif seperti cerita seram dan cereka sains.

Kerja keras beliau akhirnya berbaloi selepas buku pertamanya, Selamat Malam Caesar, berjaya diterbitkan pada 2013.

Buku itu ialah kumpulan cerpen bergenre cereka sains dan disenarai pendek untuk kategori cereka Melayu Hadiah Sastera Singapura (SLP).

Cerpennya, Homeostasis, pula mendapat tempat pertama bagi kategori cerpen bahasa Melayu Anugerah Pena Emas Singapore Press Holdings (SPH) dan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Januari lalu pula, beliau meraih satu lagi pencapaian setelah cerpennya, Souvenir Dari Angkasa Lepas, diterbitkan.

Cerpen itu menjuarai peraduan penulisan Sayembara Nokhta Putih yang diadakan pada 2011 anjuran Angkatan Sasterawan (Asas) 50 dan Darul Andalus.

Bagaimanapun, pencapaiannya tidak datang bergolek kerana beliau banyak menghadapi cabaran bagi menjadi seorang penulis.

Encik Hassan akui bahawa tidak mudah menulis genre cereka sains yang sangat digemari itu.

"Berbanding menulis dalam bahasa Inggeris, ketika menulis dalam bahasa Melayu, kadangkala saya harus menggunakan lebih banyak perkataan bagi menerangkan sesuatu situasi di dalam cerita saya.

"Ini merupakan satu cabaran terutama kerana ruang yang ada untuk menulis itu terhad," kata bapa seorang anak perempuan berusia dua tahun itu.

Satu lagi cabaran yang dihadapinya ialah kekurangan penerbit untuk membantu memasarkan bukunya.

Namun begitu, Encik Hassan tidak membiarkan rintangan itu mematahkan semangat untuk terus berkarya.

"Sebagai penulis, kita mesti sentiasa mempunyai minda yang terbuka dan sering membaca bagi mengasah bakat menulis.

"Kita juga tidak harus mengehadkan pembacaan kepada genre yang kita selesa sahaja tetapi meluaskan genre pembacaan," katanya.

Tarikh untuk menghantar penulisan cerpen bagi peraduan ini sudah pun dibuka.

Cerpen boleh dihantar melalui e-mel mencarikristal@sph.com.sg selewatnya 22 Julai ini.

Butiran lanjut boleh didapati menerusi laman http://mencarikristal.sg.


Penulis bakal 'bedah' karya peserta dalam bengkel

KEWUJUDAN klise ataupun idea terbiasa dalam penulisan mungkin boleh 'memudarkan' plot cerita.

Oleh itu, penggunaannya harus dielakkan demi menghasilkan karya yang lebih menarik.

Demikian antara topik yang akan dibentangkan penulis setempat, Encik Hassan Hasaa'Ree Ali, dalam bengkel program Mencari Kristal yang akan dikendalikannya pada Sabtu, 13 Ogos ini.

Bengkel itu sebahagian daripada projek peraduan menulis cerpen anjuran Berita Harian (BH) dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Bengkel kendalian Encik Hassan, yang merupakan bengkel pertama daripada enam bengkel kesemuanya itu, terbahagi kepada tiga aspek.

Beliau akan bercakap tentang bagaimana satu idea itu boleh dicorak menjadi plot cerita yang dapat terus dikembangkan.

Encik Hassan akan 'membedah' cerpen dan meneliti setiap bahagian cerita dari permulaan hingga akhir.

Di situ beliau akan meneroka jenis klise cerpen yang biasa digunakan tetapi harus dihindari dalam penulisan.

Encik Hassan juga akan mengongsi pengalamannya menulis cerpen dari waktu beliau berada di bangku sekolah hingga hari ini di mana dua bukunya telahpun diterbitkan.

Beliau juga akan memberi panduan tentang cara menempuhi serta mengatasi cabaran yang biasa dihadapi setiap penulis.

Encik Hassan akan mengendalikan bengkel untuk 35 peserta terpilih peraduan itu dari 9 pagi hingga 5 petang.

Maklumat lanjut tentang bengkel ini boleh diperolehi dengan melungsuri laman http:// www.beritaharian.sg/mencari-kristal/bengkel.


SEKILAS

Peraduan: Cerpen

Tema: Debar Cinta

Jumlah perkataan: 2,500

Tarikh tutup: 22 Julai 2016

E-mel: mencarikristal@sph.com.sg

Lungsuri laman: mencarikristal.sg

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.