Penyokong gabenor Jakarta minta maaf kerana ancam bantah di Kedutaan Singapura

JAKARTA: Sebuah kumpulan sokongan politik yang menjajarkan dirinya dengan Gabenor Jakarta, Encik Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama, telah meminta maaf kerana mengancam akan mengadakan bantahan di Kedutaan Singapura di Jakarta disebabkan kononnya "penahanan" dua anggotanya di Singapura.

"Kami meminta maaf kepada semua rakan kami yang berasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan kami," kata Encik Singgih Widyastomo, jurucakap kumpulan itu, Teman Ahok, dalam satu sidang media pada Ahad (5 Jun) malam.

Teman Ahok ialah sekumpulan warga Indonesia yang menyokong usaha Encik Basuki untuk dipilih semula pada 2017 tetapi tidak mempunyai hubungan rasmi dengan gabenor itu.

Salah seorang pengasasnya, Cik Amalia Ayuningtyas, dan Encik Richard Handris Saerang tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada Sabtu lalu selepas mereka memberitahu pegawai imigresen mereka berada di negara ini untuk menjalankan kegiatan politik.

Bagaimanapun, penyelaras kumpulan itu, Encik Aditya Yogi Prabowo, mendakwa Cik Amalia dan Encik Richard ditahan dan "Kedutaan Indonesia (di Singapura) tidak dapat bertemu mereka".

Dakwaan tersebut menjadi viral. Satu laporan berita dalam laman web beritasatu.com berkata dua penyokong itu "dipinggirkan dari dunia luar".

Encik Aditya dilaporkan mengancam akan menggunakan "semua sumber kumpulan itu" untuk berhimpun di pusat tahanan jika pihak berkuasa Singapura terus menahan Cik Amalia dan Encik Richard.

Kedutaan Singapura di Jakarta menafikan dakwaan bahawa Cik Amalia dan Encik Richard ditahan. Ia juga berkata Singapura tidak membenarkan warga asing menggunakan Republik ini sebagai platform untuk menjalankan sembarang kegiatan politik.

Kedutaan Indonesia di Singapura juga berkata ia telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan diberi akses konsular bagi kedua-dua penyokong itu. Ia juga mengesahkan dalam satu kenyataan pada Ahad bahawa Cik Amalia dan Encik Richard telah pulang ke Indonesia.

Pada Ahad, Encik Singgih berkata kumpulan itu meminta maaf kerana "terlalu mengikut perasaan".

"Kami meminta maaf kerana terlalu mengikut perasaan," kata Encik Singgih. "Yang penting ialah rakan-rakan kami telah pulang... dan ini menjadi pengajaran dan pengalaman bagi kami dan kami akan lebih berhati-hati dalam setiap langkah sedang kami bergerak ke depan."

Teman Ahok dibentuk pada 2015 dan majoriti sukarelawannya berusia di bawah 30 tahun.

Antara kegiatan utamanya ialah mengumpul salinan kad pengenalan pengundi layak yang menyokong Encik Basuki sedang beliau berusaha dipilih semula sebagai calon bebas tahun depan.

Untuk bertanding bagi jawatan itu sebagai calon bebas, Encik Basuki memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 523,000 orang, atau kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah pengundi layak di Jakarta. Teman Ahok telah mendapatkan lebih 930,000 sokongan hingga Ahad lalu.

Cik Amalia baru-baru ini memberitahu Jakarta Globe dalam satu wawancara bahawa Teman Ahok tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Encik Basuki mahupun pentadbiran Jakarta.

Beliau juga menambah bahawa kumpulan itu tidak mempunyai pemimpin atau struktur rasmi, dan kegiatan hariannya dikendalikan oleh sebuah sekretariat.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 48
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.