MASYARAKAT minoriti, termasuk masyarakat Islam, telah menyumbang usaha besar dalam mengekalkan keharmonian kaum dan agama serta perpaduan sosial di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Ini termasuk mendekati isu yang dihadapi dengan semangat persefahaman bersama dan tolak ansur, dan memahami bahawa sesetengah perkara perlu dilakukan secara berbeza dari tempat lain disebabkan konteks majmuk negara.
Namun, masyarakat majoriti juga perlu memainkan peranan mereka dan menolak politik majoriti, kata Encik Lee.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang sulung anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) di Pusat Konvensyen Raffles City semalam.
Encik Lee turut mengetengahkan peranan yang dimainkan pemerintah untuk melindungi hak masyarakat minoriti dan memperluaskan ruang yang dikongsi bersama dalam masyarakat.
"Dengan persefahaman yang baik, kita dapat menangani secara baik dan membina isu-isu rumit yang muncul dan tidak dapat dielakkan apabila kumpulan berlainan hidup bercampur antara satu sama lain," kata Encik Lee.
Beliau memberi contoh laungan azan, di mana masyarakat Islam Singapura memahami keperluan membuat penyesuaian pragmatik mengikut nilai agama dengan menyiarkan azan di radio sebaliknya dan menghidupkan pembesar suara di dalam masjid untuk mengurangkan kesan terhadap penduduk berhampiran, yang ramainya bukan Islam.
Encik Lee turut berkata penting bagi masyarakat minoriti mengekalkan kepercayaan dan keyakinan kumpulan lain, termasuk menghilangkan rasa takut dan syak wasangka terhadap penyebaran ideologi ekstremis dan ancaman pengganasan.
Di Singapura, pemimpin Islam bekerja rapat dengan pemerintah dan rakan masyarakat untuk membimbing masyarakat.
Misalnya, selepas anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang membuat rancangan serangan di Singapura ditangkap, sekumpulan asatizah mapan bersatu untuk membentukkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) demi membimbing individu yang menjadi radikal kembali ke pangkal jalan melalui kaunseling agama.
Namun, ini semua memerlukan kepimpinan agama yang kukuh dan dihormati, kata Encik Lee, sambil menekankan keperluan bagi Muis terus melabur dalam kepimpinan agama Islam.
Selain itu, penting bagi masyarakat minoriti menyertai sepenuhnya dalam ekonomi dan kehidupan sosial negara, dengan Encik Lee berkata dasar-dasar memastikan peluang penuh dan saksama untuk semua dan terdapat inisiatif masyarakat yang membolehkan masyarakat Islam menyumbang.
"Melalui usaha kolektif ini, bekerjasama dengan pemerintah, masyarakat Islam di Singapura telah mencapai kemajuan besar selama beberapa dekad," kata Encik Lee.
Pada masa sama, beliau berkata golongan majoriti di negara ini juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan sikap kompromi dan tolak ansur dalam membina perpaduan.
Malah, dalam masyarakat berbilang kaum, golongan majoriti harus mengambil langkah lanjut untuk sentiasa mengiktiraf dan menghormati kepentingan minoriti, dan menyedari bahawa dalam mana-mana masyarakat, adalah lebih sukar menjadi individu dalam kumpulan minoriti berbanding kumpulan majoriti.
Encik Lee berkata mujur, masyarakat Cina Singapura memahami perkara ini. Namun, keadaan tidak selalu "manis dan ringan".
Pernah terjadi beberapa kejadian di mana terdapat individu atau kumpulan yang menyinggung kumpulan lain atau cuba mengeksploitasi isu kaum dan agama untuk mencetuskan masalah atau meraih sokongan.
Namun, pemerintah tetap berdiri teguh meskipun jika mereka berisiko kehilangan sokongan politik dan undi, kata Encik Lee.
"Ini adalah penting untuk menegakkan nilai asas berbilang kaum kita, dan untuk melindungi keseimbangan halus dalam masyarakat majmuk kita," kata beliau.
Laporan lanjut: Sekitar Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang:
- PM Lee: Masyarakat Islam kekal bebas berdakwah, amal ajaran susuli pemansuhan Seksyen 377A
- Mufti: Identiti, kesetiaan pada agama, negara tidak perlu bercanggah
- Masagos: S'pura kongsi, belajar daripada masyarakat Islam lain tangani cabaran kontemporari
- 90 wakil setempat, antarabangsa tinjau kehidupan masyarakat Islam S'pura
- RLAF akan jadi hos lawatan pembelajaran ke S'pura
- Tabung derma bagi banjir di Pakistan disediakan di masjid SG