Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Percikan perpaduan watan

NDP
Aug 10, 2016 | 05:30 AM



TEPUKAN gemuruh lebih 50,000 penonton menyambut penari yang seolah-olah 'menerawangi' bumbung canggih Stadium Negara - kali pertama Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) kembali di stadium ikonik itu sejak sedekad lalu - serta pertunjukan tiga dimensi membawa penonton menyelami masa depan yang serba canggih.



Sorakan yang diberikan kepada 150 individu kurang upaya yang sama-sama keluar ke pentas untuk meraikan ulang tahun negara ke-51 semalam, sekali gus mengiktiraf sumbangan setiap warga dalam negara yang inklusif.



Kemeriahan sambutan ulang tahun negara tetap dapat dirasakan walaupun ia diadakan sedang negara berada dalam suasana ekonomi dan keselamatan yang mencabar.



Dalam amanat Hari Kebangsaannya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggariskan tiga cabaran - ancaman pengganasan, cabaran ekonomi yang tidak menentu serta perubahan teknologi mengakibatkan gangguan kepada pekerjaan dan cara kehidupan.



Kunci utama memastikan Singapura kekal luar biasa ialah semangat bersatu padu dan azam untuk bersama-sama mengatasi cabaran katanya.



Semangat serta harapan warga yang berada di Hab Sukan Singapura atau menonton perbarisan di kaca televisyen atau peranti digital - tidak kira di mana jua mereka berada - jelas memaparkan semangat cinta kepada negara.



Cik Halipah Surnan, 60 tahun, yang bersama anak-anak, adik dan cucu saudaranya antara lebih 55,000 penonton di Stadium Negara semalam, melahirkan harapannya melihat watan kota Singa ini terus maju dan makmur.



"Walaupun keadaan ekonomi sekarang tidak menentu, saya tetap yakin Singapura mampu terus maju.



"Harapan saya sempena ulang tahun ke-51 negara ialah agar Singapura terus maju dan aman.



"Saya yakin Singapura mampu atasi apa cabaran pun kerana dahulu pun kita pernah atasi macam-macam cabaran. Kalau dulu kita mampu mengatasinya bersama, pasti sekarang pun boleh," katanya.



Keyakinan terhadap keupayaan negara untuk menempuh cabaran juga terserlah pada diri Encik Haji Mohd Tahir Haji Talib, 61 tahun.



Ditemui di Stadium Negara semalam, Haji Mohd Tahir berkata: "Sudah lebih 50 tahun kita mencapai keharmonian di Singapura. Walaupun ancaman dan pergolakan kian berlaku, Singapura harus terus berwaspada supaya ancaman ini tidak menjejaskan keamanan kita."



Semalam penonton di dalam stadium dihadiahkan warna-warni perbarisan.



Stadium negara yang dibanjiri warna merah dan putih turut digegarkan dengan 'Gelombang Kallang' yang menghidupkan semangat penonton yang hadir.



Kebanggaan terasa melihat warga tidak kira usia atau bangsa mengorak langkah berbaris bersama kontinjen mereka dengan alunan muzik yang memberangsangkan oleh pancaragam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dalam segmen Upacara dan Perbarisan yang membuka tirai acara secara rasmi.



Tepukan dan sorak menyambut ketibaan anggota kabinet di stadium termasuk PM Lee dan Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong, dengan sorakan yang paling gemuruh dengan ketibaan Presiden Tony Tan Keng Yam yang memberi lambaian mesra kepada penonton.



Babak pertama menyaksikan 'orang kuat' Badang membuka tirai segmen persembahan, diiringi penonton yang kagum melihat aksi beliau di pentas dan juga di udara.



Walau lokasi yang dipilih mencetus rasa nostalgia bagi ramai yang hadir, tema serta sambutan tahun ini mengajak penonton untuk 'Membina Singapura untuk Masa Hadapan' terutama sekali dengan persembahan dan babak-babak yang berkonsep futuristik.



Pameran tiga dimensi, persembahan di udara dan teknologi tidak berpandu seperti dron merupakan antara persembahan yang menunjukkan penggunaan teknologi-teknologi canggih dalam sambutan NDP tahun ini.



Kemuncak sambutan pasti membuat ramai terharu dengan kesungguhan warga Singapura yang bersungguh-sungguh cuba mengambil bahagian dan menyanyi lagu-lagu Hari Kebangsaan menggunakan isyarat tangan.



Penonton kemudian disajikan percikan bunga api merah keemas-emasan yang menghiasi keliling pentas di samping pancaran laser berwarna-warni.



Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, segmen bunga api NDP kali ini begitu dekat dengan penonton - pastinya antara kenangan yang bakal terpahat di dalam ingatan mereka yang hadir.



SEKITAR SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN & LIPUTAN PERBARISAN






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >