Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pergas mahu perkasa asatizah, ketengahkan kesederhanaan Islam

Pelan strategi empat tahun bagi membina kepimpinan asatizah berwibawa
Mar 12, 2018 | 05:30 AM



KEPIMPINAN ulama dan asatizah yang berwibawa menjadi visi Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas) di bawah pelan strategik empat tahun yang baru (2017-2020).



Misinya pula ialah membentuk generasi asatizah pakar dalam membimbing masyarakat.



Dalam mengatur langkah, Pergas telah memperkemas struktur pentadbirannya.



Ia kini diterajui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff, yang sebelum ini menjawat Pengarah Eksekutif.



Dua jawatan pengarah diwujudkan. Ustazah Nurdiana Hanim Abdul Rahman menjadi Pengarah Perhubungan dan Perkhidmatan Korporat dan Ustazah Nazrana Haniff sebagai Pengarah Perkhidmatan Masyarakat.



Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata pembaharuan itu bertujuan melatih asatizah ke depan memimpin Pergas.



"Di bawah pelah strategik ini, kami mahu membentuk asatizah pakar dalam bidang kepimpinan, pendidikan dan dakwah," jelas beliau.



Ustaz Mohammad Yusri berkata Pergas mahu terus menjangkau dan mendampingi masyarakat dan bekerjasama dengan badan Islam.



Ia menyediakan jalur latihan bagi mempersiap asatizah mendampingi masyarakat - termasuk kursus kaunseling di peringkat diploma dan pos-siswazah.



Menurut Ustaz Mohammad Yusri, tinjauan dan perbincangan dilakukan, termasuk rahat dan perbincangan kumpulan fokus, bagi menghasilkan pelan tersebut, supaya "apa yang kami rancang sesuai dengan konteks Singapura".



Ustaz Mohamad Hasbi berkata Pergas akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak, seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) mengatasi masalah berkaitan pengganasan dan fahaman ekstrem.



Kerjasama seperti itu berkesan, lebih-lebih lagi memandangkan anggota RRG adalah anggota Pergas juga, kata beliau.



Pembangunan Asatizah



Di bawah pelan strategik itu, Pergas mahu membangun asatizah pakar dalam bidang Pengajian Islam.



Ia mahu mendampingi pelajar dari peringkat menengah atas, membekalkan latihan kepimpinan, pembangunan watak dan persediaan kerjaya, dan membina profesionalisme menerusi latihan dan kursus.



Ia turut menawarkan biasiswa kepada asatizah yang memerlukan bagi melanjutkan pengajian. Peruntukan sekitar $40,000 setahun kini dinaikkan kepada $60,000.



Menjelaskan tentang pengajian ke peringkat sarjana, Ustazah Nazrana berkata program Sarjana dalam pemikiran dan tamadun Islam dimulakan tahun ini dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA).



Pergas telah menjalin kerjasama dengan UIA sejak 2005 menawarkan ijazah sarjana muda.



Sukatan pelajaran dan pensyarah adalah daripada UIA tetapi kursus dijalankan di sini.



Sekitar 80 - termasuk doktor, guru dan peguam - sudah mendapat ijazah sarjana muda dalam Islamic Revealed Knowledge di bawah UIA.



"Kami sediakan program ini khusus untuk golongan yang mahu sambung belajar tetapi tidak mahu tinggalkan kerja dan keluarga," jelas Ustaz Mohamad Hasbi.



Program peringkat Sarjana adalah sokongan lanjutan kepada asatizah.



Ustaz Mohamad Hasbi berkata ia satu perkembangan yang sangat positif. Ketika beliau menyertai Pergas pada 1986, kursus yang ditawarkan hanyalah di peringkat sijil.



"Ia telah berkembang ke peringkat diploma, ijazah Sarjana Muda (BA) dan kini Sarjana (MA)," ujar beliau.



Kerjaya asatizah



Ramai lulusan agama kini bekerja di institusi seperti masjid dan pertubuhan Islam.



Dengan usaha membina kemahiran, beliau berharap institusi swasta seperti bank dan syarikat yang mahukan pandangan Islam akan menggajikan asatizah.



Pergas sendiri mempunyai 31 kakitangan dan 27 daripadanya adalah asatizah atau ada latar belakang pendidikan madrasah.



"Mereka diberi pendedahan dan menyandang jawatan dalam Perhubungan Kemanusiaan (HR) dan kewangan supaya dapat timba kemahiran lain.



"Kami mahu memperkasa lagi asatizah kita," kata Ustaz Mohamad Hasbi.



Pergas juga mempunyai program latihan kerja atau internship. Permohonan untuk program latihan kerja itu kian bertambah, kata beliau.



Kewangan



Menurut Ustazah Nurdiana Hanim, kos operasi Pergas adalah sekitar $3 juta setahun - merangkumi perbelanjaan pentabdiran, program pendidikan, biasiswa dan kebajikan.



Unit Kebajikan Pergas misalnya menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan dapur kepada beberapa asatizah yang ada penyakit kronik dan tidak berdaya mengajar lagi.



"Mereka tidak datang sendiri tetapi dirujukkan kepada kami oleh anggota masyarakat yang prihatin. Kami jangkau dan dampingi mereka," kata Ustazah Nazrana.



Ustazah Nurdiana Hanim berkata akaun Pergas biasanya ada sedikit defisit.



Dengan pelbagai program, beliau berkata akaun 2017 yang ditutup Januari lalu mencatatkan sedikit lebihan.



Sumber utama kewangan Pergas, jelas Ustazah Nurdiana Hanim, ialah sumbangan masyarakat Islam dan yuran di bawah Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP).



Masyarakat misalnya menghulur derma sejumlah $150,000 menerusi pungutan Jumaat baru-baru ini.



Ustaz Mohamad Hasbi berharap sayap usaha niaga Pergas, Pergas Investment Holdings (PIH), akan berkembang dan menjadi sumber dana Pergas pada masa depan.



Sayap perniagaan itu mengendalikan lima unit rumah kedai di Joo Chiat dan beberapa khidmat runding cara seperti membantu syarikat berkaitan halal dan menyusunkan struktur perniagaan yang patuh-syariah.



Pergas dan konteks semasa



Pergas mahu terus menjadi penunjuk jalan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam suasana mencabar yang dibayangi fahaman ekstrem seperti Isis yang menular.



Ustaz Mohamad Hasbi akur bahawa di Pergas terdapat beberapa juga beberapa aliran - sufi, sunni dan sebagainya.



"Kami berusaha bekerjasama dengan semua aliran membina kesefahaman dengan berlapang dada dan berfikiran terbuka," kata beliau.



Memberi contoh perbezaan mazhab, beliau berkata imam mazhab - Hanafi, Syafii, Maliki dan Hambali - tidak pernah berbalah, malah saling menghormati.



"Itu yang kami mahu bina.



"Kami memupuk sikap saling hormatmenghormati sebagai yang dicontohkan oleh imam sunni kita," kata beliau.



Langkah selanjutnya



Antara yang mahu dikembangkan ialah perkongsian ilmu.



Pergas melakukan inisiatif merakam beberapa kuliah dan menyuntingnya untuk disiarkan menerusi wadah radio setempat dan luar negara seperti Radioku di Batam.



Menurut Ustaz Mohammad Yusri, rancangan lanjut Pergas ialah mendampingi masyarakat melalui wadah media digital - menerbitkan video digital untuk dimuatkan dalam laman web, 'live streaming', Youtube dan Facebook (FB).



"Masyarakat semakin cenderung melungsur wadah ini. Pergas akan sediakan," kata beliau.



Merumuskan pelbagai inisiatif Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi berkata apa yang ingin ditekankan ialah kesederhanaan dalam Islam, seperti menerusi kerjasama dalam RRG, program perkembangan asatizah dan Muktamar Pergas tahun lalu.



"Inilah dasar bertindak kami - mengetengahkan kesederhanaan dan menyatupadukan asatizah kita," kata beliau lagi.




"Inilah dasar bertindak kami - mengetengahkan kesederhanaan dan menyatupadukan asatizah kita."
- Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Pergas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >