Perintis penyelidikan air bawah tanah dianugerah Hadiah Air LKY

SEORANG perintis dalam penyelidikan air bawah tanah dari Canada dianugerah Hadiah Air Lee Kuan Yew berprestij tahun ini.

Profesor Emeritus Unggul John Anthony Cherry memenangi anugerah itu kerana sumbangan beliau kepada kemajuan sains, dasar dan teknologi air bawah tanah.

Dilancarkan pada 2008, anugerah itu mengiktiraf individu atau pertubuhan yang menyumbang kepada menyelesaikan cabaran air global melalui teknologi, dasar atau program inovatif.

Profesor Cherry dipilih daripada lebih 90 calon dari seluruh dunia, dan pemilihan itu diumum pada Isnin (21 Mac) oleh Ketua Eksekutif agensi air negara PUB, Encik Ng Joo Hee.

Beliau, yang melawat Singapura buat kali pertama, berkata: "Saya mendapat tahu bahawa erti nama Kuan Yew ialah terang cahaya. Ini sangat sesuai bagi pemimpin yang telah menjadikan Singapura bersinar itu."

Apabila mula belajar pencemaran air bawah tanah kira-kira 50 tahun lalu, beliau antara beberapa orang pertama menerokai bidang itu.

Air bawah tanah, yang boleh didapati di dalam ruang antara tanah dan batu, membentuk kira-kira 95 peratus daripada air tawar yang boleh digunakan di Bumi, namun ia boleh dicemari amalan pertanian atau pengeluaran tenaga.

Pada 1980-an, Profesor Cherry menubuhkan Kemudahan Penyelidikan Lapangan Air Bawah Tanah Borden di Canada, ia membawa penyelidikan air bawah tanah keluar dari makmal.

Beliau kini Profesor Emeritus Unggul di Universiti Waterloo di Ontario, Canada. Selain sumbangan lain, cadangan beliau bagi pembersihan dan pemantauan telah dilaksana di negara seperti Amerika Syarikat, Brazil dan China.

Profesor Cherry, 74 tahun, menerima hadiah wang tunai $300,000, sijil dan pingat emas. Pada 11 Julai, beliau akan menyampaikan Ceramah Air Singapore.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.