Perjanjian TPP dicapai, bakal bentuk kawasan dagangan bebas terbesar di dunia

DUA belas negara Lingkungan Pasifik, termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura, mencapai perjanjian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) pada Isnin (5 Okt) yang akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia dan memberi kesan perubahan kepada ekonomi global.

Pencapaian itu dipuji semua perunding dari negara terlibat dalam satu sidang media bersama di Atlanta, Georgia, Amerika, tempat rundingan dijalankan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Lim Hng Kiang, berkata TPP merangkumi "apa Singapura lihat sebagai masa depan Asia Pasifik".

"Ia akan mengubah rantau ini dengan mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif ketara untuk kedua-duanya, barangan dan perkhidmatan, menggalak pelaburan lebih besar, dan menangani cabaran perdagangan baru dalam ekonomi moden.

"TPP juga sengaja direka untuk menjadi lebih inklusif, supaya perusahaan kecil dan sederhana boleh mengambil kesempatan penuh daripada manfaatnya," kata beliau dalam satu kenyataan.

Presiden Barack Obama berkata TPP "mencerminkan nilai-nilai Amerika dan memberi pekerja kita peluang saksama mencapai kejayaan yang layak mereka dapat".

Perjanjian itu satu peristiwa penting bagi rundingan yang telah berlangsung hampir lapan tahun.

Namun, sebelum itu boleh mula berkuat kuasa, negara anggota mesti mendapatkan kelulusan daripada badan perundangan masing-masing.

Ini mungkin tidak begitu mudah di beberapa negara, termasuk Amerika, dari segi politik.

Contoh, tarif pertanian kekal menjadi isu bagi negara-negara, seperti Jepun dan Australia; keperluan taraf pekerja adalah kebimbangan di Vietnam; dan banyak pihak di Malaysia mempunyai kebimbangan tentang bagaimana TPP mungkin melemahkan hak bumiputera. - The Straits Times

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 34
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.