SIRI 'BINCANG BH': PERBINCANGAN MEJA BUNDAR BERSAMA ENCIK MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD

Perlu giatkan sumber, usaha perangi ideologi pengganasan

Isu pengganasan antara cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, seperti yang dijelaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dalam ucapannya di pembukaan Parlimen Januari lalu. Siri perbincangan meja bundar, 'Bincang BH', mengundang Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, baru-baru ini untuk mengupas cabaran ancaman pengganasan. Sebelum ini, dua sesi perbincangan telah diadakan bagi membincangkan cabaran yang dihadapi masyarakat secara keseluruhan dan cabaran kepelbagaian. NUR ADILAH MAHBOB (adilaham@sph.com.sg) dan IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) melaporkan.

USAHA bagi membalas naratif dan memaparkan kepalsuan fahaman radikal yang disebarkan ISIS dalam majalahnya dan dalam talian perlu dipergiat dalam usaha memerangi pengganasan.

Menekankan kepentingan usaha itu, Pengarah Urusan SimplyIslam, Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur, berkata pertubuhan di sini memerlukan sumber untuk menentang naratif dan ideologi radikal sedemikian.

Memberi contoh, Encik Nassir berkata negara seperti Amerika Syarikat mempunyai jabatan dengan pegawai yang khusus bertugas membalas sebarang naratif yang menyerang negara itu.

Encik Nassir berkata naratif yang dipaparkan ISIS, umpamanya dalam majalah keluarannya, Dabiq, menggunakan naratif yang sangat kukuh dan hadis yang dipetik secara terasing demi menyampaikan mesej ekstrem mereka.

Malah, beliau berkata ISIS mempunyai kumpulan media dan pengarah berkaliber untuk mengelolakan majalah itu dan menghasilkan video secara profesional.

"Kita tidak ada naratif untuk membalas naratif (counter narative) yang mereka paparkan. Itu satu masalah. Saya telah mengutarakan perkara ini kepada beberapa pihak berkuasa. Itu yang kita sekarang sangat kurang.

"Ia sesuatu yang kita perlu fikirkan sebagai sebuah masyarakat," katanya semasa perbincangan meja bundar bersama Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, baru-baru ini.

Zamil penyelidikan bersekutu, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah Sudiman, pula berkata sudah tiba masanya bagi asatizah membincangkan topik-topik tabu secara kritikal.

Beliau berkata sejak beberapa tahun lalu, asatizah sudah mula terbuka untuk bercakap tentang isu seperti jantina, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan sebagainya.

Namun kini, telah tiba masanya juga bagi asatizah merujuk kembali kepada sejarah Islam dan Al-Quran dan lihat dari setiap sudut pandangan dalam usaha membalas naratif yang dikemukakan ISIS, katanya.

"Kita lihat sejarah Islam, kembali ke Quran. Kita perlu lihat bagaimana bahan-bahan ini telah dirampas oleh mereka kerana kita tidak sedar, tidak tahu benda tersebut.

"Apabila orang lain keluarkan dan dirampas topik itu dalam bentuk berbeza, itu juga antara sebab yang menjadikan orang mudah terpedaya dengan perdebatan yang mereka ketengahkan," jelas beliau.

Dalam perbincangan itu, Ustaz Saiful memberi contoh dalam majalah Dabiq, tentang bagaimana ISIS menggunakan contoh sejarah setelah kota Madinah dibuka sebagai negara Islam, di mana orang ramai berhijrah ke Madinah dan bukan ke Rom atau Abyssinia.

Dalam naratif itu, Ustaz Saiful berkata ia bermaksud bahawa hijrah seseorang itu adalah ke sebuah tempat Islam, dan bukan suasana yang bukan Islam - iaitu mesej ISIS bagi menarik individu berjuang bersama mereka di Syria dan Iraq.

"Itu ada di dalam sejarah kita. Bagaimana kita hendak melihat sejarah di situ dan menggunakannya sebagai satu peluru bagi kita memahamkan pembaca, pendengar umat Islam hari ini bagaimana sejarah itu telah dimanipulasikan untuk memenuhi agenda mereka sendiri," kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Masagos berkata terdapat empat golongan yang memperjuangkan ISIS.

Satu golongan adalah mereka yang berpegang pada doktrin kekalifahan dan sudah lama berada di sana.

Satu lagi golongan ialah sisa-sisa tentera Saddam Hussein yang telah terpinggir oleh kerajaan Syiah di sana dan apabila ISIS menakluki kota-kota yang menghasilkan minyak, mereka bersekutu dengan ISIS walaupun tidak sependapat dengan mereka kerana ISIS memberi jaminan hidup.

Golongan ketiga adalah mereka yang datang dari tempat lain di seluruh dunia kerana merasakan tidak mempunyai tempat atau tidak berasa bersama masyarakat yang wujud di negara sendiri.

Golongan keempat pula adalah mereka yang berasa sudah melakukan dosa besar dan tidak akan dapat keampunan dari tuhan melainkan mereka mati syahid berjuang untuk Islam.

"Perjuangan ISIS ini telah menjadi satu yang menggoncangkan peristiwa kontemporari, tidak pernah berlaku dan sangat rumit untuk menyelesaikannya," ujar beliau.


"Walaupun dari masa ke masa kita punyai konflik... antara budaya, agama dan masyarakat majmuk, kita atasi masalah itu dengan inisiatif kreatif. Saya lihat ini sebagai ciri unik kita. Masyarakat yang bukan mencari masalah atau isu yang tiada huraiannya. Tapi bila ada masalah, kita cari huraian yang baik, tuntas dan menyenangkan masyarakat, asalkan yang penting kita kekal bersatu dan tidak berselisih tentang perkara yang hakikatnya tidak perlu diselisihkan."

- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

"Nenek-nenek pun mainkan peranan juga, mesti tahu tentang iPad, iPhone. Nak tak nak, nenek mesti tahu juga apa perkembangan cucu kerana mereka yang sekarang banyak menjaga anak cucu mereka. "Kita sokong mereka supaya mendalami banyak ilmu untuk berwaspada."

- Ustazah Kalthom Muhammad Isa.

"Masyarakat kita perlu ke depan lagi untuk mempergiat kegiatan antara agama. Perlahan-lahan kita lihat semakin ramai yang menganjurkan acara seperti berbuka puasa bersama dengan kaum lain dan sebagainya. Kita harus ke depan dan tidak hanya bersendirian agar bangsa dan kaum lain mempunyai keyakinan terhadap kita."

- Encik Noor Marican.

"Penting bagi kita melatih belia kita agar mereka sendiri boleh faham. Kalau ustaz ini mula mencaci maki ustaz lain, itu satu tanda yang jelas. Itu kelakuan yang tidak meneladani sifat Nabi. Kami melihat pada individu yang boleh membimbing anda, yang meneladani sifat Nabi, yang karakternya seperti Rasulullah, yang moralnya sangat tinggi."

- Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur.

"Satu kategori anak muda yang dipengaruhi (fahaman pelampau) ialah mereka yang berasa mereka berwenang dengan dosa, dan bertanya adakah ini peluang untuk kembali ke pangkal jalan.
Sama ada berjihad, mati atau tidak, mereka lihatnya sebagai tiket untuk ke syurga."

- Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah Sudiman.

 

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 52
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.