Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Persaingan sengit antara sebab dorong harga durian lebih rendah

Jun 20, 2022 | 05:30 AM



PERSAINGAN sengit antara kedai dan juga pelbagai pilihan yang disediakan dalam talian telah membuat peniaga di sini menurunkan harga durian demi menarik pelanggan.



Di samping itu, harga durian lebih rendah juga didorong faktor lain seperti kebolehan orang ramai merentas sempadan ke seberang Tambak untuk menikmati durian pada harga yang berpatutan.



Beberapa peniaga durian di kawasan Geylang yang ditemui Berita Harian (BH) semalam berkongsi bahawa harga durian Musang King - antara yang paling popular dalam kalangan penggemar durian - dijual pada harga sekitar $20 hingga $22 untuk sekilogram.



Durian Red Prawn pula dijual pada harga antara $10 dengan $18 sekilogram, bergantung pada saiz dan beratnya.



Mereka menambah bahawa ramai peniaga telah mengurangkan harga durian sekitar $2 hingga $5 sekilogram untuk menambat hati pelanggan.



Pekerja di kedai Metro Trading di Sims Avenue, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Cheng, berkata harga durian telah diturunkan sejak beberapa hari lalu disebabkan adanya bekalan yang berlebihan.



Namun, beliau berkata pelanggan perlu peka tentang mutu durian dan dari manakah durian itu diimport.



"Ini kerana banyak harga durian yang lebih murah adalah daripada Johor Bahru, dan mutu serta rasanya berbeza daripada durian seperti dari Muar atau Pahang.



"Sekiranya bekalan jatuh, harga pasti akan naik sekitar $5 hingga $10 sekilogram," kata beliau.



Pemilik Durian36 di Geylang Lorong 36, Encik Alvin Teo, pula berkata harga durian tertakluk pada bekalan yang ada, dan harga diberikan murah minggu ini disebabkan bekalan yang banyak.



Namun, beliau menambah bahawa bekalan durian kini semakin turun dan beliau menjangkakan harga naik minggu depan.



"Ini kerana bekalan yang seterusnya akan datang awal Julai ini.



"Tetapi ini terpulang kepada pemilik jika ingin turun atau naikkan harga mereka untuk mengekalkan pendapatan serta menarik pelanggan ke kedai mereka," kata beliau.



Bulan lalu, media Malaysia melaporkan harga durian diramalkan 40 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu disebabkan harga baja dan kos pekerja yang meningkat, serta cuaca buruk yang menjejas pendebungaan bunga durian.



Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 2020, Singapura mengimport 89 peratus durian dari Malaysia, dengan bakinya diimport dari Thailand dan Filipina.



Pemeriksaan di laman yang menjual durian menunjukkan harga dalam talian juga serupa.



Misalnya, laman duriandelivery.com.sg menjual durian Musang King pada harga $23 sekilogram dan durian King Red Prawn pada harga promosi $14 sekilogram.



Laman 227 Katong Durian juga menjual durian Musang King pada harga $23 sekilogram dan durian Red Prawn pada harga $10 sekilogram.



Antara penggemar durian yang ditemui di kawasan Geylang semalam ialah pengurus operasi, Encik Rosli Pitchay, 59 tahun, yang telah membeli tiga biji durian pada harga $15 sekilogram.



"Sebelum ini saya akan beli durian hingga ratusan untuk keluarga.



"Tetapi kali ini lebih sederhana sahaja kerana ingin makan bersama isteri.



"Harga sekarang juga tidak mahal," katanya.



Penganalisis kewangan, Cik Shaakira Kamaludin, 29 tahun, pula berkata:



"Harga agak kompetitif dan sebagai pembeli, kita hanya beli apa yang diinginkan dan mengikut kemampuan kita," kata beliau, yang lebih suka memilih durian bagi mutunya berbanding harganya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >