Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persiapan rapi dibuat bagi acara berbasikal amal 500km

Sep 28, 2021 | 5:30 AM
USAHA MURNI: Encik Muhammad Idris Alkhatib, yang akan berbasikal sejauh 500km bersama Encik Khoo Swee Chiow antara 9 hingga 10 Oktober ini bagi mengumpul derma $5,000 untuk Rumah Kebajikan Muhammadiyah, berkata beliau membuat persiapan rapi bagi acara amal itu. - Foto ihsan MUHAMMAD ALKHATIB
USAHA MURNI: Encik Muhammad Idris Alkhatib, yang akan berbasikal sejauh 500km bersama Encik Khoo Swee Chiow antara 9 hingga 10 Oktober ini bagi mengumpul derma $5,000 untuk Rumah Kebajikan Muhammadiyah, berkata beliau membuat persiapan rapi bagi acara amal itu. - Foto ihsan MUHAMMAD ALKHATIB -

MESKIPUN menghidap penyakit boleh membawa maut, ia tidak mematahkan semangat Encik Muhammad Idris Alkhatib berbasikal sejauh 500 kilometer dalam 30 jam untuk mengumpul derma $5,000 bagi Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Beliau berharap dapat melaksana usaha amal itu antara 9 hingga 10 Oktober. MWH ialah rumah perlindungan bagi remaja lelaki ber-usia 10 hingga 18 tahun.

Encik Muhammad, 46 tahun, mengalami rabdomiolisis - sindrom yang disebabkan pemecahan serat otot rangka dan kebocoran kandungan otot ke dalam peredaran darah - kira-kira setahun lalu.

Ia berlaku kerana beliau terlalu kerap berbasikal hingga melampaui daya ketahanan badannya, menurut pengarah urusan syarikat perkhidmatan komunikasi digital Wiz Werx itu.

Ini mengakibatkan sarafnya terjejas hingga menyebabkan ginjalnya tersumbat.

"Ini boleh menyebabkan kegagalan ginjal dan berpotensi membawa maut," ujar beliau.

Encik Muhammad, yang sudah berumah tangga, berkata beliau membuat persiapan rapi bagi acara amal itu.

"Saya mengambil langkah pencegahan dengan memastikan saya mengikuti latihan dan teknik betul agar dapat melakukan acara berbasikal jarak sangat jauh ini," kata beliau.

Menurut Encik Muhammad, kali pertama beliau mengalami rabdomiolisis, paras kreatina kinase (CK) - petunjuk tahap kerosakan saraf dalam saluran darah - beliau berada di paras 31,000, iaitu terlalu tinggi. Semasa mengalami rabdomiolisis kali kedua tahun ini, ia jauh berkurangan, iaitu 5,000.

"Saya mempunyai seorang ahli fisiologi dan ahli khasiat pemakanan bersama saya, selain berlatih berbasikal secara jarak jauh mengikut batasan disebabkan keadaan saya.

"Di samping itu, saya cuba menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan duduk lama di atas basikal. Makanan dan penghidratan juga penting, dan saya mematuhi corak pemakanan yang diaturkan," ujarnya.

Menurut Encik Muhammad, beliau akan disertai pengembara terkemuka Singapura, Encik Khoo Swee Chiow, penakluk gunung tertinggi di dalam dunia, Gunung Everest, dan kutub utara serta selatan.

Encik Khoo, 57 tahun, juga mencatat rekod menamatkan pengembaraan menakhluki puncak tujuh gunung tertinggi dunia.

Bagi acara amal itu, mereka mempunyai pasukan kecemasan yang disediakan Ciclo E Caffe dan Bike Doctors.

"Ciclo tempat kami bermula dan mengakhiri kayuhan. Ia akan menjadi kem utama untuk kami berehat dan menambah tenaga sebelum berkayuh semula.

"Ia juga tempat untuk rakan-rakan datang dan memberi sokongan, dan akan dibuka 24 jam. Bike Doctors akan menyediakan sokongan 24 jam bagi bantuan teknikal untuk basikal," ujar Encik Muhammad, penunggang basikal jarak jauh dan perintis kelab Habibi Cyclist.

Orang ramai boleh menderma kepada acara itu melalui https://www.giving.sg/campaigns/habibi500 atau membeli pakaian Habibi Cyclist, dengan sebahagian hasil jualan akan disalurkan ke RKM.

Butiran acara ini boleh didapatkan di https://www.facebook.com/TheHabibi500/

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg