Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANCAMAN BOM PALSU DALAM PESAWAT SCOOT

Pilot RSAF dedah pengalaman iringi pesawat Scoot

Apr 07, 2018 | 05:30 AM



DALAM tempoh beberapa minit selepas diberitahu terdapat laporan ancaman bom dalam sebuah pesawat Scoot petang kelmarin, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengerahkan dua jet pejuang F-15SG-nya.



Empat juruterbang yang dikerah berkata mereka hanya menerima butiran dan arahan lanjut mengenai misi itu selepas berada di udara, lapor The Straits Times.



"Kami telah menjalani latihan yang rapi dan ketat bagi memastikan kami sentiasa bersedia untuk tugas ini," kata para juruterbang itu, menerusi Kementerian Pertahanan (Mindef).



Tugas mereka adalah mengiringi pesawat TR634 Scoot kembali ke Lapangan Terbang Changi. Pesawat itu telah berlepas pada 1.20 petang menuju Hat Yai, Thailand.



"Apabila kami berjaya menghampiri pesawat Scoot itu, kami memulakan komunikasi dengan juruterbang menerusi frekuensi radio yang ditetapkan sambil memberitahu bahawa mereka sedang diiring oleh pesawat pejuang RSAF dan supaya mereka mematuhi semua arahan kami," kata para juruterbang itu.



"Kami juga menarik perhatian juruterbang dengan terbang dekat dengan pesawat Scoot itu supaya mereka dapat melihat kami. Kami membuat pemeriksaan secara visual jika terdapat sebarang aktiviti tidak normal dalam kokpit dan kabin. Kami kemudian mengiringi pesawat Scoot itu untuk mendarat sambil memastikan juruterbangnya mematuhi semua arahan kami."



Pesawat tersebut mendarat tanpa sebarang insiden pada 3.23 petang.



Para juruterbang itu menambah:



"Kami kerap melakukan tugas bersiap siaga bagi operasi. Secara keseluruhan, RSAF bekerjasama dengan kementerian dan agensi nasional lain untuk memantau ruang udara Singapura dan bertindak pantas dan tegas bagi menghadapi ancaman di udara sepanjang 24 jam tujuh hari seminggu."



Pesawat Scoot itu sedang membawa 173 penumpang dan enam kru dalam kejadian tersebut.



Polis berkata siasatan awal mendedahkan bahawa seorang penumpang berusia 41 tahun mendakwa beliau membawa bom dalam beg yang dibawanya kepada seorang kru pesawat.



Juruterbang kemudian membuat keputusan berpatah balik ke Singapura.



Pemeriksaan keselamatan menyeluruh telah dilakukan dalam pesawat dan beg yang dibawa suspek dan dua sahabat seperjalanannya tetapi tidak ada barangan mencurigakan ditemui.



Penumpang itu diberkas di bawah Peraturan 8 (1) Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Langkah Anti-Keganasan), yang menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang membuat dakwaan palsu bahawa satu perbuatan pengganasan telah, sedang atau akan dilaksanakan.



Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $500,000 atau dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, atau kededuanya sekali.



Ancaman bom palsu itu menyebabkan kelewatan bagi penumpang di Singapura dan Hat Yai.



Penumpang pesawat TR634 ke Hat Yai itu akhirnya dapat berlepas semula sekitar 6.30 petang selepas pesawat itu diisytiharkan selamat selepas siasatan dan prosedur berkaitan tamat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >