Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pindaan Piagam Wanita langkah penting putus lingkaran keganasan keluarga

Jul 29, 2023 | 12:04 PM



Langkah mewujudkan ekosistem bantuan menyeluruh lebih kukuh bagi mangsa keganasan serta pesalah, adalah penting dalam usaha memutuskan lingkaran keganasan keluarga.

Ini diharap dapat dilakukan melalui rang undang-undang baru yang diluluskan di Parlimen pada awal Julai, yang antaranya bertujuan memperkasa mangsa serta memastikan perlindungan bagi mangsa keganasan keluarga terus dipertingkat, menurut pengamat serta pihak berkepentingan yang dihubungi Berita Harian (BH).


Meskipun tiada jaminan jumlah kejadian keganasan keluarga akan berkurangan, ia sekurang-kurangnya menyediakan pendekatan menyeluruh dengan memberi perhatian kepada beberapa aspek penting.

Ini termasuk memperkasa mangsa untuk bertindak dan melindungi diri mereka selain turut mempertimbang keperluan pesalah melalui pendekatan pemulihan dengan menawarkan program pemulihan yang wajar, menurut pekerja sosial di rumah kebajikan Casa Raudha, Cik Nur Elisa Md Samsol.

“Langkah yang diperkenal, dari segi memperkasa mangsa, menyediakan khidmat sokongan dan langkah rehabilitatif bagi pesalah, merupakan langkah penting dan bermakna ke arah memutuskan lingkaran keganasan dalam konteks keluarga.

“Dalam isu masyarakat yang rumit seperti keganasan keluarga, memang tiada jaminan, tetapi ia membentuk pendekatan menyeluruh dalam mencegah keganasan keluarga,” kata Cik Nur Elisa.

Parlimen meluluskan rang undang-undang Pindaan kepada Piagam Wanita pada Julai, dengan tujuan memperkukuh perlindungan bagi mangsa keganasan keluarga.

Antaranya, pindaan itu mengemaskini takrifan bagi istilah keganasan keluarga bagi meliputi penderaan fizikal, seksual, emosi dan psikologi.

Had usia individu yang boleh membuat permohonan bagi Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) turut diturunkan kepada 18 tahun, berbanding 21 tahun, sebelum ini.

Perubahan-perubahan yang diperkenal itu turut membantu kakitangan pekerja sosial dalam melaksanakan tugas serta menghulurkan bantuan kepada mangsa keganasan keluarga, pengurus pusat khidmat keluarga PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) FSC West, Cik Nooraini Mohd Razak.

“Apa saja perubahan yang mempertingkat perlindungan individu, kurang bernasib baik atau rentan, sentiasa dihargai semua karyawan sektor bantuan sosial. Ia membuat kita rasa diperkasa untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Ini selain memperkasa golongan itu juga pada masa yang sama, apabila mereka sedar wujudnya sistem sokongan sekeliling mereka yang boleh bertindak bersama secara berkesan untuk memberikan perlindungan,” ujarnya.

Pindaan tersebut turut mempertingkat kesedaran orang ramai tentang keganasan keluarga dan juga sumber tersedia, menurut jurucakap Pusat Khidmat Keluarga Foundation of Rotary Clubs Singapore (FRCS).

Ini boleh memperkasa mangsa keganasan keluarga serta orang ramai untuk bertindak melindungi diri mereka, terutama sekali mangsa lebih muda, tambahnya.

Meskipun pindaan terhadap Piagam Wanita itu dapat membantu memutuskan lingkaran keganasan, ia sekadar titik permulaan dalam usaha itu, kata pengerusi SG Her Empowerment (SHE), Cik Stefanie Yuen.

Katanya: “Dengan perubahan yang dilaksanakan ini, agensi-agensi yang menghadapi kes-kes seperti ini boleh membentuk norma baru berdasarkan undang-undang baru itu.

“Yang jelas, perubahan ini memaparkan bagaimana keganasan ini langsung tidak diterima, dan mereka yang melanggar nilai ini akan dipertanggungjawabkan.”

Pindaan yang diusulkan pada Piagam Wanita itu merupakan sebahagian daripada saranan Pasukan Bertindak mengenai Keganasan Keluarga, yang dipengerusikan bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >