KOLEJ seni liberal Yale-NUS boleh menawarkan satu lagi laluan kepada pelajar di Singapura jika ia disesuaikan dengan konteks setempat dan rantau Asia, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Sekolah gabungan universiti terkemuka Yale dari Amerika Syarikat dan Universiti Nasional Singapura (NUS) itu harus mengkaji dan menyesuaikan model Yale kepada Singapura, dan tidak akan berjaya jika ia semata-mata menyerupai Yale di Amerika.
Asia dan Amerika berbeza, meskipun banyak negara sedunia menghadapi cabaran serupa dengan teknologi dan globalisasi yang merubah cara kehidupan.
Namun, negara sedunia tidak menuju ke arah satu model sosial dan politik sahaja.
Setiap negara berbeza dan perlu mencari hala tuju sendiri, kata Encik Lee semasa berucap di pembukaan rasmi kampus Kolej Yale-NUS hari ini (12 Oktober).