Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Berita palsu perlu dikawal sebelum ia jejas perpaduan warga

Apr 29, 2019 | 05:30 AM



TERDAPAT banyak ruang bagi kebebasan bersuara di Singapura, namun berita palsu merupakan satu masalah khusus dan nyata yang perlu dikawal sebelum ia menjejas perpaduan masyarakat, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Oleh itu, cara untuk mengawal masalah berita palsu itu harus difikirkan.



Mengulas tentang keprihatinan bahawa undang-undang yang diusul bagi menangani penyebaran berita palsu boleh mengekang kebebasan bersuara, Encik Lee berkata kebebasan bersuara sememangnya sudah wujud dengan batas yang wajar.



Sebagai contoh, ucapan yang berbaur fitnah atau mengganggu adalah di luar batas kebebasan bersuara, kata Encik Lee dalam satu wawancara yang disiarkan di Channel 8, malam tadi.



"Kita harus mencari batas yang wajar yang membolehkan kita melindungi kebebasan bersuara ini dan membolehkan orang ramai bertukar maklumat, pendapat dan pandangan secara bermakna," katanya.



Dalam wawancara sepanjang sejam itu, Encik Lee turut bercakap tentang pelbagai topik berkaitan teknologi termasuk mengurus akaun media sosialnya, menggalak golongan warga emas membiasakan diri dengan Internet dan undang-undang baru bagi menangani penyebaran berita palsu di dalam talian.



Pemerintah telah memperkenal Rang Undang-Undang Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) di Parlimen awal bulan ini.



Rang undang-undang itu antara lain mengusul agar menteri diberi kuasa mengarahkan pembetulan diterbit atau kenyataan yang mereka anggap palsu atau mengelirukan serta menjejas kepentingan awam dipadam.



Encik Lee berkata undang-undang yang diusul itu mungkin tidak dapat menghapuskan masalah berita palsu, namun ia berupaya mengurangkan kesan kepalsuan tersebut.



Memberi contoh pilihan raya presiden di Amerika Syarikat pada 2016, beliau berkata pihak lain juga boleh campur tangan dan turut mewujudkan berita palsu di Singapura.



Amerika mendakwa pilihan raya itu melibatkan campur tangan daripada ejen Russia, namun Russia menafikannya.



"Saya tidak tahu negara mana yang mungkin ingin turut serta dalam politik kita tetapi kita tahu (Singapura) merupakan sebuah negara yang amat terbuka.



"Kita harus bersiap sedia dan meningkatkan pertahanan kita, sebab itulah kita telah memperkenal rang undang-undang berita palsu ini," ujar Encik Lee.



Tambahnya, sesetengah orang yakin mereka dapat mengenal pasti berita palsu tetapi kadangkala ini mustahil.



Encik Lee berkata adalah sukar untuk mengesahkan sumber berita di media sosial yang hanya mempunyai maklumat tentang akaun tersebut.



Malah, sesetengah akaun itu juga tidak menunjukkan identiti sebenar pemiliknya.



"Apabila anda tidak tahu siapa (pemilik akaun itu), bagaimana hendak tahu sama ada ia berita benar atau palsu?" kata Encik Lee.



Oleh itu, adalah penting untuk mengesahkan sumber berita dan bergantung pada sumber berita yang boleh dipercayai, katanya.



Encik Lee berkata beliau sendiri pernah menjadi mangsa berita palsu apabila satu laman web menggunakan gambar dan namanya untuk memasarkan bitcoin.



Laman web itu antara lain mendakwa 'menukil Encik Lee' sebagai berkata produk itu amat baik dan kononnya beliau menggalak orang ramai turut melabur.



"Ini tidak masuk akal. Namun apabila orang lain melihatnya, bagaimana mereka tahu sama ada ia benar atau palsu?" ujar Encik Lee.



Beliau juga akur bahawa masalah baru akan timbul dengan teknologi baru seperti kecerdasan buatan (AI).



"Dunia ini sentiasa berubah dan teknologi akan bertambah canggih mengikut peredaran masa," kata Encik Lee sambil menambah ini usaha perlu dijalankan untuk menyesuaikan diri.



Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Ong Ye Kung yang berucap di acara sambutan Hari Vesak Persekutuan Buddha Singapura di Ngee Ann City Civic Plaza semalam, berkata undang-undang berita palsu yang diusul itu disasarkan kepada pencipta kepalsuan dan bukan mereka yang menyebarkannya.



Tambahnya, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang kerana Pofma tidak menyasarkan pandangan, kritikan, satira atau parodi.



Namun, usaha menangani berita palsu memerlukan lebih daripada undang-undang dan adalah penting bagi warga bersatu padu menangani penyebaran berita palsu.



"Saya harap semua orang akan berjaga-jaga pada setiap masa dan mengesahkan berita itu sebelum menyebarkannya kepada teman dan keluarga anda," katanya.




"Kita harus mencari batas yang wajar yang membolehkan kita melindungi kebebasan bersuara ini dan membolehkan orang ramai bertukar maklumat, pendapat dan pandangan secara bermakna."
- PM Lee mengulas tentang keprihatinan bahawa undang-undang yang diusul bagi menangani penyebaran berita palsu boleh mengekang kebebasan bersuara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >