PM Lee: Kemantapan dan perspektif segar dalam Kabinet baru

Kabinet baru Singapura mempunyai kedua-duanya - menteri berpengalaman dan lebih muda - untuk memimpin Singapura mengatasi cabaran rumit, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan selepas Kabinet baru mengangkat sumpah pada Khamis (1 Oktober).

Menteri berpengalaman akan menyediakan tangan mantap, manakala pemimpin muda akan membawa perspektif baru, kata beliau.

Matlamat beliau dalam membentuk pasukan itu, katanya, ialah menyediakan pemerintah paling berkesan, dan menyiapkan pasukan seterusnya untuk mengambil alih tidak lama selepas pilihan raya akan datang, yang harus diadakan menjelang 2021.

Dengan cabaran rumit dan isu-isu merentas beberapa bidang, beliau melantik Encik Teo Chee Hean, Encik Tharman Shanmugaratnam dan Encik Khaw Boon Wan masing-masing sebagai menteri penyelaras bagi keselamatan negara, dasar ekonomi dan sosial, dan infrastruktur.

"Cabaran-cabaran rumit ini memerlukan idea baru dan berani, pengimbangan berhati-hati matlamat berbeza dan kerjasama rapat dengan pelbagai agensi," kata Encik Lee.

Banyak negara mendapati cabaran yang sama terlalu sukar dihurai, tetapi di Singapura "kita boleh memastikan perkara dilakukan dan kita akan menjadikannya satu kenyataan".

Singapura menghadapi ancaman terhadap keselamatan negara daripada kumpulan-kumpulan seperti Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS), katanya.

Ia juga mudah terdedah kepada ketegangan di Laut China Selatan yang mengganggu rantau ini.

Lebih dekat dengan Singapura pula, mungkin ada kesan limpahan daripada masalah politik atau ketegangan kaum di negara jiran, yang boleh merumitkan hubungan dua hala juga, kata Encik Lee.

Dalam dasar ekonomi dan sosial, Singapura harus mengimbangi kelembapan yang dijangka dalam pertumbuhan, memandangkan penduduk semakin tua dan keadaan global tidak menentu, dengan keperluan menghasilkan pertumbuhan demi mewujudkan peluang bagi warga Singapura dan memperbaiki kehidupan.

Singapura telah berjaya dalam soal infrastruktur, tetapi ada hasrat membina terus apa yang ada sepanjang tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang untuk "mewujudkan sebuah bandar baru, dan persekitaran hidup cemerlang untuk kita semua", kata Encik Lee.

Mandat jelas yang diberi kepada pemerintah semasa pilihan raya umum pada 11 September membolehkan beliau "mengukuhkan pasukan saya dan meneruskan pembaharuan dengan bersungguh-sungguh".

"Masa berdetik, kita tidak ada masa untuk dibuang," kata Encik Lee, sambil menyatakan terdapat penyandang baru di hampir semua kementerian.

Para pemimpin muda "perlu diuji, belajar, membuktikan sendiri diri mereka, dan bergoyang sebagai satu pasukan".

"Mereka akan semakin banyak meneruskan program pemerintah - memulakan, menjelaskan dan melaksana dasar-dasar, dan meyakinkan rakyat untuk menyokong dasar-dasar ini, yang akan semakin menjadi dasar mereka."

Menteri lebih tua akan menyediakan pasukan ini pengalaman mendalam dan meluas, serta petunjuk dan bimbingan.

Kepada rakyat Singapura, Encik Lee berkata: "Anda telah mengamanahkan Singapura kepada saya dan pasukan saya, bukan hanya kerana apa yang kami lakukan, tetapi juga kerana anda yakin apa yang akan kami lakukan. Anda percaya bahawa kami akan mengotakan kata-kata kami dan memenuhi janji kami, dan kami akan melakukannya."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 54
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.