Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee lahir prihatin konflik Israel-Palestin

Turut lahirkan yang terbaik bagi kededua pihak yang merupakan 'rakan Singapura'
Apr 20, 2016 | 05:30 AM



BAITULMAKDIS (ISRAEL): SINGAPURA prihatin dengan konflik antara Israel dan Palestin serta proses kedamaian di Timur Tengah yang tidak menunjukkan kemajuan.



Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Singapura mengharapkan yang terbaik bagi kededua pihak kerana Kota Singa ini merupakan rakan kepada Israel dan juga Palestin.



"Kami berharap anda dapat menyambung semula perbincangan dan mencapai kemajuan ke arah huraian yang adil serta berkekalan kepada konflik yang rumit lagi berlarutan ini.



"Kami harap dapat melihat huraian dua negara dengan rakyat Israel dan Palestin hidup aman dan selamat bersama-sama, satu hari nanti," ujar Perdana Menteri.



Encik Lee berkata demikian semasa berucap di majlis bagi menyambut ketibaan beliau di Israel. Majlis tersebut diadakan di Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.



Ini merupakan lawatan pertama Encik Lee ke Israel sebagai Perdana Menteri dan sebahagian daripada lawatannya ke Timur Tengah.



Awal daripada ini, beliau ke Jordan dan menemui Raja Abdullah II Al Hussein di Istana Al Husseinieh, di mana kedua-dua pemimpin menegaskan hubungan yang mesra dan muhibah antara Jordan dan Singapura. Encik Lee turut mengadakan majlis jamuan bagi sekumpulan pelajar Singapura di Jordan.



Hari ini, Encik Lee dijadualkan melawat Ramallah, Palestin, dan antara lain akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA), Encik Rami Hamdallah.



Dalam ucapannya semalam, Encik Lee menekankan Singapura ingin meneroka kerjasama lebih luas dengan Israel dalam bidang teknologi, perniagaan, hubungan sesama rakyat serta keselamatan siber, yang merupakan ancaman global.



Beliau juga menyampaikan rasa kagum Singapura terhadap kemajuan Israel dalam bidang teknologi.



Israel memiliki jumlah saintis, teknisyen dan jurutera tertinggi per kapita di dunia dan jumlah hak paten ketiga tertinggi per kapita.



Perdana Menteri menambah bahawa Singapura mengikuti perkembangan di Israel secara dekat dan lawatan beliau ke Timur Tengah ini adalah untuk bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan di rantau itu, termasuk ancaman pengganasan dan keselamatan siber.



Dalam pada itu, Encik Netanyahu berkata Israel dan Singapura berkongsi banyak persamaan.



Singapura dan Israel, menurutnya, adalah dua negara kecil yang meninggalkan kesan besar di persada dunia - dengan Singapura dikagumi sebagai sebuah keajaiban ekonomi manakala Israel pula diiktiraf sebagai sebuah hab teknologi dan inovasi.



Kededua pemimpin itu turut mengadakan pertemuan empat mata selepas majlis tersebut dengan Encik Lee dan Encik Netanyahu bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala selain menggalak peniaga Singapura dan Israel agar menjalin kerjasama sambil meneroka peluang pelaburan.



Encik Lee tiba di Israel kelmarin dan telah dianugerahkan Ijazah Doktorat Kehormat dari Universiti Hebrew di Baitulmakdis.



Selain mengadakan perbincangan dengan Encik Netanyahu, Encik Lee juga bertemu dengan beberapa pemimpin industri teknologi tinggi sambil makan tengah hari bersama mereka.



Beliau juga melawat Yad Vashem - sebuah muzium bagi memperingati mangsa Holocaust (pembunuhan berjuta-juta kaum Yahudi) dan meletakkan sejambak bunga sebagai tanda hormat.



Beliau menggulung hari kedua dalam lawatannya ke Israel dengan melawat Muzium Israel untuk meninjau Shrine of Book - yang mempamerkan pelbagai penemuan arkeologi hebat.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >