Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PM Lee: Pastikan semua warga diwakili secara adil di S'pura

Teks penuh ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan 2016
Aug 21, 2016 | 07:09 PM



Selamat Hari Kebangsaan!



Ini adalah Rapat Umum Hari Kebangsaan yang pertama selepas SG50. Kita kini memasuki satu tahap baru dalam perjalanan kita. Kita perlu fikirkan bagaimana untuk menjamin masa depan kita.



Dalam rapat umum sebelum ini, saya sering menyentuh tentang Geylang Serai.



Tahun ini saya sempat ke sana, bukan sekali tetapi dua kali! Pertama, ketika majlis menyalakan lampu Hari Raya. Hiasannya lebih gah tahun ini.



Sayangnya, saya tidak sempat menikmati sepenuhnya suasana Bazar Geylang Serai. Saya rasa tak puas. Ini tak boleh jadi. Jadi pada malam Raya, saya dan Ho Ching pergi lagi ke sana.



Seronok sekali, tidak ada protokol. Inilah gambar gambar yang saya ambil. Kami beramah-mesra dengan ramai pengunjung yang sedang menikmati beraneka juadah.



Suasananya cukup meriah. Rakyat Singapura dari pelbagai bangsa ada di sana.



Mereka tersenyum dan kelihatan riang. Jelas mereka selesa, berasa selamat dan yakin bersama satu sama lain.



Inilah yang kita hargai dan inilah yang akan saya sentuh malam ini - tentang kemakmuran, perpaduan dan identiti kita.



Saudara saudari, untuk berjaya dalam ekonomi baru, kita perlu menguasai teknologi. Teknologi merubah industri. Kini peniaga kuih Raya kecil-kecilan pun, pandai berniaga secara 'online' (dalam talian).



Teknologi juga menggantikan pekerjaan. Kilang-kilang kini kurangkan pekerja dan gunakan robot. Tetapi teknologi juga mencipta peluang-peluang baru. Kita perlukan jurutera dan pencipta program, saintis dan pereka permainan seperti Pokemon Go! Malah pekerja biasapun mesti tahu gunakan mesin berkomputer.



Jadi penting sekali untuk masyarakat Melayu Singapura terlibat sepenuhnya dalam ekonomi baru. Ramai anak muda Melayu sudahpun turut serta misalnya Muhammad Ariff Awari.



Selepas lulus kursus Kejuruteraan Elektrik di ITE, beliau meneruskan pengajian di Politeknik Nanyang. Beliau bertanding dalam WorldSkills Singapore, bulan lalu. Ariff dan pasukannya mencipta sebuah robot yang boleh sajikan makanan dan kemudian membawa pinggan mangkuk ke dapur. Robot itu memenangi pingat perak.



Seorang lagi ialah Abdul Halim Ali Akbar, lulusan Madrasah Irsyad Zuhri dan Politeknik Singapura. Baru-baru ini, Halim mendapat Sarjana bidang Aeronautik dari Imperial College London.



Beliau akan memulakan PhDnya tidak lama lagi.



Sementara itu, beliau bekerja di A*Star dan salah satu projeknya ialah membina drone yang menerima arahan penerbangan melalui kod QR. Ini dia Halim sedang berbaring di lantai bersama drone-nya.



Inilah komitmen Pemerintah. Kami sediakan permulaan yang baik bagi setiap anak agar lebih ramai boleh berjaya seperti Ariff dan Halim.



Ekonomi baru bukan sahaja untuk sektor teknologi. Pekerja di sektor bukan teknologi juga ada banyak peluang untuk tingkatkan kemahiran melalui SkillsFuture.



Satu contoh ialah Noraishikin Ismail. Beliau lulusan NITEC Tinggi ITE dalam bidang perakaunan.



Pada mulanya, beliau bekerja sebagai koordinator program di SACA, Persatuan Jagaan Lanjut Singapura.



Lama kelamaan, beliau tertarik dengan kerja sosial dan mengambil Diploma serta Diploma Lanjutan dalam Khidmat Sosial.



Hasilnya, Noraishikin dinaikkan pangkat menjadi Pengurus di SACA. Namun beliau tidak berhenti di situ. Tahun lalu, Noraishikin menang Anugerah Pengajian SkillsFuture dan kini beliau sedang memburu ijazah Sarjana Muda dalam Kerja Sosial pula. Syabas Noraishikin!



Seperti Noraishikin, saya harap lebih ramai pekerja Melayu akan merebut peluang untuk perbaiki taraf hidup anda.



Sejak tahun lalu, MENDAKI membentuk Unit "Future Ready" untuk siapkan masyarakat Melayu/Islam bagi Ekonomi Baru. Antara lain, ia menganjurkan siri dialog "Future Ready Conversations" dan lebih 400 pelajar, karyawan muda dan ibu bapa hadir bincangkan cabaran dan peluang dalam Ekonomi Baru termasuk yang dibawa bersama teknologi.



Bagi golongan pekerja pula, Mendaki SENSE, iaitu cabang latihan dan pendidikan berterusan MENDAKI, menganjurkan siri pameran pekerjaan "Making SENSE of SkillsFuture" dan dialog "Sembang Petang" untuk membantu pekerja memanfaatkan SkillsFuture.



Saya harap masyarakat Melayu akan bekerjasama dengan MENDAKI dan terlibat sepenuhnya dalam Ekonomi Baru.



Mungkin AMP dan badan Melayu/Islam lain juga boleh terlibat sama dalam gerakan ini?



Jika lebih ramai orang Melayu/Islam menyertai dan berjaya dalam Ekonomi Baru, perpaduan antara kaum akan lebih teguh dan kita akan lebih bersedia untuk sama-sama melindungi satu sama lain daripada pelbagai ancaman.



Para hadirin, kini, antara ancaman besar yang perlu kita hadapi ialah pengganasan. Kita semua tahu bahawa ancaman pengganasan kepada Singapura semakin meruncing dan berbahaya. ISIS di Timur Tengah ada pengikutnya di rantau ini. Malaysia telah memberkas lebih 200 anggota pengganas yang ada kaitan dengan ISIS. Baru-baru ini, Indonesia pula menangkap beberapa orang di Batam yang merancang untuk menyerang Singapura dari Batam. Di Singapura, kita juga memberkas beberapa individu yang telah menjadi radikal.



Di Singapura, sebenarnya kita beruntung kerana semua kaum dan kumpulan agama, sebulat suara menyokong usaha untuk membanteras pengganasan. Mereka bekerjasama untuk memperkukuh keyakinan antara agama. Pemimpin Melayu/Islam secara terang-terangan menolak keras fahaman pelampau. RRG giat membetulkan tafsiran yang salah tentang Islam dan menyangkal ideologi pelampau dan pengganasan. Saya mengalu-alukan seruan Mufti kita, Dr Mohamed Fatris Bakaram supaya kita berganding bahu dan lantang mengutuk serta menolak semua bentuk keganasan. Ini panduan berguna untuk masyarakat.



Masyarakat Islam dan bukan Islam bekerjasama untuk memperteguh perpaduan dan kefahaman silang agama.



Negara kita adalah sebuah negara berbilang agama. Penganut semua agama bersikap prakmatik dan bertolak-ansur agar kepentingan umum terjaga.



Kita berbincang antara satu sama lain untuk meluaskan ruang bersama dan kukuhkan identiti yang kita kongsi.



Kita tidak asingkan diri daripada masyarakat lain. Kita hormati agama lain. Kita bertukar-tukar ucap selamat bagi perayaan satu sama lain dan meraikannya bersama-sama. Ini pengalaman peribadi saya.



Misalnya, ketika Tahun Baru Cina, masyarakat lain menyambutnya bersama-sama saya.



Pada pesta Pongal yang lalu, saya sertai sambutan masyarakat India di Cheng San.



Sewaktu jalan-jalan di pantai East Coast Krismas lalu, saya terserampak beberapa keluarga yang sedang menyambutnya.



Saya pun sertai mereka! Semasa bulan Ramadan, saya hadiri beberapa majlis iftar termasuk di Masjid Al Islah di Punggol ini. Masyarakat Islam dan bukan Islam duduk bersebelahan.



Mereka menunggu azan untuk berbuka dan menikmati hidangan yang disajikan. Saya yakin anda juga ada pengalaman yang sama. Ini hanya berlaku di Singapura!



Namun keadaannya sungguh berbeza di tempat lain. Ada kalanya, agama yang sama, diamalkan dengan cara yang berlainan.



Beberapa pendakwah asing yang datang ke sini, tidak faham konteks berbilang bahasa dan bangsa Singapura. Mereka menyeru supaya para penganut agama dan bukan penganut, dipisahkan.



Mereka mengutuk orang beragama lain, dan adakalanya mengutuk seagama mereka sendiri, hanya kerana mereka berlainan aliran atau mazhab.



Mereka menganjurkan amalan dan adat yang boleh membawa padah kepada Singapura.



Sebilangan pemimpin Islam telah menyuarakan kebimbangan mereka. Kami memantau perkembangan ini.



Pendakwah asing pernah dilarang masuk ke Singapura. Ada pendakwah beragama Islam, ada beragama lain.



Yang jelas, pemerintah harus tegas dan konsisten terhadap semua agama demi mempertahankan keharmonian agama kita.



Asatizah kita perlu memahami konteks bagaimana Islam diamalkan di Singapura.



Bagi mereka yang belajar di luar negara, program SRP di RSIS bersama Akademi MUIS, menganjurkan kursus Sijil Pemikiran Islam dalam Konteks: Kehidupan Masyarakat Majmuk.



Keperluan memahami isu-isu semasa dan konteks juga diterapkan dalam program pembangunan profesional Asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah atau ARS.



Saya difahamkan ramai Asatizah kita mendapati pendedahan ini perlu dan berguna. Ini harus kita perkukuhkan.



Saya juga alu-alukan seruan pemimpin Melayu/Islam supaya ARS diwajibkan agar semua asatizah berdaftar di bawah skim ini.



Sekarang, ARS atas dasar sukarela. MUIS akan bekerjasama dengan PERGAS dan Lembaga Pengiktirafan Asatizah untuk menjadikannya wajib.



Saya menyambut baik usaha dan azam masyarakat Melayu/Islam kita. Ini akan memberi jaminan bahawa semua guru agama di sini dapat membimbing para pelajar mereka untuk mengamalkan Islam sejajar dengan konteks berbilang kaum Singapura.



Saudara saudari sekalian, satu lagi aspek untuk kita bina masyarakat yang bersatu-padu dengan jatidiri yang teguh ialah dengan rakyat merasa yakin dan percaya terhadap sistem pentadbiran negara, termasuk peranan Presiden yang mewakili Negara.



Sekarang ini kita sedang menyemak-semula sistem Presiden Dipilih. Mengapakah kita perlu perbaiki sistem Presiden Dipilih?



Singapura menjadi sebuah negara merdeka kerana kita mempunyai satu impian.



Impian supaya setiap orang memiliki peluang yang sama tidak kira bangsa, bahasa atau agama dan masyarakat minoriti ada ruang untuk mengamalkan budaya dan cara hidup mereka, serta tidak dipinggirkan atau ditindas oleh masyarakat majoriti Cina Singapura.



Dalam membina sebuah masyarakat berbilang kaum, kita faham masyarakat minoriti perlu merasakan bahawa mereka diwakili secukupnya dalam sistem politik dan kepentingan mereka dijaga dengan baik.



Sebab itulah, kita membentuk GRC untuk memastikan bahawa sentiasa ada Anggota Parlimen daripada kaum minoriti yang terpilih ke Parlimen.



Kini kita sedang memberi perhatian kepada isu yang sama untuk Presiden Dipilih.



Dahulu, semasa Presiden dilantik oleh Parlimen, kita boleh pastikan bahawa semua kaum di Singapura menjadi Presiden dari masa ke masa.



Sebab itu, mantan Presiden kita termasuklah Encik Yusof Ishak, Profesor Benjamin Sheares, Encik Devan Nair dan Encik Wee Kim Wee.



Tetapi sekarang, oleh kerana Presiden dipilih menerusi pilihan raya, lebih sukar untuk calon bukan Cina terpilih sebagai Presiden. Jika calon bukan Cina boleh dipilih dengan sendirinya, seperti Presiden S R Nathan, ia memang baik sekali.



Tetapi jika proses ini tidak menghasilkan Presiden dari kaum minoriti dalam jangka masa panjang - ia akan menimbulkan perasaan kecewa dan resah di kalangan masyarakat minoriti dan sewajarnya mereka berasa begitu.



Ia boleh dipolitik dan diperalatkan untuk mengapi-apikan masyarakat minoriti dan memecah-belahkan perpaduan kita pada masa depan.



Kita harus membuat perubahan sekarang dan mengambil tindakan ketika suasana aman dan rakyat bersatu.



Jadi, kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.



Saya percaya isu ini penting bukan sahaja kepada masyarakat minoriti tetapi juga Singapura. Bagaimanapun, kriteria kelayakan yang ketat akan dikekalkan.



Dengan ini, kita yakin bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Presiden layak dan memenuhi piawaian tinggi yang sama.



Jawatan Presiden merupakan simbol negara kita.



Setiap rakyat Singapura mesti berasa bahawa seseorang dari kaumnya boleh menjadi Presiden malah terpilih menjadi Presiden dari masa ke masa. Dengan keyakinan dan sokongan itu, Presiden boleh memainkan peranannya menyatu padukan rakyat Singapura.



Inilah yang dilakukan Encik Yusof Ishak. Sebagai Presiden, beliau mewakili semua rakyat Singapura. Masjid baru di Woodlands yang dinamakan sempena nama beliau, Masjid Yusof Ishak, hampir siap dibina.



Saya tidak sabar untuk merasmikannya pada suku pertama tahun depan!



Saya gembira diberitahu bahawa kegiatan masjid akan menerapkan nilai-nilai murni yang beliau perjuangkan iaitu meritokrasi, kepelbagaian budaya dan pemodenan.



Pada tahun 1968, dalam ucapan tahun barunya, Encik Yusof Ishak menekankan asas-asas yang membina masyarakat kita. Ini kata-kata beliau:



"Oleh yang demikian, kita di Singapura tidak harus salah anggap bahawa berbagai bahasa, ugama, budaya dan keturunan kaum itu sebagai satu batu penghalang terhadap kemajuan dan kemakmuran.



"Sebaliknya pula, kalau kita menghadapi segala perbezaan ini dengan rasa muhibah, sikap sabar dan ingin mempelajari, maka segala aneka perbezaan yang kaya ini akhirnya kelak akan jadi matlamat kita yang terjamin.



"Antara lain-lain, sikap sabar inilah yang menjadikan Singapura sebuah kota raya yang dinamik dan maju hari ini."



Hari ini, kita berjaya kerana kita ikut nasihat Encik Yusof Ishak. Inilah yang telah saya bincangkan malam ini - bagaimana kita mesti meneruskan visi ini dan meraikan kerencaman kita dengan lebih bersemangat lagi.



Hakikatnya, kita hidup bersatu padu walaupun kita tidak serupa. Bak kata pepatah: Kuat lilit kerana simpulnya.



Oleh itu, kita perlu terus bekerja keras, bertolak ansur dengan penuh muhibah supaya kita lebih bersatu hati.



Kita juga mesti pastikan bahawa semua warga diwakili secara adil di Singapura.



Saudara saudari sekalian, inilah tunggak negara kita. Inilah yang membolehkan kaum minoriti dan kaum majoriti kita hidup dengan harmoni, maju dan makmur selama ini.



Inilah sebabnya hari ini, kita boleh nyanyikan Majulah Singapura bersama-sama, "sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa, atau ugama".



Terima kasih.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >