PM Lee: S'pura mahu bantu Asean bina daya tahan, inovasi

SINGAPURA mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Asean tahun depan dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong melahirkan harapan untuk membantu Asean membina daya tahan menangani ancaman pengganasan dan membangun inovasi demi membina kehidupan lebih baik bagi warga di rantau ini.

"Jika kita boleh, semasa menyandang Pengerusi Asean, menjadikan Asean lebih berkesan, memperkukuh kerjasama dengan negara jiran, saya rasa bagi Singapura, (akan wujud) sebuah dunia yang lebih stabil, Asia Tenggara yang lebih selamat... sebuah rantau yang lebih makmur di mana kita boleh mengembangkan ekonomi, meluaskan pasaran kita di mana kita boleh merebut peluang yang ada," kata Encik Lee ketika ditemui media Singapura termasuk The Straits Times di akhir kunjungannya ke Manila sempena sidang Puncak Asean ke-31.

Semasa upacara penutup sidang tersebut, Encik Lee pula telah menggariskan keutamaan Singapura sebagai Pengerusi Asean.

Singapura menurut Encik Lee mahu mendorong Asean ke arah integrasi ekonomi dan mempertingkat perhubungan agar Asean kekal kompetitif dan makmur.

Menyentuh tema membina daya tahan semasa ditemui media, Encik Lee berkata isu pengganasan dan ancaman bukan tradisional seperti keselamatan siber merupakan ancaman yang dihadapi semua negara anggota Asean.

"Jika kita boleh menanganinya, kita boleh menjadikan Asean lebih berkesan dan pertubuhan yang lebih berharga," katanya.

Menyentuh inovasi pula, Encik Lee berkata sebahagian besar usaha tersebut ada kaitan dengan ekonomi digital.

Ekonomi digital Asean menurut beliau semakin tumbuh pesat - tentu sekali bagi Singapura, katanya.

"Kita bercakap tentang Negara Bijak. Namun negara lain juga mempunyai banyak (firma) startup, banyak projek dan banyak kemajuan yang dicapai dan jika kita bersama dalam tema inovasi dan Negara Bijak, misalnya, saya rasa kita akan ada sesuatu yang bernilai, yang kita boleh usahakan bersama," ujar Encik Lee.

Beliau juga berkata rakyat Singapura perlu memandang positif akan perkembangan tersebut kerana Asean penting bagi negara ini.

"Asean bot penyelamat bagi semua 10 negara di Asia Tenggara bekerjasama, memastikan suara kita didengar di pentas dunia dan kita berupaya menangani isu kita di kalangan kita sendiri dan bekerjasama memperbaiki kehidupan rakyat di Asia Tenggara," tambah beliau.

Semasa sesi bersama media itu, Encik Lee juga diminta mengulas sebagai pengerusi Asean bagaimana Singapura boleh menghalang negara anggota Asean daripada memilih antara Amerika Syarikat dengan China, andainya hubungan antara kededua negara besar itu menjadi tegang.

Encik Lee berkata Singapura tidak berupaya menghalang mana-mana negara membuat sesuatu perkara.

Apa yang boleh Singapura lakukan adalah cuba menggalak Asean, sebagai satu pertubuhan, mempertingkat kerjasama dengan China dan pada masa yang sama mempertingkat kerjasama dengan Amerika, kata Encik Lee.

Beliau menambah: "Saya rasa kededua Amerika dan China mahu mendalami kerjasama dengan Asean dengan cara dan pendekatan yang berbeza tetapi saya rasa kita boleh bekerjasama dengan mereka berdua.

"Sidang ini telah menunjukkan bahawa Asean menghargai hubungan dengan kededua kuasa itu dan kededua kuasa itu juga memberi perhatian tentang hubungan mereka dengan Asean," kata Encik Lee.

Antara pencapaian dalam sidang yang baru berakhir itu adalah pengumuman daripada negara anggota Asean dan China untuk memulakan perundingan berhubung teks Kod Tata Laku di Laut China Selatan.

Ditanya bila rundingan akan bermula, Encik Lee berkata ia akan bermula awal tahun depan.

Laporan lain: PM Lee: S'pura akan cuba majukan rundingan RCEP

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 81
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.