Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA - SIDANG PEMIMPIN MENGENAI IKLIM

PM Lee: S'pura sedia bersama negara dunia tangani isu iklim

Alu-alu kepimpinan, penyertaan semula Amerika Syarikat cari huraian berbilang hala
Apr 24, 2021 | 05:30 AM



SINGAPURA beriltizam untuk bersama-sama dengan negara-negara sedunia menangani masalah perubahan iklim yang semakin getir sekarang dan mengalu-alukan kepimpinan Amerika Syarikat dan komitmennya kepada huraian iklim berbilang hala - yang digariskan dengan penyertaan semula Amerika ke dalam Perjanjian Paris.



Menyatakan demikian di sesi ke-5 Sidang Puncak Pemimpin Berkenaan Iklim yang dihoskan Amerika Syarikat dan dihadiri pemimpin 40 negara malam tadi, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, turut mendedahkan republik ini bercadang meningkatkan sebanyak empat kali ganda pengeluaran tenaga suria menjelang 2025.



Singapura juga akan mengadakan satu sistem tenaga suria terapung terbesar di dunia, yang boleh mengimbangi 33,000 tan karbon dioksida (CO2) setiap tahun.



"Walaupun Singapura sebuah negara pulau yang kecil, kita akan menyumbang bahagian kita kepada agenda iklim ini.



"Singapura adalah di antara 20 negara pertama yang mengemukakan strategi jangka panjangnya kepada UNFCCC (Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Terhadap Perubahan Iklim).



"Tahun ini kami melancarkan Pelan Hijau Singapura 2030, yang merupakan pelan induk ke arah pembangunan mampan dan pelepasan sifar (karbon). Strategi kami melangkaui had pelepasan (wasap beracun) atau melaksanakan cukai karbon kami," ujarnya di sesi yang bertemakan 'Membentangkan Inovasi Iklim' itu.



Dalam sesi tersebut, Encik Lee juga menzahirkan keprihatinannya tentang kedudukan Singapura sebagai sebuah negara bandar yang padat dan menghadapi suhu cuaca yang semakin meningkat.



"Untuk mengimbanginya, kami menggunakan pemodelan komputer bagi menghasilkan rekaan bandar yang lebih responsif terhadap perubahan iklim, menguji-cuba cat khas yang lebih menyejukkan bangunan dan menanam sejuta lagi pepohon," terang beliau.



Dalam ucapannya semasa merasmikan sidang puncak ini, Presiden Joe Biden mengumumkan langkah Amerika mahu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50 peratus di bawah tahap 2005 menjelang 2030.



Angka itu hampir dua kali ganda daripada janji yang dibuat di bawah pentadbiran Encik Barack Obama pada 2014 dahulu, dan jauh lebih tinggi berbanding pentadbiran Encik Donald Trump yang menarik balik sebahagian langkah perlindungan alam sekitar.



Amerika dan China merupakan dua negara pengeluar karbon terbesar dunia.



Menjelang sidang puncak ini, pegawai kanan kedua-dua negara telah bertemu dan menegaskan komitmen untuk bekerjasama dalam menangani isu perubahan iklim yang memburuk.



Dunia hari ini menyaksikan keadaan cuaca yang tidak menentu, dengan musim kemarau semakin panjang, ribut taufan yang melampau, kebakaran hutan yang teruk, dan pelbagai lagi.



Selain itu, bongkah air batu di Artik semakin cair, tanah runtuh dan banjir kerap berlaku dan sebagainya.



Encik Lee dalam sesi semalam turut menyatakan, Singapura sebagai hab kewangan boleh membantu usaha dunia untuk kemampanan menerusi pembiayaan hijau, pembangunan keupayaan dan fintech.



"Kami telah melancarkan Program Pelaburan Hijau bernilai AS$2 bilion ($2.65 bilion). Ini akan menyokong pembangunan perdagangan dan perkhidmatan karbon, konsultasi kemampanan dan pengurusan risiko sekitaran.



"Satu bidang yang menjanjikan adalah pengesahan pengeluaran wasap, termasuk menggunakan teknologi baharu untuk mengukur jumlah karbon dan memantau komitmen penghapusan perniagaan," ujarnya dan menambah, Singapura sedia mengongsi pengalaman dalam kesemua bidang ini.



Terang beliau lagi, Singapura telah menyertakan iklim dan kemampanan dalam Program Latihan Negara Ketiga Singapura-Amerika Syarikat.



"Sebagai negara penyelaras untuk kerjasama tenaga Asean-Amerika Syarikat, kami akan bekerja rapat dengan Amerika bagi menyokong peralihan rantau kita kepada penggunaan tenaga bersih. Kami berharap dapat bekerja bersama dengan Amerika dan semua negara bagi membina masa depan yang mampan," kata Encik Lee.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >