POLIS telah mengeluarkan amaran tentang kiriman emel palsu yang dikatakan dihantar oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD) yang mendakwa penerimanya sedang disiasat atas kes penipuan kewangan.
Dalam kenyataannya semalam, polis berkata emel itu dihantar menggunakan alamat SPF_CAD@cad.gov.sg dan ditandatangani oleh nama seorang pegawai dari CAD.
Emel palsu itu menyatakan penerima telah dituduh memalsukan kewangan dan bahawa CAD telah melancarkan siasatan terhadapnya.
Penerima diminta untuk memberi respons dalam masa 48 jam.
Polis menasihatkan sesiapa yang menerima emel-emel itu supaya tidak membukanya dan tidak memindahkan wang, atau memberi sebarang maklumat akaun bank mereka menerusi Internet kepada orang-orang yang tidak dikenali.