Pramugara dijel sebulan kerana tumbuk pemandu van

SEORANG pramugara yang menumbuk pipi seorang pemandu van syarikat dua kali dalam satu kes keberangan jalan raya dipenjara satu bulan pada Rabu (6 April).

Abdul Hadi Abdul Harris, 26 tahun, mengaku bersalah mencederakan Encik Iskandar Mohamed Noor, 42 tahun, menyebabkan beliau mengalami lebam kecil dan rasa nyeri di kepala dan kawasan tulang pipi, di perhentian bas bertentangan Politeknik Ngee Ann di Clementi Road, pada 21 Julai tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Zhuo Wenzhao berkata Encik Iskandar sedang memandu van di lorong kiri Clementi Road arah ke Ulu Pandan apabila beliau pergi ke kanan kerana terdapat kerja-kerja jalan raya di lorong yang bergabung.

Hadi, yang sedang memandu kereta Suzuki Swift bersama temanitanya, Cik Bernice Lim Hui Ying, 24 tahun, menekan brek dan membunyikan hon.

Dia kemudian memotong van Encik Iskandar, menurunkan tingkap dan memberi isyarat kepada beliau supaya berhenti di perhentian bas di depan.

Encik Iskandar menjelaskan beliau terpaksa memandu memasuki laluan Hadi untuk mengelakkan kerja-kerja jalan raya di lorongnya.

Pertengkaran berlaku dan Hadi menumbuk Encik Iskandar dua kali. Temanitanya kemudian menolak Hadi untuk menghalangnya daripada terus menyerang Encik Iskandar.

Encik Iskandar tidak membalas, sebaliknya beliau pergi ke kenderaannya untuk mengambil telefon bimbitnya untuk mengambil gambar nombor plat kereta Hadi.

Sebelum sempat beliau berbuat demikian, Cik Lim merampas telefon bimbitnya dan melemparkan ia ke kawasan berhampiran. Telefon itu tidak rosak.

Hadi kemudian pergi ke kenderaan Encik Iskandar dan mengambil kamera dalam kereta berharga $299 dan melemparkannya ke sebuah tapak kerja berhampiran.

Pasangan itu kemudian beredar. Encik Iskandar mengambil telefon bimbitnya dan menghubungi polis.

Beliau mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan diberi cuti sakit dua hari.

Satu tuduhan kedua merosakkan kamera dalam van itu diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 66
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.