Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Profesor NUS hasilkan buku mengenai bekas pelaut Melayu di Liverpool

NUS
Jul 10, 2017 | 05:30 AM



MEREKA sudah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah menjangkau lebih setengah abad.



Namun, sebuah buku ilmiah hasil kajian seorang profesor di Universiti Nasional Singapura (NUS) menyegarkan kembali ingatan terhadap 'pencatat' sejarah ini, terutama bagi mereka yang mempunyai pertalian keluarga atau pernah menemui mereka.



Mereka yang dimaksudkan ialah bekas pelaut Melayu dari Singapura dan Malaysia, yang pernah bermastautin di Liverpool, England, selepas bekerja sebagai pelaut atau kelasi dalam 1950-an dan 1960-an.



Tertarik dengan bekas pelaut itu yang membina hidup baru ribuan kilometer dari tanah air mereka, Profesor Madya Tim Bunnell daripada Jabatan Geografi NUS, telah menulis buku ilmiah From World City To The World In One City - Liverpool Through Malay Lives (Daripada Bandar Dunia Kepada Dunia Dalam Bandar - Liverpool Menerusi Kehidupan Orang Melayu).



Buku itu meneliti perubahan geografi Liverpool - bandar pelabuhan di barat laut England berhadapan Laut Ireland - menerusi kehidupan pelaut Melayu yang tiba di bandar itu pada tahun-tahun akhirnya sebagai pelabuhan imperial yang utama.



Mereka yang pernah ke Liverpool satu tempoh dahulu mungkin pernah menemui bekas pelaut Singapura dikenali sebagai Encik Dol, Encik Jaafar Mohd dan Encik Rahman, selain Encik Ahdar dan beberapa lagi yang berasal dari Malaysia seperti Encik Arsad Hassan (semuanya mungkin sudah tiada lagi) di rumah Kelab Melayu di 7, Jermyn Street.



Di situlah mereka selalu bertemu untuk bersosial dengan selesa atas sebab sebangsa dan sebahasa.



Encik Jaafar, misalnya, yang berketerunan Bawean, mulanya bekerja di kapal haji Blue Funnel Line, tetapi kemudian terus tinggal di Liverpool pada 1960 setelah kapalnya berlabuh di bandar itu ekoran satu perlanggaran di Terusan Suez.



Berikutan laporan Berita Minggu pada 1989 mengenai bekas pelaut Melayu di Liverpool, keluarga Encik Jaafar dapat mengesan beliau. Tetapi Encik Jaafar, yang pernah menjadi presiden Kelab Melayu Liverpool, kembali ke Singapura buat pertama kali hanya pada 2000.



Profesor Bunnell, 44 tahun, menulis di bukunya bahawa menurut Encik Dol, seawal 1950 sudah ada "ratusan" orang Melayu di Liverpool. Namun, semasa Profesor Bunnell memulakan kajiannya di sana pada 2003, beliau dapati jumlahnya sekitar 20 orang.



Bukunya diterbitkan pada tahun lalu. Beliau mengakui kajiannya mengambil masa yang panjang kerana sebab profesional dan peribadi.



"Dari sudut profesional, saya sukar memaksa diri berhenti mengumpul maklumat dan mula menulis. Saya akui bahawa ia sebahagiannya disebabkan tumpuan saya mula menjadi agak mendalam kepada topik kajian itu. Saya sering mahu menambah terus maklumat!



"Sebahagian lagi sebab ialah saya mula menjalin hubungan rapat dengan beberapa pemberi maklumat itu dan tidak dapat memutuskan hubungan dengan mereka dengan tujuan hanya mahu menulis buku," kata Profesor Bunnell, membayangkan hubungannya yang kian rapat ketika itu dengan bekas pelaut Melayu di sana.



Dari sudut peribadi pula, pada ketika itu beliau baru membina keluarga dan masa menulis menjadi terhad. Beliau kini mempunyai tiga anak.



Bekas pelaut Melayu di Liverpool menjadi tumpuannya dan bukan bangsa lain, antaranya kerana beliau tertarik dengan cerita mendiang datuknya yang pernah bekerja sebagai pelaut di Asia Tenggara.



Satu lagi sebab ialah filem Melayu oleh pengarah filem Malaysia Hishamuddin Rais yang pernah ditontonnya berjudul Dari Jemapoh ke Manchester.



"Watak-watak utama dalam filem yang dilakonkan di Negeri Sembilan pada 1960-an itu ialah dua belia Melayu. Bapa salah seorang daripada mereka bekerja sebagai kelasi dan tinggal di Liverpool.



"Pertanyaan lanjut saya mengenai kehadiran pelaut Melayu di bandar itu membawa saya ke rumah kelab yang selalu didatangi orang Melayu. Sebaik saja saya memulakan kajian di Liverpool, saya mula minat mahu mengetahui hubungan lebih luas pelaut bandar itu dengan Asia Tenggara.



"Akhirnya saya memutuskan menumpukan kajian dan penulisan saya kepada orang Melayu," imbas Profesor Bunnell.



Kajian sejarah mengenai pelaut Cina, masyarakat Cina secara meluas dan Chinatown di Liverpool pula sudah banyak dibuat, tetapi tiada yang khusus mengenai sejarah pelaut Melayu. Perihal bekas pelaut Melayu di London (yang juga mempunyai Kelab Melayunya sendiri) pula sudah dilaporkan agak meluas oleh wartawan Malaysia, jelasnya.



ADA MENYESAL, KESUNYIAN



Ditanya pandangan beliau terhadap bekas pelaut Melayu di Liverpool itu, Profesor Bunnell berkata:



"Saya baru (ketika itu) mula mengenali ramai pelaut Melayu dan keluarga mereka secara individu serta kehidupan dan personaliti mereka. Justeru, sukar membuat satu persepsi menyeluruh."



Namun, beliau dapat mengesan ada beberapa bekas pelaut yang menyesal telah berpindah ke Liverpool memandangkan taraf kemakmurannya yang sudah berubah berbanding Asia Tenggara (terutama Singapura) sepanjang setengah abad lalu.



Pada pertengahan abad ke-20, Liverpool masih merupakan pusat kelautan dan komersial dunia yang penting, sementara rantau Asia Tenggara sedang 'mengejar' pembangunan.



Singapura telah melalui transformasi daripada 'dunia ketiga kepada pertama', sementara Liverpool mengalami penurunan ekonomi global. Ini membuat beberapa bekas pelaut itu berasa mereka telah membuat keputusan yang salah meninggalkan Asia Tenggara dan tinggal di Liverpool, katanya kepada Berita Harian.



Ada pula yang berasa kesunyian dalam usia tua kerana kawan-kawan Melayu mereka telah pindah atau meninggal dunia.



"Namun, semuanya tidaklah begitu kelam. Saya juga mengenali bekas pelaut yang amat gembira dengan kehidupan mereka dan keluarga yang telah mereka bina di Liverpool atau sekitarnya.



"Sebahagiannya juga telah menjalin hubungan baik dengan anggota keluarga lebih besar mereka di Malaysia dan Singapura.



Ada juga bekas pelaut yang memeluk atau menghayati kembali agama asal mereka (Islam) pada usia lanjut, sekali gus meraih rasa tenang dan selesa selepas itu," ujarnya.



Namun, satu kenyataan 'menyeluruh' yang boleh diberikan, katanya, ialah beliau sedar dari mula bahawa beliau membuat kajian mengenai satu komuniti yang (secara literal) sedang pupus.



"Semasa saya memulakan kajian pada 2003, seorang bekas pelaut termuda yang saya temui berusia lewat 60-an. Jadi, sukar mereka meneruskan kelab Melayu di Liverpool itu, justeru, sebabnya bukan hanya kerana jumlah anggota yang semakin kecil."



KELAB MELAYU DI AMERIKA



Profesor Bunnell juga ingin mengkaji hubungan Liverpool dengan Kelab Melayu di New York, Amerika Syarikat.



Kelab-kelab itu saling berkaitan kerana pelaut Melayu kerap belayar merentasi Lautan Atlantik. Beliau juga telah mendengar beberapa institusi serupa yang pernah wujud di Chicago dan San Francisco di Amerika dan Hamburg di Jerman.



Malah, beliau merancang ke Hamburg tidak lama lagi untuk menjejak kelab Melayu di sana pula.



Bandar-bandar pelabuhan yang lebih kecil mungkin tidak mempunyai rumah kelab yang besar, tetapi rumah tumpangan yang berfungsi sebagai tempat pertemuan pelawat Melayu seperti Cape Town di Afrika Selatan, Cardiff di Wales dan South Shields di England.



Dengan berakhirnya zaman Liverpool sebagai pelabuhan utama (pada 1970-an) dan kemerosotan pascaindustri di utara England, beberapa orang Melayu yang tinggal di Liverpool mengikuti arus perubahan tenaga pekerja di sana dan ada yang berpindah ke London.



Salah seorang daripada mereka ialah lelaki kelahiran Singapura, Encik Ronnie Musa (juga dikenali sebagai Mohamed Ayub Musa). Tetapi Encik Ronnie tidak bahagia di London, lalu keluarganya berpindah semula ke Liverpool, cerita Profesor Bunnell.



Buku beliau boleh didapatkan di kedai koperatif kampus NUS atau dibeli dalam talian laman penerbit di http://as.wiley.com/WileyCDA/WileyTitle/productCd-1118827732.html.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >