Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program mentor perkahwinan diperluas, yang baru bagi ibu bapa dilancar: Masagos

Jun 03, 2023 | 07:11 PM



GERAKAN Keluarga Sepanjang Hayat (FFL) akan memperluaskan program pementoran perkahwinan ‘Journey With You’ atau Perjalanan Bersamamu (JoY) bagi membolehkan lebih ramai pasangan yang baru berkahwin untuk mendapatkan bimbingan daripada mentor berpengalaman.

Ini susulan program perintis yang dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) pada Disember 2021, di mana Jurunikah Berlesen memberi bimbingan kepada pasangan yang baru berkahwin dalam tahun pertama perkahwinan mereka.

Demikian diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap dalam majlis pelancaran Minggu Keluarga Nasional (NFW) 2023 di Our Tampines Hub (OTH) pada Sabtu.

Encik Masagos berkata: “Saya gembira untuk mengetahui FFL akan menggandakan usahanya untuk mengukuhkan institusi perkahwinan dan menyokong ibu bapa.”

Menurut lembaran fakta media oleh FFL, program JoY buat masa ini dibimbing oleh Jurunikah Berlesan saja tetapi ia akan diperluaskan untuk menyertakan sukarelawan masyarakat yang dilatih sebagai mentor bagi membimbing pasangan yang baru berkahwin.

Perluasan program sedemikian diharap dapat mencipta “rangkaian sokongan mentor dalam komuniti yang boleh mempengaruhi dan memperkaya secara positif kehidupan pasangan yang baru berkahwin”.

Sebagai permulaan, FFL menyatakan bahawa pementoran komuniti akan diperkenalkan kepada sekumpulan kecil pasangan yang baru berkahwin mulai separuh kedua 2023.

Program serupa bagi pasangan Islam, ‘Bersamamu’, turut mendampingi pasangan sedemikian dari sebelum pernikahan hingga ke dua tahun pertama perkahwinan.

Ia merupakan antara inisiatif di bawah Bidang Tumpuan 1 (FA1) M Kuasa Tiga (M³) – iaitu untuk menyokong perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Selain itu, Encik Masagos mengumumkan program baru untuk menyokong ibu bapa dalam melaksanakan strategi bagi meluangkan masa bersama anak mereka melalui permainan.

Dikenali sebagai ‘Purposeful Play’ atau bermain berisi tujuan, ia sesuai bagi ibu bapa dengan kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun menggunakan strategi yang berlandaskan bukti dan sekaligus “membantu anak-anak belajar dan membangunkan kemahiran komunikasi mereka,” tambah beliau.

Program tersebut – hasil usahasama antara MSF dengan Pusat Penyelidikan Keibubapaan dari Australia – akan melengkapkan ibu bapa dengan 10 strategi berteraskan bukti untuk “mewujudkan persekitaran yang merangsang bagi membantu kanak-kanak belajar... dengan menggunakan aktiviti harian”.

Sekaligus, ia dapat mengukuhkan hubungan ibu bapa-anak dan “menggalakkan kemahiran bahasa dan komunikasi kanak-kanak”, tambah FFL.

Ia diperkenalkan pada April 2023 dan kini tersedia untuk semua ibu bapa dengan kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun.

Ia meliputi lima sesi yang dikendalikan secara fizikal dan berlangsung sepanjang lima minggu berturut-turut – setiap sesi adalah selama 1.5 jam.

“Saya percaya bahawa banyak keluarga akan meraih manfaat daripada program-program ini,” jelas Encik Masagos.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis FFL, Encik Ishak Ismail, berkata edisi NFW kali ini menyaksikan pelibatan lebih 70 organisasi dan orang ramai boleh menjangkakan pelbagai program dan aktiviti untuk seisi keluarga di lebih 30 konstituen dan 20 pusat SportSG di seluruh Singapura.

Beliau menambah, NFW pada minggu ini diadakan di Our Tampines Hub dan HomeTeamNS Khatib, manakala pada hujung minggu hadapan pula, ia akan diadakan di SAFRA Punggol, Bukit Canberra dan Lot One Shoppers’ Mall.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >