Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Projek Kasih' Persatuan Ain kumpul lebih $1.42j

Dana bertujuan beri sinar baru buat pesakit, pejuang dan penjaga penghidap barah
Jan 29, 2023 | 05:30 AM



PERSATUAN Ain berjaya mengumpulkan $1,429,380 melalui konsert amal Projek Kasih yang bertujuan mengumpul dana bagi memberi sinar baru buat pesakit, pejuang dan penjaga penghidap barah.



Setelah tiga tahun acara yang disiarkan secara langsung di saluran Mediacorp Suria ini tidak diadakan kerana sekatan pandemik Covid-19, ia kembali lagi kelmarin dengan lonjakan derma hampir tiga kali ganda daripada jumlah yang dikumpulkan pada 2019 iaitu $511,630.



Jumlah kali ini bukan sahaja mengatasi sasaran awal meraih $600,000 tetapi merupakan sumbangan keseluruhan (individu dan korporat) terbanyak dalam sejarah lapan tahun Persatuan Ain mengadakan Projek Kasih. Sumbangan tertinggi sebelum ini adalah $738,636 pada 2018.



Penyumbang terbesar adalah Ketua Pegawai Strategi Hai Leck Holdings Limited, Encik Don Cheng, dan rakan-rakannya yang menderma $350,000 diikuti dengan Singapore Island Country Club yang menyumbang $128,000.



Konsert Projek Kasih selama dua jam ini turut dijayakan dua legenda, Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip serta penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, Sufi Rashid, Liwani Izzati, Rahila Rashun, Izzathy Halil dan kumpulan genderang Nadi Singapura.



Dalam catatan Facebook, Presiden Halimah Yacob, yang diundang sebagai tetamu terhormat Projek Kasih, melahirkan penghargaannya di atas sumbangan masyarakat dengan dana yang terkumpul mampu membantu Persatuan Ain melaksanakan program dan khidmat bantuan.



"Di luar sokongan kewangan, penerima bantuan telah berkongsi bagaimana Persatuan Ain menyediakan mereka dengan komuniti penjagaan," jelasnya.



Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, berkata:



"Walaupun kita berdepan dengan keadaan inflasi, sumbangan yang diterima meningkat berlipat kali ganda atas beberapa faktor. Ada yang melahirkan kesyukuran dan terdorong memberi kerana rasa lebih beruntung seisi negara terlepas daripada cengkaman pandemik.



"Sesetengah penderma pula merupakan pesakit barah yang sudah pulih dan keluarga mereka ingin membantu meringankan beban yang lain setelah mereka sendiri mengharungi keperitan sakit.



"Keluarga pesakit barah yang sudah meninggal dan mempunyai peruntukan bantuan yang mereka rasa lebih diperlukan untuk program dan khidmat bantuan pesakit lain turut tampil menderma. Ada juga yang terdorong menyumbang kerana tahu persatuan kami fokus pada urusan pesakit barah."



Selain memberi bantuan kewangan dan khidmat tuisyen buat pesakit, anak atau adik-beradik mereka, Persatuan Ain juga melancarkan program buat pengasuh atau penjaga pesakit barah yang turut tertekan dengan amanah berat mereka, November lalu.



Program ini memberi mereka masa terluang untuk jagaan dan pemerkasaan diri penjaga seperti kunjungan ke spa, hadiah busana dan kegiatan membina lain.



Selain itu, Encik Md Yusof mendedahkan Persatuan Ain juga sedang menjalankan satu kajian terperinci mengenai barah dalam kalangan masyarakat Melayu yang dijalankan bersama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.



Dapatannya akan dikongsi dalam kongres sedunia mengenai barah dalam masa setahun dua ini.



Salah seorang penerima bantuan, Cik Nasreen Ismail, 57 tahun, seorang pesakit barah sumsum tulang, berkata:



"Saya hargai semangat ukhuwah kekeluargaan yang diberi kakitangan serta sukarelawan di Persatuan Ain. Tak segan untuk berkongsi jerih payah kita dan kita dapat saling menyokong dalam melalui tempoh sukar.



"Banyak kegiatan membina seperti kelas menjahit, acara Ramadan dan Lebaran serta perkongsian mengenai jagaan barah yang dianjurkan buat kami."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >