Pusat bantuan Sana dirasmi

Pusat 'Set-Up' bertujuan dekati bekas penagih bagi hulur bantuan seperti kaunseling, kewangan

SELAMA 18 tahun, beliau berjaya menjalani kehidupan bebas dadah.

Namun, akibat tekanan yang dihadapi di tempat kerja dan tanggungjawab sebagai ayah baru dengan kelahiran anak pertama, Encik Azman Astr terjerumus semula ke dalam kancah dadah.

Beliau ditangkap pada 2011.

Anak lelakinya itu hanya berusia lapan bulan ketika beliau ditangkap.

Mujur, dengan sokongan berterusan isterinya, Cik Kamisah Omar, yang tidak gagal melawatnya semasa beliau dipenjara dan azam mahu menjadi contoh baik kepada anak, Encik Azman memutuskan mahu meninggalkan kehidupan lamanya itu.

Beliau turut mendapatkan bantuan daripada Pusat 'Set-Up' baru kendalian Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana) setelah dibebaskan.

Encik Azman, 46 tahun, kini menjalani kaunseling sekali setiap dua minggu dalam pusat di Hab Masyarakat Sengkang itu. Beliau juga bakal menjalani sesi membuang tatu di tangan dan dada.

"Isteri ada bertanya harga membuang tatu di klinik luar, tetapi semuanya mencecah ribuan dolar.

"Kosnya lebih rendah di pusat ini, dianggarkan $20 hingga $30 setiap sesi dan perlu sekitar lapan hingga 10 sesi.

"Saya mahu mulakan kehidupan baru kerana isteri telah mendampingi saya selama ini, selain menjadi contoh baik kepada anak saya," kata Encik Azman, yang kini bekerja dengan syarikat pengurusan acara.

Beliau ditemui di majlis pelancaran Pusat 'Set-Up' semalam.

Hadir melancarkan pusat itu selaku tamu terhormat ialah Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.

Encik Amrin, yang diiringi presiden Sana, Cik Quek Bin Hwee, dan anggota lembaga Sana, turut meninjau persekitaran pusat itu. Mereka juga tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan beberapa klien pusat, termasuk Encik Azman.

Diminta mengulas adakah Sana mempunyai rancangan menubuhkan lagi pusat sedemikian pada masa akan datang, Cik Quek berkata pihaknya sedang meneroka kemungkinan itu.

"Kos mengendalikan pusat ini agak tinggi dan tidak mudah mendapatkan dana. Kami sedang melihat kemungkinan mengadakan satu pusat lagi di kawasan tengah Singapura.

"Kami juga sedang berbincang dengan pertubuhan kebajikan sukarela (VWO) untuk menggunakan ruang mereka bagi menjalankan program kami," ujar Cik Quek.

Encik Azman ghairah memulakan lembaran baru bersama isteri dan anaknya yang kini berusia enam tahun.

Malah, pasangan itu menunggu kehadiran anak lelaki kedua yang dijangka lahir November ini, tambah beliau.

Semasa berucap di majlis pelancaran itu, Encik Amrin berkata Singapura mengambil pendekatan tegas terhadap isu dadah agar anak dapat dibesarkan dalam suasana selamat daripada dadah.

"Sokongan masyarakat yang kukuh daripada rakan kongsi kami, termasuk Sana, ialah kunci membantu bekas pesalah dadah menyepadukan diri dalam masyarakat.

"Saya yakin Pusat 'Set-Up' Sana akan membantu bekas pesalah dadah menjalani kehidupan bermakna dan menggalak keluarga mereka memberi sokongan dalam perjalanan integrasi semula mereka," kata Encik Amrin.


PUSAT 'SET-UP' SANA

Tempat: #05-01, Hab Masyarakat Sengkang, 2 Sengkang Square

Masa: Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 7.30 malam (kecuali Khamis hingga 9 malam); dan Sabtu, 10 pagi hingga 5 petang. Tutup Ahad dan cuti umum.

Bantuan ditawarkan:

  • sesi kaunseling dan pengantaraan bagi individu dan keluarga
  • kewangan
  • program buang tatu
  • pekerjaan
  • guaman
  • kumpulan sokongan
  • kegiatan keluarga dan latihan meningkatkan kemahiran

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 20
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.