Pusat beli-belah, tempat ramai orang digesa pertingkat kesediaan hadapi ancaman

POLIS mahu beberapa pertubuhan lebih terdedah dan sesak di sini - terutama pusat beli-belah - mempertingkat pertahanan mereka. memandangkan Singapura juga menghadapi ancaman pengganasan.

Ini lebih-lebih lagi dalam beberapa minggu kebelakangan, serangan pengganas berlaku di tempat awam seperti sebuah kelab malam di Orlando, Amerika Syarikat; sebuah restoran di Dhaka, Bangladesh; dan di sebatang jalan di Nice, Perancis.

"Melangkah ke depan, polis akan berbincang dengan pengurusan bangunan komersial, termasuk gedung runcit, untuk membangunkan pelan kontingensi dan menjalankan latihan bersama bagi meningkatkan kesediaan mereka menangani sembarang serangan," kata Encik Melvin Yong, seorang Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar.

Beliau berkata demikian pada Isnin (18 Jul) semasa seminar pertama daripada beberapa mengenai memerangi pengganasan yang dijalankan Pasukan Polis Singapura untuk masyarakat perniagaan.

Encik Yong berkata peningkatan kewaspadaan amat perlu berikutan peristiwa pengganasan baru-baru ini, seperti serangan di Nice yang meragut 84 nyawa, dan, lebih dekat dengan Singapura, satu letupan bom di sebuah kelab malam di Selangor, yang menyebabkan lapan orang cedera.

Keperluan melancarkan pertahanan pembanterasan pengganasan di dalam negara lebih mendesak, melihat pada serangan di Orlando dan Dhaka, yang menunjukkan perubahan dalam modus operandi kumpulan pengganas, dengan pembunuhan semakin kejam dan lama, dan bukan serangan bom.

Persatuan seperti Persatuan Perniagaan Orchard Road (Orba) telah berusaha melaksana langkah-langkah memerangi keganasan. Orba kini mengesyorkan pihak berkepentingan supaya meningkatkan kehadiran sistem pemantauan bagi menghalang dan mengesan penceroboh, lapor akhbar The Straits Times.

Pengarah Eksekutif Orba, Encik Steven Goh, berkata: "Kami sedang bekerjasama dengan agensi-agensi, mungkin untuk mengadakan latihan bersama bagi pemindahan ramai-ramai, atau latihan dalaman bagi kompleks berbeza."

Keselamatan berlebihan boleh menjejaskan operasi hari ke hari peruncit, tetapi kehadiran pemeriksaan beg di setiap pintu masuk pusat beli-belah mungkin tidak dapat dielakkan, kata pakar runcit Sarah Lim, seorang pensyarah kanan di Politeknik Singapura.

Ini sudah menjadi pemandangan biasa di Filipina dan Thailand.

"Pemeriksaan beg boleh dilaksana dan telah diamalkan Ia suatu perkara yang sudah biasa bagi mereka - dan ia akan mengambil masa, tetapi pembeli-belah, pada jangka masa panjang, boleh menerimanya," kata Cik Lim.

Sementara itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan terus mendidik rakyat Singapura mengenai apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku serangan pengganasan.

Ini termasuk panduan cara melarikan diri dan kekal selamat semasa pemindahan besar-besaran, dan nombor penting yang harus dihubungi semasa kecemasan.

Encik Yong, mantan penolong pesuruhjaya polis, berkata: "Kita mahu masyarakat kita memainkan peranan dalam menjaga keselamatan Singapura, kerana ia bukan soal 'apakah' serangan pengganasan akan berlaku di sini, tetapi soal 'bila' ia akan berlaku."

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.