Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat SG menyingsing lengan bagi bantu rakyat Palestin

May 31, 2021 | 5:30 AM
BANTUAN KEMANUSIAAN KRISIS DI GAZA: (Gambar atas) Cik Susie Wong, Pengarah RPA Agency Pte Ltd; Encik Joshua Luke Ramakrishna, relawan Humanity Matters; dan Encik Munir Marican, Anggota Persatuan Peguam Muslim (AML) dan Cik Shifa antara relawan yang turun padang menyiapkan bekalan bagi bantuan kemanusiaan di Gaza semalam. - Foto GIN TAY
BANTUAN KEMANUSIAAN KRISIS DI GAZA: (Gambar atas) Cik Susie Wong, Pengarah RPA Agency Pte Ltd; Encik Joshua Luke Ramakrishna, relawan Humanity Matters; dan Encik Munir Marican, Anggota Persatuan Peguam Muslim (AML) dan Cik Shifa antara relawan yang turun padang menyiapkan bekalan bagi bantuan kemanusiaan di Gaza semalam. - Foto GIN TAY -

MEREKA sedar akan keseriusan krisis di Gaza dan ingin menyumbang lebih daripada menderma wang kepada usaha bantuan kemanusiaan untuk membantu masyarakat yang terjejas di sana.

Oleh itu, mereka tidak melepaskan peluang untuk turun padang membantu menyiapkan bekalan yang akan dihantar bagi bantuan kemanusiaan di Gaza sebagai sebahagian usaha badan kemanusiaan silang agama tidak meraih keuntungan Humanity Matters di sebuah kilang di Lorong 17 Geylang semalam.

Antara mereka termasuk Cik Shifa Hannan, 24 tahun, yang terdorong menyumbang dengan cara ini kerana merasakan bahawa sumbangannya untuk membantu mereka yang terjejas oleh krisis di Gaza itu boleh melebihi derma wang tunai.

Bagi Encik Dennis Khoo, 54 tahun, yang juga Setiausaha Agung IMC Organization Limited, pula, beliau diajar dalam agama Buddha untuk memastikan keharmonian dan keamanan tanpa mengira perbezaan agama mahupun politik.

Oleh itu, beliau terdorong menyumbang kepada usaha tersebut untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat konflik di Gaza.

Namun selain menghulurkan bantuan, relawan ini juga menyedari bahawa usaha silang agama seperti ini amat bermanfaat buat mereka dan menyumbang kepada usaha mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang bangsa dan agama di Singapura.

Menerusi usaha itu, Ustaz Muslim Ahmad, 30 tahun, berkata relawan dapat berinteraksi dengan individu yang berlainan bangsa dan agama sambil menyingsing lengan bagi satu tujuan yang sama, iaitu membantu mereka yang memerlukan di Gaza.

"Dalam kita berhubung dengan individu daripada institusi agama lain, kita berkenalan juga dengan mereka.

"Di situ kita lihat rasa cinta (dan prihatin) dalam setiap pihak, membantu sesiapa yang memerlukan tak kira di Singapura atau di luar negara," ujar pegawai perhubungan masyarakat dan pembangunan belia di Masjid Al-Muttaqin itu.

Bagi Cik Shifa, usaha silang agama seperti yang dijalankan Humanity Matters ini penting, lebih-lebih lagi kerana ini bukan satu krisis berdasarkan agama tetapi satu krisis kemanusiaan, dengan masyarakat bukan Islam di Palestin turut terjejas.

"Oleh itu, saya rasa adalah penting setiap individu bersatu tanpa mengira bangsa atau agama untuk menangani krisis ini bersama.

"Saya juga berharap semangat dan respons kepada krisis ini akan berterusan," ujar eksekutif projek itu.

Tambahnya, beliau juga berharap lebih banyak perbincangan boleh diadakan tentangnya untuk meningkatkan kesedaran tentang krisis kemanusiaan itu dan kemudian berfikir bagaimana orang ramai boleh menyumbang.

Menurut Encik Khoo, agama Buddha mengajarnya untuk sentiasa bersatu sebagai manusia.

"Sebagai warga Singapura, kami sangat bertuah dan selamat kerana pemerintah dan sistem yang baik di sini.

"Oleh itu, usaha seperti ini penting untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang berlaku di luar negara dan memastikan kita terus bersatu sebagai satu rakyat," ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg