Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat S'pura digesa terus amalkan langkah berjaga-jaga

Dec 25, 2020 | 5:30 AM
SEPAKAT MAHU WARGA WASPADA: Dr Abdul Razakjr Omar (atas), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan dan Dr Nurhidayati Mohamed Suphan mengingatkan warga Singapura supaya memastikan keselamatan diri, mendapatkan suntikan vaksin dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab agar sama-sama mengharungi era Covid-19 ini. - Foto fail
SEPAKAT MAHU WARGA WASPADA: Dr Abdul Razakjr Omar (atas), Dr Zuraimi Mohamed Dahlan dan Dr Nurhidayati Mohamed Suphan mengingatkan warga Singapura supaya memastikan keselamatan diri, mendapatkan suntikan vaksin dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab agar sama-sama mengharungi era Covid-19 ini. - Foto fail -

KEMUNCULAN varian koronavirus Covid-19 baru yang disyaki lebih mudah berjangkit dan kini sedang merebak pantas di Britain menekankan kepentingan bagi rakyat Singapura agar terus mengamalkan langkah berjaga-jaga.

Beberapa doktor berkongsi dengan Berita Harian bahawa tabiat baik, seperti memakai pelitup dan menjaga jarak selamat, yang diamalkan sejak pandemik itu bermula di sini pada awal tahun ini harus diteruskan dan orang ramai harus kekal berwaspada, terutamanya semasa musim perayaan ini.

Pakar jantung dan Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, berkata orang ramai tidak harus leka dengan tabiat yang telah menjadi norma baru dalam kehidupan, seperti memakai pelitup dan menjaga kebersihan.

"Terus berwaspada, jangan leka... Langkah-langkah yang diambil pemerintah Singapura adalah wajar demi memastikan keselamatan kita dan pada masa yang sama, meneruskan kehidupan kita untuk melindungi nyawa dan mata pencarian. Jangan lupa dapatkan vaksin," katanya.

Varian baru yang dirujuk sebagai baka B117 oleh beberapa pakar dan sedang menular pantas di Britain kini dikatakan sehingga 70 peratus lebih mudah berjangkit.

Kelmarin, varian koronavirus baru itu dikesan dalam satu kes diimport di Singapura, dengan ia melibatkan seorang wanita warga Singapura berusia 17 tahun yang belajar di United Kingdom (UK).

Kementerian Kesihatan (MOH) berkata dengan jenis B117 menular di UK, Makmal Kesihatan Awam Nasional sedang melakukan urutan genom virus bagi kes-kes Covid-19 yang tiba dari Eropah baru-baru ini.

Menurut laporan agensi berita Reuters, para saintis berkata tiada bukti bahawa vaksin yang digunakan di UK sekarang - dibuat Pfizer-BioNtech - atau vaksin Covid-19 lain yang sedang dibangunkan tidak akan memberi perlindungan terhadap varian koronavirus baru itu.

Ini turut dikatakan doktor keluarga, Dr Zuraimi Mohamed Dahlan, yang juga berkata varian virus baru itu tidak menjejas keberkesanan vaksin Covid-19 buat masa ini.

"Jadi, ambil peluang ini bagi memberikan perisai pada diri anda dan membantu mengekang penularan SARS-CoV-2 dalam kalangan manusia dengan cepat-cepat mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 (apabila tersedia nanti)," katanya.

Pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Pakar Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, melahirkan harapan agar masyarakat sentiasa memakai pelitup, rajin menjaga kebersihan, mencuci tangan dan terus mengamalkan jarak sosial.

"Walaupun ini nampak remeh, tetapi ini merupakan asas untuk melawan jangkitan kuman Covid-19.

"Saya percaya bahawa kita semua saling menyayangi keluarga dan sahabat handai dan kita akan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab agar sama-sama menolong mengharungi era Covid-19," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg