Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ratu Elizabeth II punyai peranan unik dalam sejarah S'pura: Indranee

Sep 13, 2022 | 05:30 AM



KETUA Dewan, Cik Indranee Rajah, berkata mendiang Ratu Elizabeth II mempunyai peranan unik dalam sejarah Singapura.



Ratu Elizabeth, raja paling lama Britain, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland Khamis lalu.



"(Ratu Elizabeth) bukan Ratu Britain sahaja, bahkan Ketua Komanwel, yang merupakan sebuah keluarga 56 negara dari serata dunia, dengan Singapura antara anggotanya," ujar Cik Indranee.



Semalam, Parlimen bertafakur seminit semalam sebagai tanda memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth.



Beliau menambah bahawa Ratu Elizabeth berkhidmat sebagai Ratu semasa tempoh peralihan Singapura daripada sebuah tanah jajahan kepada negara merdeka.



Malah lepas pilihan raya umum 1955, di sesi pertama Dewan Perundangan Singapura, Ratu Elizabeth menyampaikan ucapan tahniah di Dewan itu pada 22 April 1955.



Cik Indranee berkata demikian semasa menyampaikan ucapan untuk memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth bagi pihak Parlimen Singapura semasa sidang Parlimen semalam, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Singapura, Cik Kara Owen.



Cik Indranee turut menarik perhatian hubungan mesra Ratu Elizabeth dengan Singapura. Ratu Elizabeth mengadakan tiga lawatan negara ke Singapura pada 1972, 1989 dan 2006.



"Lebih daripada formaliti dan upacara yang terlibat dalam lawatan negara, (Ratu Elizabeth) meluangkan masa dan tenaga untuk mengenali warga Singapura biasa dengan lebih baik. Pada 1972, baginda melawat Toa Payoh dan bertemu Encik Thomas Pung dan keluarganya di sebuah flat HDB.



"Mereka menjemputnya masuk ke rumah mereka dan menawarkan minuman segelas 7-Up kepadanya. Sekitar 34 tahun kemudian, semasa lawatan negara ketiganya (ke Singapura) pada 2006, baginda melawat keluarga Pung itu lagi," ujar Cik Indranee.



Kaitan Ratu Elizabeth dengan Singapura terus dapat dilihat di serata Singapura. Queenstown, bandar satelit pertama Singapura, serta Queen Elizabeth Walk dekat Marina Bay antara lain dinamakan sempena upacara kemahkotaannya pada 1953.



Selain itu, beberapa tempat dan jalan raya di Queenstown juga dinamakan sempena nama tempat di Scotland, tempat Ratu Elizabeth II menghabiskan banyak masa semasa kanak-kanak, seperti Strathmore, Forfar dan Sterling.



Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok turut dinamakan sempena Ratu Elizabeth, ujar Cik Indranee.



"Kita mengekalkan nama tempat dan sekolah ini. Mereka merakam sebahagian daripada sejarah kita dan mencerminkan penghargaan tinggi kita buat mendiang (Ratu Elizabeth) serta hubungan mesra kita yang sudah lama terjalin dengan Britain," ujarnya.



Cik Indranee berkata pemergian Ratu Elizabeth menandakan berakhirnya satu era.



"Bagi pihak Dewan ini, saya ingin mengucapkan takziah kepada Raja Charles III serta Keluarga Diraja dan rakyat Britain menyusuli pemergian Ratu Elizabeth II," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >