Rawatan lebih selamat bagi barah disediakan apabila pusat baru buka 2021

SINGAPURA akan melabur hampir $100 juta dalam sistem terapi pancaran proton bagi merawat barah yang menyebabkan kurang kerosakan ke atas tisu sihat berbanding terapi radiasi sekarang.

Dengan kira-kira tiga daripada lima pesakit barah memerlukan radiasi, Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS) telah mengkaji teknologi itu selama satu dekad, tetapi kos dan saiz menjadi hambatan utama.

Mesin itu akan mengambil tiga tingkat di besman pusat barah baru itu di kampus Outram apabila ia dibuka pada 2021, menurut pengarah NCCS, Profesor Soo Khee Chee, yang mengumumkan pada Khamis (18 Ogos) bahawa mesin itu daripada Hitachi.

Syarikat Jepun itu menewaskan enam syarikat lain untuk mendapat kontrak tersebut.

Ia akan menjadi sistem seumpama itu yang pertama di Asia Tenggara.

Buat permulaan, ia akan digunakan pada kanak-kanak dan orang dewasa muda, bagi rawatan barah di kepala, dan bagi pesakit yang pernah menjalani terapi radiasi dan barah mereka berulang.

Dr Fong Kam Weng, yang mengetuai radiasi onkologi di NCCS, berkata ia baik untuk merawat barah otak, terutamanya pesakit kanak-kanak.

Dengan rawatan semasa, "kerosakan pada otak tidak dapat dielak" dan pesakit yang sembuh mengalami pelbagai kesan sampingan, termasuk terencat akal, pembantutan dan ketidakseimbangan hormon.

Ia juga akan digunakan bagi mereka yang mempunyai penyakit barah berulang kerana radiasi menimbulkan risiko barah sekunder membangun di kawasan radiasi.

Profesor Soo berkata dengan pancaran proton, kesan sampingan tersebut "berkurangan". Kemungkinan kerosakan otak dan akal terencat berkurangan kepada kurang daripada separuh dan barah sekunder kepada kira-kira satu perlapan, berbanding X-ray biasa.

Pusat itu menjangka merawat 150 pesakit pada tahun pertama sebelum bertambah hingga kira-kira 1,000 pesakit setahun.

Dr Fong berkata NCCS akan menjalankan ujian klinikal bagi barah lain, seperti prostat, esofagus dan buah dada kiri, yang terletak dekat jantung, untuk membandingkannya dengan rawatan sekarang.

Separuh kos mesin itu akan ditampung daripada sumbangan $50 juta Yayasan Goh, yang ditubuhkan oleh pengasas Nippon Paint, Encik Goh Cheng Liang.

Ia akan menjadi peralatan paling mahal di NCCS baru itu, yang dijangka menelan belanja $800 juta, tidak termasuk mesin tersebut.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 49
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.