Remaja lelaki didapati bersalah tinggalkan anak luar nikahnya

APABILA seorang pelajar berusia 14 tahun melahirkan anak tidak cukup bulan pada minggu ke-31 di dalam tandas rumahnya, dia memanggil teman lelakinya, 18 tahun, untuk membantu.

Teman lelaki itu, juga seorang pelajar sekolah menengah, panik dan mencadangkan mereka meninggalkan bayi tersebut di luar rumahnya supaya keluarganya boleh membesarkannya.

Dia mahu melihat anaknya membesar, tanpa sesiapa mengetahui itu anaknya.

Mereka meninggalkan bayi itu dalam sebuah beg SG50, tetapi ayah remaja lelaki tersebut memanggil polis apabila bayi itu ditemui di depan pintu rumahnya.

Pada Rabu (6 Jan) remaja lelaki itu didapati bersalah melakukan perbuatan gopoh yang membahayakan nyawa manusia dengan meninggalkan bayinya yang baru lahir tanpa pengawasan.

Dia juga didapati bersalah bagi empat tuduhan melakukan hubungan seks dengan temanitanya yang bawah umur.

Mahkamah Masyarakat diberitahu bahawa pasangan itu berkenalan dalam majlis menyambut kelahiran bayi seorang jiran gadis itu.

Pada Januari tahun lalu, selepas dia mencapai umur 14 tahun, mereka melakukan hubungan seks tanpa perlindungan di tangga blok HDB tempat gadis itu tinggal.

Beberapa hari kemudian, mereka mengadakan hubungan seks sekali lagi di tempat sama. Selepas itu, mereka memutuskan memberi tumpuan pada pelajaran dan mengurangkan pertemuan.

Sekitar Mei atau Jun, gadis itu memberitahu teman lelakinya dia hamil, dan mereka menyembunyikan perkara tersebut.

Pada 2 Ogos, kira-kira tengah hari, gadis itu berasa sakit perut yang amat sangat semasa duduk di tandas, dan kemudian mendengar suara bayi menangis.

Dia melihat ke dalam mangkuk tandas dan ternampak seorang bayi. Dia mengambil bayi baru lahir itu, membersihkannya di sinki, dan kemudian memanggil teman lelakinya.

Sebelum meninggalkan bayi tersebut di luar rumahnya, remaja lelaki itu menulis surat dan meletakkannya di dalam beg berisi bayi tersebut.

Surat itu meminta "bantuan untuk menjaga bayi ini kerana saya tidak mampu menjaga dia". "Namanya telah diputuskan sebagai (disunting)... jika saya mempunyai pendapatan lebih, saya akan menghantar wang setiap bulan," tambah surat itu.

Bayi tersebut ditemui ibu remaja lelaki itu pada 4 petang. Ia kemudian dibawa ke hospital oleh paramedik.

Pada kira-kira 9 malam hari itu, pasangan tersebut mengaku ia bayi mereka, dan analisis DNA kemudian mengesahkannya.

Remaja lelaki itu akan dijatuhi hukuman bulan depan, sementara menunggu laporan kesesuaian probesen.

Tidak diketahui siapa menjaga bayi itu sekarang.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:00
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:03
Isyak
8:18
3 HR PSI: 22
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.