Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Misi sosial kelab sukan Bussorah perkasa belia wanita berisiko

Bussorah Youths Sports Club baru dibentuk usahakan projek sosial campur sukan, bimbing belia wanita agar berjaya dalam kehidupan
Jul 05, 2021 | 05:30 AM



DARIPADA beberapa perbincangan yang diadakan di Bussorah Street, terlahir satu misi murni untuk membimbing belia wanita berisiko menjalani kehidupan lebih cerah di masa depan.



Usaha tersebut dijadikan satu projek pemerkasaan diasaskan sekumpulan sukarelawan yang menubuhkan sebuah kelab sukan dengan misi sosial diberi nama Bussorah Youths Sports Club.



Nama ini diberikan sesuai dengan tempat 'kelahirannya' di Bussorah Street.



Bussorah Youths Sports Club didaftarkan sebagai persatuan pada Januari tahun lalu, dengan projek pemerkasaan 'Youth Rejuvenated' (Belia Kembali Bertenaga) dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2020.



Kelab tersebut juga mendaftar bersama Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) supaya ia dapat menyertai pertandingan anjuran FAS.



Antara pengasas Bussorah Youths Sports Club, yang kini presidennya, ialah pensyarah Politeknik Singapura (SP), Encik Zaharin Ismail.



Menceritakan bagaimana idea sosial campur sukan itu berputik, Encik Zaharin berkata ia bermula pada Oktober 2019 selepas dua rakannya menemui beliau tentang usaha untuk membantu beberapa belia Muslim perempuan berisiko yang memerlukan bimbingan.



Belia tersebut menghadapi cabaran dan masalah keluarga serta memiliki tingkah laku sosial kurang sihat.



Namun, pada masa yang sama, mereka meminati sukan bola sepak tetapi meluangkan terlalu banyak masa bermain bola, kadang kala sehingga larut malam, sampai pelajaran sekolah terabai.



Belia perempuan ini juga, menurut Encik Zaharin, mula bercampur gaul bersama belia lelaki dan merokok.



"Saya menghubungi beberapa kawan lain dan kami mengadakan perbincangan untuk mencari jalan membantu dan membimbing belia-belia ini.



"Oleh itu muncul idea untuk menyediakan platform bagi belia-belia ini mengejar minat mereka dalam cara lebih sihat dan terkawal.



"Kami mengundang mereka ke rumah saya dan mengadakan dialog serta membentangkan saranan kami. Mereka teruja dan bersetuju dengan saranan-saranan tersebut," kata Encik Zaharin, dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.



Encik Zaharin, 48 tahun, merupakan pensyarah Akademi Maritim Singapura di SP dan mantan kapten kapal.



Seramai 24 peserta, kebanyakannya pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), menyertai projek pemerkasaan itu yang antara lain melibatkan mereka mengambil bahagian dalam beberapa program sukan, pendidikan dan peningkatan diri (lihat laporan lain).



Sukan pula menjadi 'penyebut sepunya' yang menarik mereka bersama mengikuti projek berkenaan.



Memberi perincian usaha kelab tersebut, Encik Zaharin berkata pihaknya memberi fokus kepada pelajar atlet yang menghadapi risiko keciciran dalam pelajaran ekoran pelbagai cabaran seperti masalah keluarga, berpendapatan rendah dan kurang minat dalam pelajaran.



Semua peserta projek itu pula sebenarnya cemerlang dalam sukan di sekolah masing-masing tetapi secara akademik mereka jauh ketinggalan berbanding pelajar lain.



Mereka didapati sukar mengenalpasti hubung kait bidang sukan dengan akademik, kata Encik Zaharin, bapa dua anak perempuan berusia 18 dan 14 tahun.



KAITAN BUSSORAH



Ditanya tentang nama Bussorah bagi kelab tersebut, Encik Zaharin berkata sebelum kelab tersebut dibentuk, beberapa pengasasnya sering mengadakan pertemuan di kedai Kampong Glam Cafe di Bussorah Street.



"Oleh kerana Kampong Glam Cafe terletak di Bussorah Street dan kami telah mengadakan banyak pertemuan di situ, justeru nama Bussorah sesuai dan mencerminkan masyarakat Melayu/Islam," kata Encik Zaharin, juga penggiat motosikal yang sering ke Batu Pahat, Keluang dan Temerloh di Malaysia untuk mengagihkan derma dari Singapura ke rumah anak yatim di sana.



Pemilik Kampong Glam Cafe itu pula, bekas pemain bola sepak nasional, Encik Bashir Khan dan pemilik perniagaan peralatan sukan, Encik Malek Awab, turut menyediakan peserta projek dengan pakaian sukan.



SUKARELAWAN KELAB



Bussorah Youths Sports Club sejauh ini mempunyai 14 sukarelawan.



Salah seorang daripada mereka pegawai penjara, Encik Naszri Jaafar, 45 tahun.



Beliau membantu dalam latihan bola sepak dan melakar kegiatan untuk peserta selain menjadi orang yang memastikan disiplin pasukan dijaga.



Bahkan seluruh keluarga Encik Naszri turut mencurah tenaga kepada kelab tersebut sebagai sukarelawan memandangkan dua anak perempuannya juga antara anggota pasukan kelab tersebut.



Menerusi anaknya itulah Encik Naszri mendapat tahu tentang masalah keluarga peserta dan bantuan kewangan dan sokongan moral yang mereka perlukan.



Beliau kini terdorong untuk meneruskan bantuan lebih-lebih lagi melihat lima anggota pasukan kelab itu dipilih untuk berlatih bersama pasukan bola sepak nasional di bawah usia 19 tahun.



"Ini mendorong saya untuk melakukan tugas dengan lebih baik lagi dalam menyediakan sokongan dan membantu belia perempuan ini meneruskan minat mereka dalam bola sepak.



"Melihat mereka gembira melakukan apa yang mereka suka, buat saya lebih terdorong untuk membantu mereka," katanya.



Kelab tersebut juga mempunyai relawan bukan Melayu yang sama-sama mencurah bakti membimbing belia tersebut.



Salah seorang merupakan kakitangan awam, Encik Thamil Selvan, berusia 46 tahun, selaku jurulatih bola sepak pasukan tersebut yang kini kian melihat dirinya sebagai mentor.



Menurutnya, mengendalikan belia kelab tersebut sememangnya tidak mudah kerana pelbagai cabaran perlu ditangani seperti kehadiran pemain, sikap dan komitmen mereka.



Encik Kathiravan Murugiah, guru berusia 50 tahun, pula berkata mengekalkan penyertaan belia perempuan itu dalam projek tersebut juga satu cabaran, apatah lagi cabaran seperti mendapatkan penaja dan tempat latihan sesuai.



Namun beliau, yang juga jurulatih pasukan, akur projek tersebut merupakan usaha yang masih berjalan dan pihaknya sedang bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi untuk meninjau bantuan yang boleh mereka sumbang.



Encik Zaharin pula percaya projek kelab tersebut akan memenuhi matlamatnya.



Beliau juga telah menerima maklum balas positif daripada ibu bapa dan penjaga peserta, bahkan mereka merupakan saluran pemantauan berkesan sedang kelab itu melibatkan mereka secara kerap.



"Anggota pasukan dan saya ingin merasakan bahawa projek ini telah memenuhi objektifnya dan secara umum berjaya. Kami berjaya mengekalkan tahap dorongan dan penglibatan peserta dalam projek ini," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >