Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rentak Som dalam seni tari masih ligat

Jan 07, 2018 | 05:30 AM



Sesiapa yang mengenali ikon seni tari Melayu Som Said tentu kenal akan semangat beliau yang penuh bertenaga. Sifat enggan berpeluk tubuh dan sentiasa meneroka, melaksana projek baru melestarikan seni tari Melayu merupakan antara falsafah hidup Som. Semalam, beliau melancarkan penerbitan sebuah buku yang menyusuri perkembangan seni tari Melayu di Singapura. ADLI YASHIR KUCHIT (adli@sph.com.sg) meninjau usaha tersebut.



BIARPUN sudah lima dekad berkecimpung dalam seni tari Melayu, Cik Som Said masih belum menunjukkan tanda mahu memperlahankan rentak penglibatannya dalam seni tersebut bahkan banyak lagi idea dan projek yang mahu dilaksanakan demi melestarikan seni tari Melayu.



Jadual kalendar Cik Som sibuk dengan pelbagai urusan, sebagai penasihat, pensyarah dan juga duta seni yang mengibarkan bendera tari Melayu di serata dunia.



Tahun lalu misalnya beliau ke luar negara sekurang-kurang lima kali - ke Bulgaria, Korea Selatan, Turkey, Indonesia dan Canada untuk mempersembahkan seni tari Melayu di bandar negara tersebut.



Ketika ditemui baru-baru ini Cik Som, 66 tahun, telah berkongsi kisah usaha beliau menerbitkan buku yang merakamkan pengalaman peribadinya dalam seni tari Melayu sejak berkecimpung dalam seni itu pada 1965.



Buku bertajuk Seni Tari Melayu di Singapura - Perjalanan Som Said juga mengiktiraf sumbangan penggiat seni yang terdahulu.



"Kak Som mengambil pendekatan akademik yang digandingkan dengan pengalaman sendiri berkecimpung dalam seni tari Melayu selama lebih lima dekad.



"Buku ini padat dengan kisah pengalaman yang ditulis dengan cara saya sendiri menggunakan bahasa tari Melayu," kata Cik Som yang pernah dianugerah Pingat Budaya pada 1987 dan juga dinobat pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian pada 2009.



Cik Som menerangkan buku itu merupakan usaha lanjutan selepas beliau meraih sarjana muda dalam Antropologi Tarian daripada Institut Kesenian Jakarta pada 2011.



Pihaknya mengambil masa sekitar empat tahun membuat penyelidikan bagi menyediakan bahan bagi buku tersebut.



"Saya juga dapati buku yang merakamkan evolusi seni tari Melayu di Singapura amat sukar diperolehi justeru ini satu usaha saya menyumbang kepada khazanah penerbitan di negara ini," kata Cik Som.



Buku setebal lebih 200 muka surat itu dihasilkan dengan kerjasama Berita Harian.



Sekumpulan wartawan dan pereka grafik akhbar ini telah bekerjsama memberi sokongan editorial, fotografi, reka hias dan nasihat pencetakan kepada Cik Som dalam rangka usaha penerbitan buku tersebut.



Buku itu juga menerima sokongan daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).



Selain menyusuri pengalaman sendiri, buku itu juga mengiktiraf sumbangan pemerintah dalam menggalak dan memperkaya budaya berbilang kaum di Singapura.



"Sejak pemerintah memperkenalkan acara Aneka Ragam Rakyat pada 1959 pemerintah telah menyokong seni tari Melayu di Singapura.



"Lebih penting sokongan pemerintah telah memberi warga di dalam dan luar negara pendedahan kepada budaya berbilang kaum di Singapura," kata Cik Som.



Ada juga babak dalam buku itu yang merakamkan sumbangan badan-badan seni setempat, dan pada masa yang sama, perintis seni tari dari dalam dan luar negara, yang masih hidup dan yang sudah pergi turut diiktiraf.



Cik Som sempat meluangkan masa melaksanakan projek buku itu serentak dengan pelbagai projek lain yang beliau sertai.



Ini termasuk menyampaikan kuliah sambilan di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dan Sekolah Seni Singapura (Sota).



Tidak kurang juga penglibatan beliau secara sukarela dengan beberapa badan setempat seperti Persatuan Ain dan Jamiyah apabila badan itu mahu mengadakan acara bertema.



Buku Seni Tari Melayu yang dilancarkan semalam itu bukan projek penerbitan terakhir bagi Cik Som.



"Kami juga mahu meneroka menghasilkan video dokumentari tentang seni tari Melayu," katanya.



Buku mewah (coffee table) setebal lebih 200 muka itu akan diagihkan secara percuma kepada badan badan budaya dan badan kebajikan.



Sebanyak 300 naskhah akan diedarkan ke sekolah setempat.



Buku itu akan dijual pada harga $49 dan ia boleh dibeli di pejabat Sri Warisan Som Said Performing Arts.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >