Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Retak siku dek jatuh dari e-skuter di Koswe

Sep 14, 2017 | 05:30 AM



SEJAK beberapa bulan lalu warga Singapura Encik Abdul Aziz Ahmad dan Cik Rahimah Omar yang tinggal di Johor Bahru menggunakan e-skuter untuk berulang-alik di Koswe tidak pernah mengalami sebarang kemalangan semasa menaiki alat mobiliti itu.



Namun gara-gara plastik yang dibuang sembarangan, pasangan suami isteri itu tidak menyangka ia telah menyebabkan mereka ditimpa musibah.



Kemalangan tersebut berlaku di Koswe ketika mereka sedang menuju ke arah Singapura, kelmarin.



"Plastik yang dibuang pengguna e-skuter di hadapan kami tersangkut pada roda depan e-skuter saya.



"Ini yang membuat roda kami licin, menyebabkan saya hilang kawalan.



"Meskipun saya berjaya mengelakkan diri, malangnya isteri saya terjatuh dan muka bahagian kirinya terhempap di permukaan jalan raya," kongsinya.



Impak yang hebat itu telah membuat Cik Rahimah, 51 tahun, pengsan buat sementara waktu.



Mujur ada beberapa pengguna Koswe yang berada di situ, datang membantu mereka.



Pasangan tersebut yang tinggal di Taman Setia Eco Cascadia, Johor Bahru, sejak tiga tahun lalu sering berulang-alik ke Singapura memandangkan Encik Abdul Aziz, 49 tahun, bekerja sebagai teknisyen di sini.



Isterinya, seorang suri rumah, sering menemaninya ke Singapura untuk menjaga cucu mereka di rumah anaknya di Woodlands.



Setiap hari sekitar 6 pagi, pasangan yang mempunyai empat anak dan seorang cucu itu akan mengongsi e-skuter seberat 10 kilogram itu untuk menyemberangi Koswe kerana ia lebih pantas daripada berjalan kaki.



Encik Abdul Aziz akan mengawal alat tersebut manakala isterinya pula berdiri di hadapannya.



"Kalau jalan kaki, makan masa sekitar setengah jam, kalau kereta pula, dalam 45 minit.



"Ini belum termasuk kalau ada kesesakan lalu lintas yang boleh berpanjangan sehingga dua jam," katanya.



Ini berbanding dengan e-skuter yang hanya memakan masa sekadar lima minit sahaja dari kastam Johor ke kastam Singapura.



Oleh kerana kejadian yang menimpa pasangan itu berlaku berdekatan dengan kastam Johor, Encik Abdul Aziz telah mendapatkan bantuan ambulans di sana.



Tetapi kerana sukar mengesannya dan ambulans terpaksa membuat pusingan-U memandangkan ia datang dari arah Johor, pasangan itu terpaksa menunggu sekitar sejam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah.



Menurut Encik Abdul Aziz, setelah diperiksa di sana, beliau kemudian meminta pihak hospital agar membenarkan isterinya pulang.



"Kami kemudian cuba menghubungi beberapa jiran terdekat di Johor sekiranya ada sesiapa yang ingin masuk ke Singapura agar membantu kami menghantar isteri saya ke hospital di sini," katanya.



Mujur beberapa jiran tetangga seperti Encik Kazman Kadir dan isterinya, Cik Maimunah Masod, serta Datin Raskidah Ali, yang kesemuanya warga Singapura banyak memberi bantuan dengan menghantar mereka ke Singapura.



Cik Rahimah kemudian dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Khoo Teck Puat, dan didapati mengalami keretakan pada siku kirinya serta muka yang lebam sampai ke paras mata. Encik Abdul Aziz pula hanya mengalami beberapa calar sahaja.



Ditanya sama ada kejadian itu akan membuat pasangan tersebut serik menaiki e-skuter, Encik Abdul Aziz berkata:



"Sebenarnya alat e-skuter ini tidak berbahaya, malah ia membantu kami.



"Tetapi yang bahayanya ialah barang yang dibuang sembarangan. Saya juga berharap kejadian ini akan menjadikan pengguna e-skuter lebih berhati-hati apabila menggunakannya."




SEKILAS



Peraturan bagi pengguna e-skuter di Singapura



- Pastikan e-skuter ditunggang pada kelajuan tidak melebihi 15 km sejam di laluan pejalan kaki dan 25 km sejam di laluan basikal atau yang dikongsi dengan pejalan kaki.



- Pastikan e-skuter dipasang lampu putih di depan dan lampu merah di belakang. Kededua lampu perlu dihidupkan dalam sekitaran gelap.



Antara etika menggunakan e-skuter



- Beri laluan kepada pejalan kaki di laluan basikal atau yang dikongsi dengan pejalan kaki.



- Bersedia untuk berhenti atau tolak e-skuter di kawasan sesak.



-- Jangan bunyikan loceng berlebihan apabila menghampiri pejalan kaki. Jika pejalan kaki tidak memberi laluan, turun dan tolak e-skuter untuk memotong.



- Kekalkan jarak selamat dengan penunggang e-skuter di depan, terutama semasa memotong, untuk mengelak melanggar penunggang itu.



- Pastikan tayar, brek dan lampu dalam keadaan baik.



- Jika menunggang e-skuter secara berkumpulan, tunggang dalam satu barisan memanjang kecuali semasa memotong.



Sumber: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >