Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SIDANG AWAM JAWATANKUASA PILIHAN

Ringkasan keterangan dan saranan menangani isu kepalsuan 'online'

Mar 17, 2018 | 05:30 AM



SEJAK sidang awam bermula Rabu lalu, seramai 19 perwakilan telah memberikan bukti lisan kepada Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Dalam Talian yang Disengajakan. Berikut kami siarkan ringkasan bukti yang dikemukakan sejauh ini.



Dr Carol Soon dan Encik Shawn Goh, ahli akademik Institut Pengajian Dasar (IPS)

Mereka sentuh mengenai cabaran yang mendepani penyebaran maklumat palsu dalam talian.



  • Kepalsuan dalam talian boleh ancam keselamatan negara dan ketenteraman awam. Ini kerana ia dilakukan untuk semai perpecahan di kalangan masyarakat. Contohnya, penyebaran berita palsu ketika pilihan raya Presiden Perancis telah menimbulkan ketegangan sosial yang berpunca daripada isu imigrasi dan agama. Video yang disebarkan di Twitter mendakwa kononnya orang Islam di London meraikan serangan pengganas di Paris.

  • Terdapat keperluan untuk mengawasi pemalsuan dalam talian yang merosakkan jalinan sosial.

  • Hasil kajian menunjukkan manusia mudah terima berita palsu dan ini sukar diluputkan. Apabila sesuatu berita palsu telah disebarkan, adalah sukar untuk ditarik balik atau dihapuskan pengaruhnya.

  • Orang ramai cenderung mendekatkan diri kepada sesuatu kumpulan, mencari maklumat sendiri dan mengesahkan apa yang mereka sudah percaya dan menyaring apa yang tidak sesuai dengan kepercayaan mereka. Ini boleh mengukuhkan lagi maklumat palsu.

  • Terdapat jurang dalam peruntukan undang-undang yang ada. Ini boleh ditangani dengan menggubal undang-undang baru atau meminda yang sedia ada.

  • Penelitian fakta mungkin boleh bantu atasi kepalsuan sesuatu berita tetapi kesannya agak terbatas. Misalnya, orang yang membaca berita palsu biasanya tidak meneliti kesahihan fakta.

  • Pertimbangkan pembentukan panel penasihat bebas yang boleh beri nasihat terhadap kenyataan yang tidak jelas kepalsuannya.

Dr Mathew Mathews, penyelidik Institut Pengajian Dasar (IPS)

Beliau sentuh kesan berita palsu dalam talian yang disengajakan ke atas keharmonian kaum dan agama.



  • Walaupun wujud keharmonian antara masyarakat, ini tidak bermakna bahawa tidak ada salah tanggapan atau prasangka tentang kumpulan yang berbeza dalam kalangan penduduk.

  • Kepalsuan online yang disengajakan juga boleh mengekalkan kesan hakisan secara perlahan. Justeru, adalah perlu menangani dengan segera pemalsuan dalam talian yang bertujuan memporak-perandakan jalinan sosial kita. Jika dibiarkan, perbuatan mempunyai kesan menghakis dan menghancurkan perpaduan dan keharmonian antara kaum dan kumpulan agama yang berbeza di Singapura.

  • Garisan pemisah boleh melebar semasa berlaku krisis. Apabila seseorang berada dalam keadaan curiga dan cemas, mereka lebih cenderung untuk menyebarkan mesej atau laporan yang tidak disahkan kesahihannya.

  • Penting bagi rakyat untuk lebih berwaspada terhadap tindakan orang lain yang mahu melemahkan perpaduan di Singapura. Ini termasuklah usaha kuasa asing dan kumpulan yang didorong ideologi.

Saranan



  • Harus ada undang-undang yang mencukupi untuk melindungi warga Singapura daripada penyebaran maklumat palsu.

  • Kita harus mempunyai mekanisme memberi kuasa kepada pemerintah untuk menghentikan akses ke laman media yang menyebarkan maklumat palsu secara dalam talian yang boleh mengancam keharmonian Singapura. Mekanisme ini harus memberi respons dengan pantas.

  • Tidak perlu melindungi keupayaan seseorang untuk sengaja menyebarkan maklumat palsu dalam talian. Menyebarkan kepalsuan dalam talian boleh melemahkan keberkesanan demokrasi dan keberkesanan amanah dan kebebasan bercakap.

Dr Michael Raska, Penolong Professor, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS)

Beliau bercakap mengenai operasi menyebarkan maklumat palsu bak perang siber.



  • Operasi melibatkan sebaran maklumat harus diperlakukan sebagai suatu bentuk peperangan. Banyak negara cuba memanfaatkan teknologi baru ketenteraan maju, termasuk alam siber dan peperangan maklumat untuk mencapai kepentingan politik dan strategik.

  • Adalah mudah bagi pelaku dalam negeri untuk menangkis tindakan mereka. Mereka melakukan ini dengan bersembunyi di belakang seorang proksi.

  • Ancaman maklumat siber mencabar pemahaman tradisional Singapura terhadap pertahanan dan tindakan pencegahan yang dipegangnya. Singapura mengadakan pertahanan mutlak tetapi ia tetap dilihat sama ada ia boleh menampung pelbagai bentuk serangan yang boleh berlaku.

  • Singapura mempunyai kelebihan strategik dari segi kuasa ketenteraan konvensional. Ini bermakna jika negara asing menyasarkan Singapura, ia akan bermula dengan kempen maklumat secara halus.

  • Menggunakan maklumat dalam talian sebagai satu cara melemahkan tekad Singapura untuk pertahan diri.

Dr Shashi Jayakumar, Ketua Pusat Kecemerlangan untuk Keselamatan Nasional, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS)

Beliau menerangkan kempen sebaran maklumat palsu sebagai sejenis perang tidak seimbang yang digunakan penceroboh untuk pecah belah rakyat



Bukti yang dikemukakan:



  • Penceroboh menggunakan kaedah menyeluruh demi mencapai matlamat yang diingini. Ini termasuk memberi arahan yang menggerak golongan minoriti dalam masyarakat.

  • Mencerobohi pertubuhan bukan pemerintah (NGO) setempat

  • Beri rasuah kepada tokoh politik, sebagaimana yang dilakukan China di Australia

  • Sasar kumpulan khusus dalam masyarakat, bagi melunturkan proses demokratik.

  • Guna teknik penyebaran maklumat palsu untuk lemahkan daya tahan penduduk di negara yang disasarkan, menggunakan kaedah yang lebih murah (dan kurang menyebabkan tumpahan darah berbanding perang tradisional).

  • Guna kecerdasaan buatan dan khidmat keselamatan akan mengalami kesukaran mengesan kepalsuan.

Konteks Singapura:



  • Mesej palsu yang disasarkan khas kepada sesebuah kumpulan kaum boleh memecah belah perpaduan sosial.

  • Kuasa tentera Singapura adalah tinggi. Justeru pihak yang mahu menyerang Singapura akan meggunakan perang maklumat. Strategi seperti ini melibatkan perancangan jangka panjang. Singapura perlu menjangka ia telah pun menjadi sasaran.

  • Taktik penyebaran maklumat palsu telah digunakan di Indonesia dan mungkin di Malaysia. Misalnya Cambridge Analytica, yang didakwa menyasarkan rakyat Amerika semasa pilihan raya Amerika Syarikat 2016, kini wujud di Malaysia.

Saranan



  • Tindak balas online perlu diiringi campur tangan manusia.

  • Perundangan boleh membantu, misalnya mengenal pasti pihak yang secara aktif menyokong usaha menjejas kuasa.

Encik Ruslan Deynychenko, Pengasas bersama StopFake.Org

Beliau berkongsi pengalaman Ukraine menangani kempen penyebaran maklumat palsu.



Bukti yang dikemukakan:



  • Tiada negara boleh abaikan isu sebaran maklumat palsu.

  • Ukarine menanggung kesan kempen sebaran maklumat palsu. Sebahagian Ukraine, Crimea, telah ditawan Russia. Daerah lain di Ukraine, kini terlibat dalam konflik bersenjata - 10,000 nyawa terkorban.

  • Russia tumpukan usaha sebaran maklumat palsu untuk tambah tekanan kepada ketegangan yang wujud antara penduduk berbilang bahasa Ukraine.

  • Demi menangani propaganda Russia, pemerintah Ukraine melarang saluran televisyen, suratkhabar, dan stesen radio Russia.

Dr Jakub Janda, Ketua Program Kremlin Watch, Penasihat Kementerian Dalam Negeri Reublik Czech

Beliau bercakap tentang operasi kepalsuan Russia di Republik Czech dan Timur Eropah.



Bukti yang dikemukakan:



  • Suku daripada orang Czech percaya kepada kepalsuan.

  • Empat dalam 10 orang Czech menyalahkan Amerika Syarikat (bukan Russia) bagi krisis yang dihadapi Ukraine hari ini.

  • Lebih separuh orang Czech mengatakan terdapat kepalsuan pro-Russia dan anti-Russia di ruang awam Czech.

Kempen kepalsuan berusaha melemahkan kepercayaan awam



  • Orang awam kehilangan kepercayaan dalam institusi demokrasi, media bebas dan parti politik demokratik.

  • Kuasa politik antipemerintah akan mendapat sokongan.

  • Kepalsuan boleh hambat perlaksanaan dasar konstruktif tentang isu sensitif seperti migrasi.

  • Ini boleh mengehadkan pilihan dasar pemerintah, dengan memesong perbahasan awam mengenai isu-isu utama.

  • Wadah kepalsuan asing bersembunyi di sebalik nilai demokrasi liberal misalnya kebebasan bersuara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >