Sambutan 10 hari ulang tahun ke-25 beruang kutub Inuka Zoo Singapura

BERUANG kutub tunggal Taman Haiwan Singapura, Inuka, akan berumur 25 tahun pada 26 Disember, dan bagi memulakan sambutan hari jadinya selama 10 hari, satu pameran foto mengenai habitat artik beruang kutub dilancarpada Rabu (16 Dis).

Pameran Masa Depan Artik Kita itu menonjolkan ancaman perubahan iklim terhadap ekosistem Artik dan beruang kutub. Ia dibangunkan oleh Muzium Sejarah Semula Jadi Denmark dengan kerjasama pemerintah Greenland dan Kepulauan Faroe bagi Kementerian Luar Denmark.

Duta Denmark ke Singapura, Cik Berit Basse, merasmikan pelancaran itu di Frozen Tundra, tempat tinggal Inuka, yang dilahirkan di Singapura.

Semasa pelancaran itu, Inuka, beruang kutub pertama dilahirkan di kawasan tropika, diberi 'kek' hari jadi yang diperbuat daripada blok ais, krim putar dan buah-buahan seperti tembikai, kiwi, strawberi dan epal.

Pada umur 25 tahun, Inuka dianggap sebagai beruang tua. Beruang kutub liar biasanya hidup antara 15 hingga 18 tahun manakala yang dibesarkan dalam kurungan, seperti Inuka, hidup hingga 25 tahun secara pura.

Namun, dengan penjagaan betul, beruang kutub dalam tawanan boleh hidup lebih lama. Ibu Inuka, Sheba, sebagai contoh, mati pada 2013 ketika berusia 35 tahun.

Pemeriksaan kesihatan terakhir Inuka Julai lalu mendapati ia mengalami masalah kesihatan yang dikaitkan dengan umur, seperti artritis dan masalah pergigian.

Ia sekarang seberat 581 kilogram dan sepanjang 2.5 meter dari hidung ke ekor.

Syarikat media Singapore Press Holdings (SPH) dan Yayasan SPH menjadikan Inuka sebagai haiwan angkat sejak kelahirannya pada 26 Disember 1990.

Ketua Pegawai Eksekutif SPH yang juga pengarah Yayasan SPH, Encik Alan Chan, berkata: "Kami mengucapkan selamat ulang tahun kepada Inuka dan berharap ia boleh membawa kegembiraan kepada ramai selama bertahun-tahun lagi.

"Melalui kerjasama rapat kami dengan Wildlife Reserves Singapore, kami akan terus menggalak kesedaran dan tanggungjawab masyarakat dalam perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar, yang merupakan salah satu objektif teras Yayasan SPH."

Sepanjang 10 hari ini, pengunjung taman haiwan itu boleh melikat Inuka menikmati sambutan hari jadinya pada 1.20 petang setiap hari.

Pameran foto itu berlangsung hingga 16 Januari.

Waktu Solat

Subuh
5:36
Syuruk
6:59
Zuhur
1:02
Asar
4:26
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 37
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.