Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sasterawan pengkaji Dunia Melayu

Oct 25, 2017 | 05:30 AM



Enam penggiat seni dalam pelbagai disiplin mendapat pengiktirafan tertinggi Singapura bagi seni - Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda - yang diberi oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) di Istana semalam. Mereka dijulang kerana bertungkus lumus berkarya dan bagi sumbangan bermakna dalam mencorak persada seni Singapura agar ia lebih menyerlah, di samping memasyarakatkan seni buat pelbagai lapisan masyarakat. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



CINTA dan pengabdian Encik Djamal Tukimin kepada dunia kesusasteraan dan penyelidikan Dunia Melayu tiada tolok bandingnya.



Jika irama tidak dapat dipisahkan daripada lagu, pena yang mengamati kehidupan sekeliling tidak dapat diasingkan daripada kehidupan pengasas bersama kumpulan penyajak era 1970-an, Grup Gelorasa, itu.



Sebagai seorang penulis sajak, cerpen, novel, esei dan naskhah teater, Encik Djamal banyak membaca karya agung yang menyentuh tentang Dunia Islam dan Melayu.



Semalam, sumbangan kreatif beliau selama 54 tahun diiktiraf dalam bentuk anugerah tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Pingat Budaya.



Encik Djamal, 71 tahun, dan penggubah muzik orkestra Cina, Encik Law Wai Lun, 73 tahun, menerima anugerah itu daripada Presiden Halimah Yacob dalam majlis penyampaian di Istana.



Mereka diberi geran hingga $80,000 setiap seorang bagi membangunkan projek seni yang menepati matlamat NAC.



Anugerah Seniman Muda pula diberi kepada empat belia berpotensi memasyarakatkan seni bagi manfaat pelbagai generasi.



Mereka ialah Encik Kahchun Wong, Encik Joshua Ip, Cik Yarra Ileto dan Encik Kray Chen.



Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NAC, Cik Rosa Daniel, berkata: "Penerima Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda ini melambangkan mercu kecemerlangan kesenian dan daya kreatif kebudayaan Singapura.



"Sebagai pemimpin dalam bidang masing-masing, yang juga banyak menyumbang kepada kekayaan warna-warni landskap kesenian Singapura, mereka menjadi sumber inspirasi buat penggiat seni muda dan pengamat seni di Singapura.



"Kami bangga merai pencapaian mereka yang mampu membawa Singapura ke pentas seni sejagat."



Encik Djamal begitu terharu oleh anugerah yang diterima seraya berkata:



"Saya bersyukur NAC menitikberatkan sumbangan sasterawan Melayu di Singapura.



"Pengiktirafan ini membakar semangat saya dan teman sasterawan lain agar teruskan kerja-kerja mengkaji dan menulis."



Beliau mengasah penanya sejak menjuarai peraduan menulis cerpen sempena Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan sekitar 1963.



Karya itu diterbitkan di majalah Suara Belia terbitan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (4PM).



Selain aktif berbahas, beliau dan beberapa teman, seperti Mohd Ismail Abdullah dan Haron Abdulmajid, menjadi pengasas kumpulan sasterawan muda Grup Gelorasa, yang cuba meniup nafas baru kepada kegiatan dan penulisan sastera Melayu moden.



"Sasterawan memiliki tanggungjawab moral dan harus menyampaikan sesuatu kebenaran hasil pengamatannya tentang masyarakat.



"Karya yang dihasilkan boleh jadi cerminan bermakna buat masyarakat.



"Sasterawan tidak boleh setakat 'syok sendiri' mengilhamkan sesuatu," ujar Encik Djamal.



Melihat amanah sebagai penulis cukup besar, Encik Djamal menyisipkan unsur-unsur murni dalam karya seninya.



"Pencapaian terbesar saya ialah ketika dapat menghasilkan trilogi novel tentang konflik pemikiran bertajuk 'Imam'.



"Saya mampu menyalur ilham dan nilai keislaman sebagai pedoman dan iktibar buat pembaca.



"Saya bukanlah ulama atau asatizah tetapi saya yakin penulis ada misi menasihati dalam karyanya," kongsinya.



Antara karya kreatifnya yang menarik ialah gabungan surat cinta mantan temanitanya sebelum berumah tangga.



Kulayarkan Bahtera Derita Di Atas Gelombang Air Mata (Surat-surat Ketulusannya Zaihasra Kepada Djamal Tukimin) kaya dengan bahasa puitis surat menyurat.



Dengan geran yang diterima, Encik Djamal bercadang menganjurkan satu perhimpunan bersama penggiat sastera yang mencorak perjalanan seni sasteranya.



"Saya ingin himpunkan teman sasterawan dan anggota keluarga sendiri yang dapat berkongsi pandangan tentang karya saya selama lebih lima dekad.



"Ada lapan buku yang belum diterbitkan. Antara yang ingin dibukukan juga ialah kompilasi kisah tokoh kesenian Melayu daripada merata dunia," katanya lagi.




"Sasterawan memiliki tanggungjawab moral dan harus menyampaikan sesuatu kebenaran hasil pengamatannya tentang masyarakat.

Karya yang dihasilkan boleh jadi cerminan bermakna buat masyarakat. Sasterawan tidak boleh setakat 'syok sendiri' mengilhamkan sesuatu."

- Encik Djamal Tukimin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >