Schooling beri penduduk Ulu Pandan ilham tubuhkan Dana Nilai Olimpik

KURANG sehari selepas kemenangan pingat emas Olimpiknya, Joseph Schooling memberi penduduk Ulu Pandan ilham untuk menggalak nilai-nilai Olimpik dalam kalangan mereka dan memupuk semangat kemanusiaan.

Lebih 2,000 tetamu - terdiri daripada pemimpin akar umbi, pemimpin masyarakat dan penduduk Ulu Pandan - menghidupkan semula kemenangan 50.39 saat Schooling dalam acara 100m kuak kupu-kupu apabila mereka menonton sekali lagi tayanan perlumbaan itu semasa satu majlis jamuan malam Hari Kebangsaan di Ghim Moh pada Sabtu (13 Ogos) lalu.

Beberapa minit selepas itu, dan secara spontan, satu meja majlis tersebut memutuskan memulakan Dana Nilai Olimpik berdasarkan kejayaan perenang berusia 21 tahun itu di pentas dunia.

Anggota Parlimen (AP) Christopher de Souza mengumumkan penubuhan dana tersebut pada malam juga selepas hartawan Sam Goi, pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat Ulu Pandan mengikrarkan setengah juta dolar bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CC) Ulu Pandan.

Dana Nilai Olimpik dilakar untuk memanfaatkan watak dan ketabahan yang ditunjukkan oleh Schooling dan atlet lain Team Singapore.

Dana tersebut akan ditadbir oleh Ulu Pandan CC, dan sesiapa sahaja yang berumur di bawah 30 boleh menggunakannya untuk memulakan sembarang inisiatif atau program yang membantu masyarakat, selagi ia mencerminkan nilai Olimpik.

Encik de Souza, AP GRC Holland-Bukit Timah, berkata: "Kami ingin meneruskan pencapaian luar biasa Schooling, yang benar-benar memberi inspirasi kepada kami semua. Melalui dana ini, kami berharap dapat melihat masyarakat Ulu Pandan memaparkan nilai Olimpik dan menyedari kepentingan aspek-aspek tertentu yang boleh digunakan di luar sukan.

"Perkara seperti mentor, kemurahan hati dan membantu golongan mudah terjejas - ini nilai-nilai baik untuk ditanam dalam diri sendiri. Dana ini akan membolehkan penduduk daripada masyarakat kita menampilkan idea-idea besar dan inisiatif positif.

"Ia boleh diadakan dalam bentuk hari karnival sukan, acara antara masyarakat atau satu siri langkah melibatkan warga tua - menunjukkan nilai-nilai Olimpik tidak semestinya datang melalui sukan."

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:00
Asar
4:24
Maghrib
7:01
Isyak
8:16
3 HR PSI: 56
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.