Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Menyebarkan nilai rahmah kepada alam

Sedikit demi sedikit ambil langkah atasi perubahan iklim

Jun 25, 2017 | 05:30 AM



BELIAU bukan Captain Planet, adiwira daripada siri kartun Amerika yang memerangi pencemaran bagi menjaga alam sekitar.



Namun sedikit demi sedikit, Cik Nor Lastrina Hamid mengambil langkah untuk menyelamatkan bumi daripada perubahan iklim.



Ini kerana bagi Cik Nor Lastrina, 28 tahun, perubahan iklim adalah satu masalah yang nyata dan jika langkah tidak segera diambil, penduduk dunia akan merasakan kesannya lebih awal.



Ini termasuk paras air laut yang semakin meningkat, cuaca lebih panas dan ribut ganas yang lebih kerap.



"Alam sekitar kita telah memberikan kita sumber semula jadi selama ini dan kalau kita dapat menunjukkan penghargaan kepadanya, ia dapat terus memberi kita sumber itu.



"Kalau kita tidak mengambil langkah segera untuk menghargai nikmat ini, kita mungkin tidak dapat menikmatinya lagi. Jadi, setiap orang di setiap negara harus melakukan apa yang boleh untuk melindungi alam sekitar di negara mereka.



"Bagi saya, saya melakukan ini demi tanah air saya supaya warganegara Singapura tidak perlu mengalami kesan perubahan iklim," ujarnya.



Sifat rahmatan lil alamin (rahmat buat semua) yang dipamerkan Cik Lastrina menunjukkan bahawa masyarakat Islam bukan sahaja boleh menyebarkan rahmat kepada sesama manusia, malah boleh membuat kebaikan demi mendatangkan manfaat kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.



Meskipun sibuk dengan kehidupan pesat dan penuh cabaran dalam dunia kosmopolitan yang serba mewah dan selesa hari ini, beliau tidak lupa akan tanggungjawabnya kepada bumi yang telah mengeluarkan hasil tanaman, bahan galian dan sumber semula jadi lain untuk manusia selama ini.



Cik Lastrina merupakan antara 20 belia Singapura yang menghadiri Sidang Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Paris dua tahun lalu.



Di sidang itu, beliau juga menyampaikan ucapan yang cukup bersemangat bagi menggesa semua negara mencapai persetujuan untuk memastikan kenaikan suhu sedunia kekal bawah 1.5 darjah Celsius.



Namun, beliau juga berharap dapat menggalak lebih ramai orang menerajui usaha mengatasi perubahan iklim.



Pada hujung 2015, beliau dan beberapa temannya menubuhkan kumpulan Belia Singapura bagi Menangani Kesan dan Keragaman Iklim (Singapore Youth for Climate Action) yang antara lain menawarkan program pembelajaran dan kepimpinan bagi mendedahkan peserta kepada pengetahuan alam sekitar, isu iklim tertentu selain melengkapi mereka dengan kemahiran menangani kesan serta perubahan iklim.



Selain itu, lulusan perniagaan daripada Institut Pengurusan Singapura-Universiti RMIT (SIM- RMIT) itu juga diundang untuk bercakap tentang isu perubahan iklim di sekolah dan institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS).



"Kadangkala semasa saya bercakap di sekolah-sekolah, pelajar - khususnya pelajar sekolah menengah - berkata mereka sedar bahawa dunia sedang melalui perubahan iklim tetapi mengatakan bahawa mereka harus menumpukan perhatian kepada perkara lain seperti peperiksaan," katanya.



Meskipun beliau akui bukan mudah menarik perhatian orang ramai tentang perubahan iklim, semangat Cik Lastrina tidak goyah.



Beliau juga akur bahawa isu perubahan iklim mungkin sukar difahami sesetengah orang tetapi setiap langkah yang diambil untuk menjaga alam sekitar, walau sekecil mana pun, dapat menyumbang kepada usaha lebih besar iaitu menyelamatkan bumi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >