Sekatan disemak awal bulan depan, dilonggar jika jangkitan dikawal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekatan disemak awal bulan depan, dilonggar jika jangkitan dikawal

Lawrence Wong: Kelonggaran sekatan hanya bagi individu telah divaksinasi
Jul 27, 2021 | 5:30 AM

Sekatan disemak awal bulan depan, dilonggar jika jangkitan dikawal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
KELONGGARAN SECARA PROGRESIF: Singapura akan membenarkan kumpulan lebih besar berhimpun dan mula membuka semula sempadan bagi pelancongan, terutamanya bagi orang telah divaksinasi sepenuhnya, di bawah "kelonggaran secara progresif". - Foto fail BH
KELONGGARAN SECARA PROGRESIF: Singapura akan membenarkan kumpulan lebih besar berhimpun dan mula membuka semula sempadan bagi pelancongan, terutamanya bagi orang telah divaksinasi sepenuhnya, di bawah "kelonggaran secara progresif". - Foto fail BH -

SINGAPURA akan menyemak sekatan Covid-19 awal bulan depan dan melonggarkan beberapa langkah jika kelompok jangkitan dapat dikawal dan kadar mereka yang dimasukkan hospital kekal rendah.

Tetapi, sebarang kelonggaran sekatan akan hanya diberi kepada individu telah divaksinasi, yang "mempunyai perlindungan lebih baik terhadap kesan virus ini," kata Menteri Kewangan Lawrence Wong.

"Ini bermakna jika anda mahu menghadiri acara besar atau acara keagamaan melibatkan lebih 100 orang, anda perlu divaksinasi sepenuhnya," kata beliau semasa menyampaikan satu kenyataan menteri mengenai respons seluruh pemerintah terhadap Covid-19 di Parlimen semalam.

"Jika anda mahu keluar makan di restoran atau bersenam di gim, anda perlu divaksinasi sepenuhnya," ujar beliau.

Encik Wong berkata menjelang awal bulan depan, tempoh pertengahan fasa kedua (kewaspadaan dipertingkat), sekitar dua pertiga penduduk Singapura telah pun menerima dua dos penuh vaksin Covid-19 dan sekitar tiga suku warga tua berusia 70 tahun ke atas telah divaksinasi.

Singapura akan dapat terus melonggarkan sekatan sekitar awal September, apabila sekitar 80 peratus penduduk dijangka telah menerima dua dos penuh vaksin.

Harapannya ialah menjelang awal September, sekitar 80 peratus warga tua berusia 70 tahun ke atas telah divaksinasi sepenuhnya, kata Encik Wong.

Beliau berkata Singapura akan membenarkan kumpulan lebih besar berhimpun, terutamanya jika mereka semua telah divaksinasi sepenuhnya.

Ia juga akan mula membuka semula sempadan bagi pelancongan, terutama bagi warga telah divaksinasi.

"Kita akan mulakan dengan menubuhkan koridor perjalanan bersama negara atau rantau yang dapat mengendalikan Covid-19 dengan baik dan jangkitan terkawal," kata Encik Wong, yang mempengerusikan bersama pasukan bertindak berbilang kementerian yang menangani Covid-19.

Dengan peraturan itu, warga telah divaksinasi sepenuhnya dibolehkan keluar negara ke negara sedemikian tanpa perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) 14 hari di hotel.

Peraturan itu dijangka digantikan dengan sama ada langkah ujian lebih tegas atau SHN tujuh hari di rumah, bergantung pada paras risiko negara yang mereka kunjungi.

Bagaimanapun, individu tidak divaksinasi perlu mematuhi peraturan sedia ada.

Memandang ke depan, Singapura akan meneruskan siri "kelonggaran secara progresif", tambah Encik Wong.

Kes import, katanya, akan meningkat apabila Singapura membuka sempadannya, dengan "individu yang dijangkiti melepasi (sempadan) dari masa ke masa".

"Tetapi pada peringkat itu... tumpuan kita tidak lagi pada bilangan kes harian kerana kebanyakan orang pada masa itu telah divaksinasi dan sekalipun mereka dijangkiti, kemungkinan mereka jatuh sakit berkurangan," ujarnya.

"Sebaliknya, tumpuan kita ialah pada bilangan kecil mereka yang dijangkiti yang memerlukan oksigen tambahan atau memerlukan jagaan intensif."

Menurut beliau, buat masa ini bilangan mereka yang divaksinasi sepenuh kurang 50 peratus.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong berkata dalam kenyataan menterinya perniagaan harus membantu pekerja yang layak mengambil vaksinasi, mengintegrasi ujian pantas antigen dan meneruskan peraturan kerja fleksibel sedang Singapura beralih ke kehidupan dengan endemik Covid-19.

Menurutnya, dengan langkah pengurusan selamat, termasuk sekatan ke atas perhimpunan sosial, dilonggarkan perniagaan boleh menggalak dan memudahkan pekerja layak, terutama yang terlibat dalam aktiviti yang mempunyai kontak tinggi, agar menjalani vaksinasi.

Beliau turut menggalak pekerja mengasingkan diri dan menguji diri sendiri jika mereka kurang sihat atau berasa terdedah kepada Covid-19.

"Melakukan demikian boleh membantu mengesan kes awal dan mengehadkan gangguan terhadap perniagaan anda," kata Encik Gan, sambil menambah bahawa beliau mengetahui beberapa majikan yang membeli kit ujian secara pukal agar mudah bagi pekerja mereka mengaksesnya.

Beliau juga berkata Singapura juga sedang meninjau melonggarkan sekatan sempadan dengan selamat, memandangkan banyak bahagian ekonomi memerlukan peraliran individu keluar masuk negara ini.

"Sebagai hab perniagaan, kebanyakan eksekutif perlu keluar negara untuk menguruskan dan mengembangkan perniagaan serantau.

"Pelancongan kita dan industri Mice (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) serta kedudukan hab udara kita juga bergantung secara kritikal pada ketersambungan antarabangsa."

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg