PENDUDUK yang pulang ke Blok 28B, Dover Crescent pada waktu makan tengah hari pada Rabu (22 Jun) mendapati keempat-empat lif blok 40 tingkat HDB itu tidak bergerak dek kehilangan bekalan kuasa hampir satu jam.
Akibatnya, sesetengah penduduk terpaksa menunggu hingga perkhidmatan lif dipulihkan sementara yang lain mendaki anak tangga ke rumah mereka.
Dua daripada lif itu menyediakan perkhidmatan dari tingkat satu ke tingkat 21, manakala dua lagi dari tingkat 22 ke tingkat 40.
Majlis Bandaran West Coast, yang menguruskan lif di estet itu, berkata bekalan kuasa terpotong pada 12.26 tengah hari. Selepas menerima panggilan penduduk, ia segera mengerahkan kontraktor lif dan elektrik serta kakitangannya untuk melawat blok tersebut.
Menurut majlis bandar itu, bekalan tenaga dapat dipulihkan dan lif tersebut beroperasi semula pada 1.17 petang. Ia berkata ini kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan punca kejadian sedang disiasat.
Pada petang Ahad (19 Jun) lalu, penduduk di Blk 302A, Woodlands Street 31 terkandas apabila semua tiga lif di blok itu rosak selama empat jam.