Semua khidmat MRT dan LRT beroperasi semalaman hari ini

SEMUA perkhidmatan kereta api MRT dan LRT akan beroperasi semalaman hari ini dengan kekerapan ketibaan sehingga 20 minit, bagi orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew di bangunan Parlimen.

Sebanyak 41 khidmat bas feeder juga akan beroperasi sepanjang malam.

SBS Transit dan SMRT turut akan menawarkan 13 khidmat bas malam untuk beroperasi seperti biasa hari ini mulai tengah malam sehingga 2 pagi.

Ini akan menawarkan rangkaian sambungan ke kawasan perumahan seperti Jurong, Bukit Batok, Yishun, Ang Mo Kio, Sengkang dan Tampines.

Namun satu kenyataan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata khidmat kereta api tidak akan beroperasi semalaman esok, memandangkan operator pengangkutan perlu menjalankan penyenggaraan kereta api dan landasan bagi memastikan khidmat-khidmat kereta api dapat bergerak dengan selamat dan sempurna.

Kerja-kerja sedemikian biasanya tidak dapat dilakukan pada malam Jumaat dan pagi Sabtu.

Kerja-kerja penyenggaraan pada malam Sabtu dan awal pagi Ahad juga perlu ditambah memandangkan perkhidmatan kereta api akan diluaskan pada Ahad untuk membawa warga Singapura yang mungkin ingin memberikan penghormatan terakhir semasa upacara pengebumian negara berlangsung.

LTA akan bekerjasama dengan operator pengangutan awam berkaitan perkhidmatan lain seperti yang ditawarkan pada malam Khamis dan pagi Jumaat.

Ini mungkin termasuk melanjutkan waktu khidmat operasi kereta api dan bas feeder, serta operasi perkhidmatan bas malam dan beberapa perkhidmatan bas biasa yang melalui kawasan bandar.

Butiran lanjut akan didedahkan esok.

Para pengguna boleh melungsuri www.mytransport.sg, www.sbstransit.com.sg dan www.smrt.com.sg untuk maklumat lanjut.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 57
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.