SATU kesesakan besar berlaku di Ekspreswe Kranji (KJE) pada pagi Isnin (25 Julai) berikutan kemalangan serius antara sebuah kereta dan motosikal.
Kemalangan semasa waktu sibuk pagi itu berlaku di arah ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) selepas susur keluar Brickland Road.
Dalam tweet pada 5.54 pagi, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelakkan lorong 1 dan 2 pada bahagian KJE itu.
Dalam tweet berikutnya pada 8.36 pagi, ia berkata kemalangan itu menyebabkan kesesakan hingga ke pintu masuk Ekspreswe Bukit Timah (BKE).
Polis berkata dalam laman Facebook pada 8.58 pagi bahawa semua jalan telah dibuka kembali kepada lalu lintas.
Gambar yang dimuat naik oleh pengguna Twitter @didiryntt menunjukkan khemah biru polis didirikan di depan kereta terlibat.