Shanmugam bidas Suruhanjaya Tinggi Britain

MENTERI Undang-Undang K. Shanmugam membidas Suruhanjaya Tinggi Britain di sini kerana menggesa negara lain, termasuk Singapura, supaya menghapuskan kesalahan menghina badan kehakiman, dan menuduh ia secara tidak wajar cuba mempengaruhi perbahasan parlimen.

Beliau berkata "agak menakjubkan" bahawa Suruhanjaya Tinggi British cuba memberi Singapura nasihat supaya mengikuti Britain dalam memansuhkan undang-undang bagi menghina badan kehakiman, dan mempersoal apakah suruhanjaya itu sedar fakta-fakta yang membawa kepada keputusan Britain menghapuskan undang-undang mereka sendiri.

Singapura hari ini dalam kedudukan berbeza daripada Britain apabila ia berbuat demikian pada 2013, kata Encik Shanmugam.

"Kita mendukung taraf yang telah merosot di Britain; taraf yang telah merosot, dan membawa kepada kehilangan rasa hormat dan masyarakat menjadi kasar".

Suruhanjaya Tinggi British memberitahu Reuters pada Jumaat (12 Ogos) lalu bahawa Britain "akan terus menggesa Singapura dan negara-negara yang mengekalkan 'Menghina Badan Kehakiman' supaya menghapuskannya".

Encik Shanmugam berkata Britain terpaksa menghapuskan kesalahan itu tiga tahun lalu kerana badan kehakimannya telah "hilang rasa hormat yang ia pernah nikmati", sebagaimana dibuktikan oleh banyaknya bahan dalam talian yang melemparkan cercaan terhadap hakim.

"Kesalahan itu mempunyai nilai simbolik terbatas, kerana semua orang juga menghina mahkamah. Ia berlaku dengan kerap, dan jarang didakwa."

Dan walaupun kesalahan itu juga "pada dasarnya pelanggaran kebebasan bersuara" - hak asasi di bawah Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia - sebab utama ia dihapuskan ialah kedudukan mahkamah sudah rosak pada pandangan orang ramai, kata Encik Shanmugam.

Reputasi yang sudah rosak itu memberi kesan pada badan kehakiman Britain dan tugasnya, ujar beliau, sambil memetik daripada kajian 2014 ke atas semua hakim dalam perkhidmatan dan bergaji di sana.

Hampir dua dalam setiap tiga orang berkata badan kehakiman di Britain sekarang kurang dihormati oleh masyarakat berbanding sedekad lalu, dan lebih separuh berasakan apa yang telah digambarkan oleh media tentangnya, dan salah faham orang ramai terhadap badan kehakiman adalah faktor yang mendorong perubahan pandangan itu.

Semangat kehakiman yang semakin jatuh juga menjadikan lebih sukar bagi Britain merekrut dan mengekalkan hakim, terutama yang kanan.

Tetapi Singapura tidak mempunyai masalah itu kerana ia berusaha mengekalkan martabat badan kehakiman, menyediakannya sumber mencukupi, melindunginya daripada dimalukan, dan memastikan hakim dibayar dengan baik, kata Encik Shanmugam.

"Kita berada dalam kedudukan sihat, baik dan dicemburui, dan kita tidak akan menipu badan kehakiman kita," ujarnya.

"Kita tidak dalam keadaan sukar, atau sedang melawan arus pendapat umum, sebagaimana kerajaan British."

Encik Shanmugam menambah: "Apakah Pesuruhjaya Tinggi British tahu fakta-fakta ini apabila nasihat itu ditawarkan? Jika Pesuruhjaya Tinggi tahu fakta-fakta itu, maka itu tidak menunjukkan perkara baik tentang mereka kerana kita tidak berada dalam kedudukan yang dihadapi Britain sendiri."

Beliau berkata apabila Kementerian Ehwal Luar Singapura bertanya mengapa Suruhanjaya Tinggi Britain membuat kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi Scott Wightman berkata ia adalah jawapan pegawai akhbarnya kepada pertanyaan Reuters, dan tidak khusus pada Singapura.

Kata Encik Shanmugam: "Dengan penghormatan sangat mendalam kepada Pesuruhjaya Tinggi itu, kita hanya boleh mengatakan terdapat ketakpintaran besar dalam jawapan itu. Jika anda ingin campur tangan dan membuat komen, maka sekurang-kurangnya anda harus mempunyai keberanian dalam keyakinan anda dan tidak dengan cepat menarik balik apabila mula disoal."

Beliau menambah: "Apakah Suruhanjaya Tinggi Britain berpandangan komen itu patut dibuat terhadap Australia? Terhadap New Zealand? Terhadap Ireland? Mereka juga menjadikan perbuatan menghina mahkamah satu kesalahan."

Suruhanjaya Tinggi Britain enggan mengulas lanjut.

Waktu Solat

Subuh
5:33
Syuruk
6:57
Zuhur
12:59
Asar
4:23
Maghrib
7:00
Isyak
8:15
3 HR PSI: 43
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.