Shanmugam: Negara rantau ini perlu tingkat kerjasama lawan pengganasan

NEGARA-NEGARA di Asia Tenggara perlu meningkatkan kerjasama untuk melawan ancaman pelampau pengganasan, kata Menteri Dalam Negeri K. Shanmugam pada Mesyuarat Antarabangsa mengenai Penentangan Pengganasan di Bali pada Rabu (10 Ogos).

Beliau menggesa pemerintah di rantau ini supaya bekerja bersama dalam pelbagai perkara, termasuk perkongsian risikan dan penyelidikan serta analisis mengenai pengganas dan risiko keselamatan.

"Kita perlu mewujudkan satu fahaman bersama terhadap ancaman keselamatan yang kita hadapi, cabaran pengganas yang berkembang dalam negara, termasuk mereka yang baru menjadi radikal, mereka yang pulang selepas pertempuran di zon konflik, dan orang yang sebelum ini dalam tahanan tetapi telah dibebaskan," katanya.

Encik Shanmugam berkata mesyuarat seperti itu platform penting bagi negara mempelajari amalan terbaik dan datang dengan satu set "pendekatan yang dipersetujui yang akan memberi dorongan lebih besar untuk perjuangan bersama".

Ancaman serangan melanda minggu lalu apabila enam orang ditangkap di Batam. Pemimpin sel itu merancang menembak roket ke Marina Bay di Singapura.

"Ketika ditahan, mereka tidak mempunyai roket, dan tidak jelas apakah mereka boleh mendapat roket," kata Encik Shanmugam. "Tetapi niat itu ada. Senjata api dirampas daripada mereka."

Episod ini, serangan baru-baru ini di Malaysia dan Indonesia, dan langkah kumpulan pengganas Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) menghasilkan sebuah akhbar dalam bahasa Melayu menunjukkan "ancaman jelas" yang dihadapi rantau ini, ujarnya.

Encik Shanmugam juga berkata para pemerhati menyatakan kehilangan wilayah di Timur Tengah boleh membuat ISIS mengalih tumpuan pada Asia Tenggara dan meningkatkan kegiatannya.

Beralih pada Singapura, beliau menggariskan lima komponen strategi memerangi pengganasan itu. Dua aspek keselamatan tegas - meningkatkan kewaspadaan bmelalui rondaan dan liputan televisyen litar tertutup, dan tindak balas pasukan keselamatan menyusuli serangan - "perlu tetapi tidak mencukupi", katanya.

Tiga komponen lain - menangani ideologi pelampau, menggalak kewaspadaan masyarakat dan kerjasama antarabangsa - sama penting, ujar beliau.

Encik Shanmugam menekankan kepentingan SG Secure, gerakan kebangsaan yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada September.

Ia bertujuan membuat orang ramai menyedari keselamatan mereka, dan menekankan kepentingan bersatu sebagai sebuah masyarakat sekiranya berlaku serangan pengganasan.

Waktu Solat

Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:01
Asar
4:25
Maghrib
7:02
Isyak
8:17
3 HR PSI: 28
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.