Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Si 'budak nakal' kini lulusan sarjana

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



"SEMASA kecil hingga remaja, saya memang tidak suka belajar dan selalu dimarahi guru kerana masalah disiplin."



Tapi itu dahulu, kini, budak nakal itu, merupakan seorang pemegang ijazah sarjana.



Encik Erwin Rohman, 42 tahun, mengikuti perjalanan pendidikan yang agak panjang sebelum berjaya menggenggam ijazah Sarjana dalam Pendidikan (Pengajian Sains) dari Institut Pendidikan Nasional (NIE)/ Universiti Teknologi Nanyang (NTU).



Dari sekolah menengah, beliau ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE), seterusnya ke politeknik dan kemudian barulah ke universiti.



Namun, semasa di bangku sekolah dahulu, Encik Erwin tidak pernah membayangkan dirinya bakal berjaya ke menara gading.



Menurutnya, beliau seorang pelajar 'bermasalah' yang sering ponteng kelas. Bila di dalam kelas pula, beliau tidak akan fokus kepada apa yang diajar guru, sebaliknya kerap mengganggu kelas dan tabiat buruknya yang suka "main-main".



Bahkan, beliau kerap menerima aduan daripada ibu bapa lain dek kenakalannya itu, membuat ibu bapa beliau sendiri sering menanggung malu.



Pendek kata, kehadirannya di bilik guru disiplin bukanlah sekali sekala.



Satu-satunya perkara yang diminati Encik Erwin ketika di sekolah ialah sukan - khususnya bola sepak.



Namun, beliau selalu ponteng sekolah hanya untuk bermain bola sepak.



Selain bola sepak, beliau juga akan ponteng sekolah untuk bermain komputer dengan kawan-kawannya yang sama nakal.



"Ada kedai yang caj $2 untuk bermain Nintendo selama 30 minit di Clementi. Permainan bola sepak dan 'Contra' merupakan kegemaran saya," ujarnya mengimbau zaman kenakalan dahulu.



Di sekolah menengah pula, Encik Erwin mula menggemari sukan ragbi.



Malah beliau pernah dipilih menjadi salah seorang penerima Colours Award kerana cemerlang mewakili sekolah dalam sukan ragbi.



Bagaimanapun, gurunya menarik balik anugerah itu kerana masalah disiplin Encik Erwin dan juga pencapaian akademiknya yang tidak memuaskan.



Detik tersebut bak satu kejutan bagi beliau.



"Saya benar-benar kecewa. Tapi alhamdulillah, ia juga menyedarkan saya tentang kenakalan saya yang teramat sangat ketika itu," katanya,



Beliau menambah: "Kerana saya terlalu tumpukan masa pada sukan dan lain-lain kegiatan, saya langsung hilang fokus dalam pelajaran sehingga menjejas keputusan GCE 'O' saya," jelasnya.



Namun, perkara yang membuat Encik Erwin benar-benar tersentak ialah kekecewaan yang jelas dapat dilihat di wajah bapanya ketika itu.



Walaupun bapanya seorang yang tidak banyak bercakap dan langsung tidak memberitahunya tentang kehampaannya itu, namun Encik Erwin dapat melihat betapa bapanya patah hati dengan kelakuan beliau.



Bapa Encik Erwin, yang bekerja sebagai seorang teknisyen, mengharapkan anaknya itu dapat berjaya dalam pendidikan dan mencipta kehidupan lebih baik bagi dirinya dan keluarga, berbeza dari kehidupan mereka ketika itu yang agak mencabar dek pendapatan bapanya yang kecil.



"Hati saya remuk melihat wajah bapa saya. Selepas sekolah menengah saya ke ITE (Institut Pendidikan Teknikal) dan semasa di sana saya melakukan kerja sambilan untuk ringankan beban kewangan yang dipikul bapa saya," kata anak sulung tiga beradik itu.



Sambil bekerja sambilan, Encik Erwin turut menggandakan usaha dalam pelajaran dengan azam untuk layak ke politknik. Usaha kerasnya itu berbaloi.



Beliau berjaya bagi kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ngee Ann dan menyertai institusi itu sebagai pelajar matang - berusia sekurang-kurangnya lima tahun lebih dewasa dari pelajar-pelajar lain di kelasnya.



Selepas tamat pengajian di NP, Encik Erwin melanjutkan pengajian ke NIE/NTU.



Sebelum ke universiti, semasa menjadi guru kontrak, beliau mengambil keputusan berumahtangga bersama isterinya Aryani Suhardi, 37 tahun walaupun ketika itu Cik Aryani masih belajar sambil bekerja separuh masa.



Bapa dua orang anak itu akur langkah untuk mendirikan rumahtangga memberinya lebih banyak kestabilan kerana isterinya juga sedang belajar dan memahami cabaran mengejar sarjana walaupun beliau perlu mengimbangi tanggungjawab pekerjaan, keluarga dan pelajaran.



"Saya sentiasa berhutang budi dengan sumbangan isteri saya dalam perjalanan pendidikan saya. Tanpa dorongan beliau, saya tidak berada di mana saya berada sekarang.



"Beliau adalah tunggak kekuatan saya apabila saya tertekan dan tidak pernah gagal memberikan inspirasi yang saya perlukan," jelas Encik Erwin tentang isterinya yang tercinta.



Bangga dengan perjalanan hidup suaminya, Cik Aryani berkata:



"Beliau bekerja keras untuk menjadi contoh baik kepada anak-anak sekarang. Tambahan lagi, minatnya dalam mengajar mendorongnya untuk terus memberi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk melakukan yang terbaik."



Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Encik Erwin berkata iktibar yang diperolehi ialah untuk sentiasa berusaha.



"Kita hanya gagal ketika kita berhenti berusaha. Belajar daripada kesilapan dan kegagalan dan jangan membiarkannya menjejas tekad anda," jelasnya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >