Topic followed successfully
Go to BHkuSiapa kata bos wanita emosi, 'ikut mood'?
Siapa kata bos wanita emosi, 'ikut mood'?
Kian ramai wanita dalam kedudukan pengaruh, jadi bos cerminkan keupayaan kaum Hawa
Siapa kata bos wanita emosi, 'ikut mood'?
LAZIMNYA, bos wanita sering dikaitkan dengan seorang ketua yang emosional dan gemar menguruskan segala perkara berkaitan dengan perniagaan itu atau dalam istilah Inggerisnya 'micro manage.'
Tetapi dengan lebih banyak bisnes kini diterajui wanita, kian ramai pekerja yang mendapati bahawa sebenarnya bekerja dengan bos wanita mempunyai manfaatnya tersendiri.
Seperti naluri dan ciri wanita yang lebih lembut dan secara amnya suka mengambil berat terhadap orang lain, beberapa pekerja yang ditemu ramah Berita Harian berkata, bos wanita lebih berempati dan prihatin terhadap keperluan mereka sebagai pekerja wanita terutama jika bos wanita itu sudah berkeluarga dan mempunyai anak.
Seorang guru yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nurhidayati berkata guru kanannya yang merupakan seorang wanita lebih prihatin sekiranya beliau perlu mengambil cuti secara mendadak kerana perlu menangani anaknya.
"Keprihatinan dan sikap empati mereka amat bermakna bagi saya terutama sepanjang dua tahun pertama usia anak saya. Ini kerana mungkin mereka pernah melalui fasa serupa seperti saya dahulu terutamanya jika mereka sudah berkahwin dan mempunyai anak," kata guru berusia 35 tahun itu.
Seorang lagi, pengurus operasi di restoran Fika, Cik Stacy Gomas, 23 tahun, berkata bos wanita lebih mudah untuk didekati.
"Lebih mudah untuk kami sebagai pekerja mendekati mereka jika timbul sebarang isu. Mentelah lagi, mudah untuk berurusan dengan mereka," katanya.
Selain itu, katanya, bosnya, Cik Tasneem Noor sering memberi motivasi kepadanya.
"Beliau sering bertanyakan kepada saya sekiranya ada sesuatu yang saya perlukan atau saya dalam keadaan baik ataupun tidak dan jika saya perlu bimbingan atau sokongan dalam apa jua perkara," katanya.
Mengongsi dengan Berita Harian tentang liku-liku mencabarnya sebagai bos wanita, Cik Tasneem, berkata adalah penting baginya untuk memastikan tempat kerja yang selamat, tidak berat sebelah, dan tiada politik.
"Kita bertanggungjawab untuk menyediakan dan membangunkan persekitaran pekerjaan sedemikian.
"Anda juga perlu menjadi contoh untuk memastikan tempat kerja yang memanfaatkan sifat positif.
"Anda yang bertanggungjawab ke atas budaya perniagaan anda sendiri," ujarnya.
Cik Tasneem mula menceburi bidang keusahawanan pada usia 26 tahun selepas bekerja sebagai pereka grafik selama lapan tahun.
Menurutnya, bapanya banyak memberinya sokongan dan inspirasi untuknya berkecimpung dalam dunia keusahawanan.
"Beliau sering katakan buku merupakan satu pelaburan yang baik.
"Bapa saya yang juga seorang usahawan, justeru secara tidak langsung, kami juga terdedah kepada ciri-ciri seperti keberanian, kerja keras dan mempunyai inisiatif pada usia muda lagi," katanya.
Pendedahan awal itu juga telah mencorak keperibadiannya sebagai pemimpin.
Tetapi Cik Tasneem berkata, beliau sendiri kini masih tetap mempertingkat diri dan memperbaiki dirinya sendiri.
"Sikap terbuka, autentik, ada sifat kemanusiaan yang tinggi selain menjadi contoh kepada pekerja lain adalah penting dalam menjalankan perniagaan.
"Kita mempunyai peluang untuk mencorak generasi akan datang dengan cara kita membimbing mereka hari ini dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan kebaikan dan berbaik budi," ujarnya.
Namun berhubung stereotaip mengenai bos wanita, Cik Tasneem berkata terdapat juga stereotaip terhadap bos lelaki.
Lantaran itu, beliau berpendapat adalah lebih baik untuk mengenal pasti diri seseorang sebagai manusia terlebih dahulu dan tidak membeza-bezakan jantina.
"Kita semua berdepan dengan masalah keyakinan diri dan ego, sama ada kita pemimpin ataupun tidak.
"Saya rasa sebagai ketua, tidak kira jantina, adalah penting untuk terus mengamalkan kecelikan emosional dan sedar akan keadaan sekeliling agar dapat memimpin pasukan anda dengan cemerlang," ujarnya.
Akur dengan perkara yang sama ialah pemilik Sentimental Wedding, Cik Juliana Maktob, 56 tahun.
Beliau yang mula menjadi perancang perkahwinan sejak 37 tahun berkata memang sekitar 10 hingga 20 tahun, stereotaip negatif mengenai bos wanita amat berleluasa.
"Ketika itu tidak ramai wanita yang menjadi ketua atau pemilik perniagaan, justeru ada banyak kata-kata sindiran berkenaan bos wanita seperti lemah, tidak boleh membuat keputusan dengan baik dan terlalu emosional.
"Namun hari ini, kian ramai wanita bahkan wanita muda yang sudah mula menjadi bos dan pemikiran terhadap stereotaip sedemikian telah mula merubah.
"Bos wanita atau lelaki tiada bezanya. Ia bergantung kepada individu itu sendiri.
"Ada bos lelaki yang cerewet sangat, sama seperti bos wanita yang juga cerewet.
"Yang penting, majikan dan pekerja saling hormat-menghormati dan peka terhadap keperluan satu sama lain," ujarnya.
JADI CONTOH
"Sikap terbuka, autentik, ada sifat kemanusiaan yang tinggi selain menjadi contoh kepada pekerja lain adalah penting dalam menjalankan perniagaan. Kita mempunyai peluang untuk mencorak generasi akan datang dengan cara kita membimbing mereka hari ini dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan kebaikan dan berbaik budi..."
CELIK EMOSI
"Saya rasa sebagai ketua, tidak kira jantina, adalah penting untuk terus mengamalkan kecelikan emosional dan sedar akan keadaan sekeliling agar dapat memimpin pasukan anda dengan cemerlang." - Pemilik restoran Fika, Cik Tasneem Noor.
BERGANTUNG INDIVIDU
"... hari ini, kian ramai wanita bahkan wanita muda yang sudah mula menjadi bos dan pemikiran terhadap stereotaip sedemikian telah mula merubah. Bos wanita atau lelaki tiada bezanya. Ia bergantung kepada individu itu sendiri. Ada bos lelaki yang cerewet sangat, sama seperti bos wanita yang juga cerewet. Yang penting, majikan dan pekerja saling hormat-menghor mati dan peka terhadap keperluan satu sama lain." - Pemilik Sentimental Wedding, Cik Juliana Maktob

